Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pakistan Kerah JF-17, J-10C Bedil Kedudukan Kumpulan Bersenjata di Iran

Serangan pesawat-pesawat pejuang JF-17 "Thunder" dan J-10C "Vigorous Dragon" serta dron bersenjata Wing Loong II milik Pakistan itu disasarkan terhadap kedudukan kumpulan-kumpulan bersenjata di Wilayah Sistan dan Baluchistan di Iran yang terletak di sempadan dengan Pakistan.

0 8,579

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Udara Pakistan mengerahkan pesawat-pesawat pejuang JF-17 “Thunder” dan J-10C  “Vigorous Dragon” miliknya untuk melancarkan serangan udara terhadap kedudukan kumpulan-kumpulan bersenjata di dalam wilayah Iran.

Selain pesawat-pesawat pejuang, Islamabad turut menggunakan dron Wing Loong II dalam operasi dinamakan “Marg Bar Sarmachar” yang bermakna “kematian kepada gerila.”

Serangan pesawat-pesawat pejuang JF-17 dan J-10C serta dron bersenjata milik Pakistan itu disasarkan terhadap kedudukan kumpulan-kumpulan bersenjata di Wilayah Sistan dan Baluchistan di Iran yang terletak di sempadan dengan Pakistan.

Pakistan dan Iran berkongsi sempadan sepanjang 900km.

Pesawat pejuang JF-17 itu dibangunkan oleh Pakistan Aeronautical Complex (PAC) dan  Chengdu Aircraft Industry Group (CAIG).

Selain membangunkan secara bersama pesawat JF-17 itu, China turut memberikan beberapa teknologi terbaru yang digunapakai oleh pesawat pejuang termajunya, J-20 “Mighty Dragon” kepada Pakistan untuk digunakan oleh pesawat JF-17 Block 3.

Pakistan
JF-17

 

Secara keseluruhannya, tentera udara Pakistan bakal memiliki kira-kira 50 buah pesawat JF-17 Block 3 menjelang tahun 2024, bagi menambah pegangan 98 buah pesawat JF-17 Block 1 dan JF-17 Block 2.

Antara kemampuan terbaru JF-17 Block 3 berbanding JF-17 Block 2 adalah pesawat varian termaju JF-17 itu dilengkapi dengan radar Active Electronically Scanned Array (AESA) “KLJ-7A” yang dibangunkan oleh China Electronics Technology Group.

Serangan pesawat-pesawat pejuang dan dron bersenjata milik Pakistan terhadap wilayah Iran itu adalah sebagai respons terhadap tindakan Teheran melancarkan serangan peluru berpandu ballistik terhadap kedudukan kumpulan bersenjata yang terletak dalam Pakistan.

Pesawat-pesawat pejuang JF-17 Tentera Udara Pakistan yang berpangkalan di pangkalan udara di Karachi mula bertindak terhadap kedudukan kumpulan bersenjata yang terletak kira-kira 80km di dalam wilayah Iran selepas Subuh.

“Pesawat-pesawat pejuang Tentera Udara Pakistan itu melakukan serangan pre-emptive terhadap kedudukan kumpulan bersenjata di Iran menggunakan senjata-senjata standoff jarak jauh yang membolehkan mereka mengebom kedudukan kumpulan bersenjata walau ketika berada dalam ruang udara mereka sendiri.”

Pakistan
J-10C Pakistan

 

Senjata digunakan oleh pesawat-pesawat pejuang Pakistan itu adalah GIDS B-REK (Boosted Range Extension Kit), yang merupakan bom-bom glide berketepatan tinggi yang berkemampuan membedil sasaran sejauh 170km jauhnya.

Tujuh orang terbunuh dalam serangan udara oleh pesawat-pesawat pejuang Pakistan itu.

Tentera Udara Pakistan mula melengkapkan pesawat-pesawat pejuang JF-17 yang dibangunkannya secara bersama dengan China dengan bom-bom glide berketepatan tinggi GIDS B-REK yang dibangunkan oleh syarikat Global Industrial and Defense Solutions (GIDS).

Dalam serangan itu, pesawat-pesawat pejuang J-10C milik Pakistan yang dibelinya daripada China itu memberikan perlindungan udara serta bantuan daripada segi sokongan peperangan elektronik (Electronic Warfare).

Pada tahun 2022, Pakistan mengumumkan bahawa ia telah memperolehi 25 buah pesawat pejuang J-10C yang dibangunkan oleh Chengdu Aircraft Corporation.

Pakistan

Perolehan 25 buah pesawat J-10C oleh Pakistan daripada China itu merupakan usaha negara Asia Selatan untuk bersaing dengan pembelian 36 buah pesawat dua enjin Rafale buatan Perancis yang diperolehi oleh seteru utamanya, India.

Varian pesawat pejuang J-10C milik Pakistan itu dilengkapi dengan peralatan terkini seperti Active Electronically Scanned Array (AESA) dan peluru berpandu udara-ke-udara Beyond Visual Range (BVR) “PL-15”.

Peluru berpandu udara-ke-udara PL-15 itu dikatakan dibangunkan dengan bantuan pakar-pakar daripada Russia dan memilik jarak effektif di antara 200km hingga 300km, sebagaimana didakwa oleh China.

Pesawat J-10C itu juga dikatakan menggunakan enjin keluaran syarikat tempatan China dipanggil “WS-10C” dan bukan enjin Saturn AL-31F yang dibangunkan oleh Russia bagi mengelak kompleksiti dalam penjualan pesawat itu kepada Pakistan. — DSA

Comments
Loading...