Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Armenia Ancam Guna “Iskander” Di Nagorno-Karabakh

0 564

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Kementerian pertahanan Armenia tidak menolak kemungkinan akan menggunakan peluru berpandu darat-ke-darat “Iskander” (SS-26 Stone) di dalam konfliknya dengan Azerbaijan bagi merebut Nagorno-Karabakh.

“Jika kita memikirkan terdapat keperluan untuk mengunakannya, maka kita akan  menggunakannya,” kata jurucakap Kementerian Pertahanan Armenia, Artsun Hovhannisyan dalam satu majlis taklimat kepada media di Yerevan, ibu kota Armenia semalam.

Selain peluru berpandu taktikal “Iskander”, Kementerian Pertahanan Armenia juga mengancam untuk mengerahkan pesawat pejuang SU-30SM untuk terlibat sama di dalam konflik di Nagorno-Karabakh.

Sehingga kini, hampir 100 orang dilapor terbunuh dalam konflik di Nagorno Karabakh itu.

Iskander
Peluru berpandu taktikal “Iskander” buatan Russia. (kredit internet)

Duta Armenia ke Russia, Vardan Toghanyan juga berkata kepada media Russia bahawa jika Turki mengerahkan pesawat pejuang F-16 bagi membantu Azerbaijan, maka Armenia juga tidak akan teragak-agak menggunakan peluru berpandu “Iskander” itu.

“Kita akan menggunakan seluruh kekuatan ketenteraan yang kita ada,” katanya.

Dalam reaksi balasnya, Menteri Pertahanan Azerbaijan Jeyhun Bayramov berkata, pihaknya menjangkakan segala kemungkinan daripada Armenia.

“Azerbaijan mempunyai kemampuan untuk bertindak balas terhadap apa sahaja daripada Armenia,” katanya.

Armenia menunjukkan kepada dunia bahawa ia memilliki peluru berpandu “Iskander” pada satu perarakan tentera di Yerevan pada September 2016.

Menurut penganalisis tentera, Armenia memilki 25 unit peluru berpandu “Iskander”, yang mampu dilancarkan terhadap sasaran sejauh 500km.

Peluru berpandu “Iskander” ini ditakrifkan sebagai Short Range Ballistic Missile (SRBM)

Peta NK
Peta wilayah Nagorno Karabakh yang menjadi rebutan antara Armenia dan Azerbaijan.

Peluru berpandu “Iskander” ini berkeupayaan membawa bahan peledak sehingga 500kg hingga 700kg dan diakui sebagai diantara peluru berpandu ballistik jarak dekat yang mampu menembak sasaran dengan tepat.

Armenia memperolehi peluru berpandu “Iskander” itu daripada Russia dibawah Collective Security Treaty Organisation (CSTO), satu treati pertahanan yang diketuai oleh Moscow.

Armenia dan Russia adalah anggota CSTO, tetapi tidak Azerbaijan.

Dibawah treati CSTO, Moscow membekalkan pelbagai jenis persenjataan kepada Yerevan termasuk sistem S-300, Igla manpads, roket Smerch 300mm, peluru berpandu anti-kereta kebal “Kornet” dan   peluru berpandu taktikal “Iskander”.

Tindakan Russia membekalkan pelbagai senjata kepada Armenia ini tidak menyenangkan Azerbaijan.

Dalam kejadian terbaru, Russia didakwa mengirimkan kira-kira 400 tan persenjataan kepada Armenia di antara bulan Julai dan Ogos tahun ini , hanya beberapa minggu sebelum konflik persenjataan di Nagorno Karabakh berlaku.

Pesawat membawa senjata Russia itu dikatakan mengambil laluan di luar kebiasaan daripada Rostof-on-Don ke Kazakhstan, Turkmenistan dan Iran sebelum memasuki Armenia daripada arah selatan.

Ia dianggap oleh Azerbaijan sebagai usaha Moscow untuk menutup tindakannya menyebelahi Armenia dalam konflik di Nagorno Karabakh.

— DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...