Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Peluru Berpandu Udara-ke-Udara Keluaran India, ASTRA BVRAAM Bedil Sasaran Dalam Ujian

Ujian pelancaran peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh ASTRA BVRAAM itu menandakan pencapaian penting dalam usaha mengintegrasikan peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh tersebut ke dalam platform-platform sedia ada di dalam Angkatan Tentera India.

0 3,148
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Baru-baru ini, India telah berjaya melaksanakan ujian pelancaran peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh ASTRA BVRAAM (Beyond Visual Range Air-to-Air Missile) keluaran tempatan dari pesawat pejuang, Tejas LCA AF MK1 yang didakwa New Delhi adalah lebih baik berbanding peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh keluaran Russia, R-77 (RVV-AE).
Ujian pelancaran itu menandakan pencapaian penting dalam usaha mengintegrasikan peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh tersebut ke dalam platform-platform sedia ada di dalam Angkatan Tentera India.
Ujian terkini pelancaran peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh ASTRA BVRAAM tersebut dijalankan pada 12 Mac 2025 di sebuah kawasan ujian di timur India, berhampiran perairan Chandipur, Odisha.
“Kejayaan ujian ini merupakan pencapaian penting ke arah pemantapan varian peluru berpandu itu untuk pesawat Tejas LCA AF MK1A. Lebih banyak ujian telah dirancang bagi menilai prestasinya,” menurut kenyataan Kementerian Pertahanan India.
Peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh ASTRA BVRAAM berjaya mengenai sasaran udara pada ujian pelancaran itu, sekaligus membuktikan ketepatan dan keupayaannya dengan semua subsistem berfungsi seperti yang dijangka, memenuhi parameter misi dan mengesahkan kesiapsiagaan peluru berpandu itu untuk digunakan dalam operasi.
Dibangunkan oleh Defence Research and Development Organisation (DRDO), peluru berpandu udara-ke-udara ASTRA BVRAAM membolehkan pesawat Tejas MK1 dan varian terbaharu Tejas MK1A membedil sasaran udara pada jarak melebihi 100 km.
Kejayaan ujian pelancaran ASTRA BVRAAM itu menandakan satu lagi langkah penting dalam usaha mengintegrasikan senjata itu dengan platform pesawat pejuang Tejas.
ASTRA
ASTRA BVRAAM
Peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh ASTRA BVRAAM itu bakal menjadi sebahagian daripada persenjataan standard bagi pesawat pejuang ringan Tejas, Su-30MKI milik Tentera Udara India  dan MiG-29 milik Tentera Laut India.
Pembangunan ASTRA BVRAAM bermula pada 1990-an, dan pada Mei 2022, kerajaan India telah menandatangani kontrak dengan Bharat Dynamics Ltd bagi pengeluaran lebih 350 unit peluru berpandu itu.
Peluru berpandu udara-ke-udara ASTRA BVRAAM itu dilengkapi dengan sistem panduan dan navigasi canggih, sekaligus meningkatkan ketepatannya dalam operasi.
ASTRA BVRAAM memiliki panjang 3.8 meter dan mempunyai berat pelancaran (launch weight) sekitar 154 kg, serta menggunakan bahan api pepejal sebagai pendorong dan dilengkapi dengan kepala peledak letupan tinggi seberat 15 kg, yang diaktifkan melalui proximity fuze.
Bagi sistem panduannya pula, ia menngunakan inertial guidance, mid-course updates dan terminal active radar homing, bagi membolehkan darjah ketepatan peluru berpandu adalah amat tepat. 
Peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh ASTRA BVRAAM memiliki beberapa varian.
ASTRA
Pesawat Tejas LCA melancarkan peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh ASTRA BVR
Astra Mk-1, yang kini dalam perkhidmatan, mempunyai jangkauan melebihi 110 km, manakala Astra Mk-2, yang sedang menjalani ujian, dijangka mencapai jarak 160 km.
Sementara itu, Astra Mk-3, yang masih dalam fasa pembangunan, disasarkan untuk mencapai jangkauan sehingga 350 km, menjadikannya antara peluru berpandu udara-ke-udara paling berkeupayaan dalam kategorinya.
Varian pesawat pejuang Tejas LCA AF MK1A, yang kini dalam fasa pengeluaran, dilengkapi dengan avionik canggih, radar Elta Systems EL/M-2052, sistem peperangan elektronik, serta probe pengisian bahan api udara ke udara.
Sementara itu, Hindustan Aeronautics Limited (HAL) sedang berusaha memenuhi tempahan sebanyak 83 unit pesawat pejuang ringan Tejas MK1A, yang akan melengkapkan skuadron Tejas MK1 sedia ada dalam perkhidmatan Tentera Udara India.
Selain memenuhi keperluan Tentera Udara India, New Dehi turut bercadang mengeksport peluru berpandu udara-ke-udara jaraj jauh ASTRA BVRAAM ke luar negara
ASTRA
ASTRA BVRAAM
Fokus utama bagi pasaran eksport peluru berpandu udara-ke-udara ASTRA BVRAAM itu adalah negara-negara yang menggunakan pesawat pejuang Sukhoi Su-30, memandangkan “ASTRA” telah pun diintergrasikan dan diuji dengan jayanya terhadap pesawat pejuang itu.
Pelanggan-pelanggan eksport bagi peluru berpandu udara-ke-udara ASTRA BVRAAM merangkumi negara-negara di Asia Tenggara seperti Malaysia, Indonesia, Vietnam dan Myanmar yang menggunakan pesawat pejuang Sukhoi Su-30.
— DEFENCE SECURITY ASIA

 
Leave A Reply

Your email address will not be published.