Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

88 Buah Kenderaan Perisai, Kereta Kebal Israel Rosak atau Musnah Dibedil Di Gaza

Laporan oleh pemerhati pertahanan antarabangsa yang memantau apa yang berlaku di Gaza ketika ini menyatakan bahawa bilangan kenderaan perisai Israel yang rosak atau musnah itu melibatkan 23 peratus daripada 383 buah kenderaan perisai milik tentera Israel yang dikesan oleh satelit beraksi di utara Semenanjung Gaza.

0 36,217

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Berdasarkan kepada imej-imej satelit di utara Semenanjung Gaza, sebanyak 88 buah kenderaan perisai dan kereta kebal milik tentera Israel dilaporkan musnah atau rosak teruk akibat bedilan senjata anti-kereta kebal oleh unit-unit kecil pejuang Palestin.

Laporan oleh pemerhati pertahanan antarabangsa yang memantau apa yang berlaku di Gaza ketika ini menyatakan bahawa jumlah itu melibatkan 23 peratus daripada 383 buah kenderaan perisai milik tentera Israel yang dikesan oleh satelit beraksi di utara Semenanjung Gaza.

Walaupun begitu,kekuatan pasukan armor tentera Israel memang tidak dapat dinafikan selepas ia berjaya mencapai objektifnya dalam operasi darat di Semenanjung Gaza dengan membahagi wilayah itu kepada bahagian utara dan bahagian selatan.

Namun kejayaan oleh anggota Briged Al-Qassam dalam memusnah dan menyebabkan kerosakan teruk kepada kenderaan perisai atau kereta kebal Merkava yang digunakan oleh tentera Israel telah diperakui oleh pemerhati pertahanan antarabangsa.

Tentera Israel sememangnya daripada dahulu sering menggunakan unit-unit armornya untuk memulakan sesuatu serangan.

Gaza
Kenderaan perisai dan kereta kebal Israel musnah di Gaza.
Gaza
Roket “Al-Yassin”

 

Laporan kemusnahan dan kerosakan yang tinggi dialami oleh kenderaan perisai tentera Israel di bahagian utara Semenanjung Gaza adalah selari dengan laporan kematian serta kecederaaan dialami oleh pegawai dan anggota pasukan armor Israel.

Pada 10 Nov lalu, media Israel melaporkan komander pasukan armor tentera Israel, Kolonel Sheldag Zior terbunuh dalam satu operasi di Semenanjung Gaza, menjadikan beliau pegawai tentera Israel paling kanan yang terbunuh setakat ini.

Sebelum itu, media Israel juga melaporkan kematian seorang lagi pegawai kanan tentera negara itu dikenali sebagai Lt Kolonel Salman Habaka daripada 188th Briged Armor dalam operasi di Gaza pada 2 Nov yang lalu.

Menurut laporan, Habaka yang merupakan seorang etnik Druze terbunuh dalam serangan hendap oleh pejuang Hamas.

Senjata utama digunakan oleh pejuang-pejuang Palestin dalam menyerang kenderaan-kenderaan perisai tentera Israel adalah roket pelancar grenad (Rocket Propelled Grenade –RPG) “Al-Yassin” 105mm.

Gaza

Komander Briged Armor Tentera Israel, Lt Kol Salman Habaka terbunuh di Gaza.

 

Ia adalah senjata anti-kereta kebal yang dibangunkan sendiri oleh pejuang Palestin berdasarkan kepada roket anti-kereta kebal, RPG-7VR.

“Al-Yassin” menggunakan Tandem Warhead iaitu bahan peledak dalam dua fasa bertujuan untuk mengalahkan Composite Armor dan Explosive Reactive Armor (ERA) yang menyelaputi kereta kebal Merkava tentera Israel.

Peringkat pertama letupan adalah daripada peledak 64mm sebelum peledak kedua yang lebih besar daripada 105mm merobek armor utama kereta kebal itu atau kenderaan perisai.

Laporan menyatakan roket pelancar grenad Al-Yassin 105mm yang dimilik oleh pejuang Palestin mampu merobek sehingga 700-750mm ketebalan armor kenderaan perisai.

Gaza

Jarak effektif senjata kereta kebal pejuang Palestin itu adalah 500 meter tetapi jarak dimana ia benar-benar berkesan adalah pada 150 meter daripada sasarannya.

Selain itu, roket pelancar grenad “Al-Yassin” juga memiliki varian Thermobaric Anti-Bunker yang direka untuk membedil kubu-kubu pertahanan yang diperkukuhkan dan kini digunakan oleh pejuang-pejuang Palestin dalam berhadapan dengan tentera Israel. — DSA

KAAN

DEFENCE  SECURITY ASIA APPS

 

To advertise contact: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...