Pertama Kali Dalam 22 Tahun, Kapal Perang Jerman Singgah Di Malaysia
Kapal-kapal Tentera Laut Jerman itu, FGS BADEN-WÜRTTEMBERG dan FGS FRANKFURT AM MAIN sedang dalam rangka pelayaran Indo-Pacific Region Deployment 2024 (IPD 2024) dan akan berada di Malaysia sehingga 18 Oktober.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Buat pertama kali dalam tempoh 22 tahun, dua buah kapal Tentera Laut Jerman, FGS BADEN-WÜRTTEMBERG (F222) dan FGS FRANKFURT AM MAIN (A1412) telah tiba di Port Klang Cruise Terminal untuk lawatan operasi, pagi tadi.
Ketibaan kapal-kapal tersebut disambut Asisten Ketua Staf Siber dan Elektromagnetik, Laksamana Pertama Azman bin Rabani bersama delegasi TLDM dengan diiringi Pancaragam TLDM dari KD SULTAN ISMAIL.
Selain delegasi TLDM, turut hadir menyambut ketibaan kapal tersebut adalah Duta Besar Jerman ke Malaysia, Dr. Peter Blomeyer bersama delegasi kedutaan.
Kapal-kapal Tentera Laut Jerman itu, FGS BADEN-WÜRTTEMBERG dan FGS FRANKFURT AM MAIN sedang dalam rangka pelayaran Indo-Pacific Region Deployment 2024 (IPD 2024) dan akan berada di Malaysia sehingga 18 Oktober.
Turut serta dalam pelayaran tersebut adalah Rear Admiral Helge Risch, Pengarah Sumber Manusia Tentera Laut Jerman.
Menurut kenyataan media sosial Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), antara aktiviti yang dirancang sepanjang lawatan termasuk majlis resepsi di kapal, lawatan kapal dan interaksi sukan selain perbincangan latihan bersama wakil kapal TLDM.
IPD 2024 merupakan usaha diplomasi pertahanan yang utama bagi Tentera Laut Jerman meliputi latihan laut multinasional dan operasi.
Kedua-dua kapal Tentera Laut Jerman itu telah belayar di Lautan Pasifik dan Lautan Hindi sejak Jun 2024, mempamerkan keupayaan tentera laut Jerman dan komitmen mereka terhadap keselamatan maritim.
Semasa lawatan media di atas kapal Baden-Wurttemberg, Duta Jerman ke Malaysia Dr Peter Blomeyer menekankan hubungan ekonomi yang kukuh antara Malaysia dan Jerman, dengan lebih 700 syarikat Jerman beroperasi di Malaysia.
Blomeyer menegaskan komitmen Jerman terhadap keamanan dan keselamatan di rantau Indo-Pasifik.
Sebagaimana dipetik oleh media tempatan, beliau menekankan dedikasi Jerman untuk mengekalkan kedaulatan undang-undang di perairan antarabangsa, menegaskan kepentingan kebebasan pelayaran (FON) dan laluan perkapalan yang selamat dari Indo-Pasifik ke Eropah.
Sementara itu, Laksamana Muda Helge Risch dari Baden-Wurttemberg melahirkan rasa gembira berada di Malaysia dan mengucapkan terima kasih kepada wakil Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) atas sambutan mesra yang diberikan.
“Kali terakhir kapal Jerman melawat Malaysia adalah pada 2002, iaitu 22 tahun lalu. Tetapi saya cukup yakin perkara ini akan berlaku lebih kerap pada masa akan datang kerana ia amat bermakna bagi kami untuk dialu-alukan di sini,” katanya.
Risch menjelaskan bahawa lawatan mereka adalah sebahagian daripada diplomasi tentera laut, bertujuan untuk menjalin hubungan dengan rakan sejawatan mereka di Malaysia.
Beliau melahirkan harapan untuk kerjasama itu, mengiktiraf profesionalisme TLDM dan menyatakan rasa bersemangat untuk latihan bersama yang akan diadakan selepas mereka berlepas pada 18 Oktober dari PKCT ke Laut Andaman dan seterusnya ke Lautan Hindi.
Dalam pelayaran mereka, kapal-kapal itu akan mengadakan latihan passing exercise (PASSEX) dengan aset TLDM yang berpangkalan di Lumut, Perak.
Walaupun dikategorikan sebagai kapal friget, tetapi kapal FGS BADEN-WÜRTTEMBERG memiliki berat yang mencecah sehingga 7,200 tan dan lebih sesuai untuk dikatakan sebagai kapal destroyer.
Terdapat laporan mengatakan FGS BADEN-WÜRTTEMBERG adalah kapal friget terberat di dunia.
Ditauliahkan pada tahun 2019, kapal friget FGS BADEN-WÜRTTEMBERG yang memiliki panjang 150 meter berkeupayaan belayar selaju 20 knot dan beroperasi sejauh 4,000 Batu Nautika.
Daripada segi persenjataannya pula, kapal friget FGS BADEN-WÜRTTEMBERG itu dilengkapi dengan meriam utama 127mm, sistem peluru berpandu RAM Block II (Rolling Airframe Missile) dan peluru berpandu anti-kapal Harpoon.
Selain itu, kapal friget itu juga membawa sebuah helikopter NH-90.
FGS FRANKFURT AM MAIN pula adalah kapal replenishment oiler (bekalan) milik Tentera Laut Jerman yang ditauliahkan pada tahun 2001.
Kapal seberat 20,000 tan itu membawa bahan api, lain-lain bekalan, peluru dan lain-lain bertujuan menyokong operasi kapal-kapal perang Tentera Laut Jerman. — DSA
Comments are closed.