Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pesawat Pengebom Terbaru Russia “PAK DA” Pentingkan Halimunan Berbanding Kelajuan

Berlainan dengan program pembangunan pesawat oleh Tupolev sebelum ini yang mementingkan kelajuan,  bagi program pembangunan PAK DA syarikat itu mengambil pendekatan yang berbeza. Pesawat pengebom halimunan, PAK DA merupakan pesawat pengebom subsonic dengan kelajuannya tidak melebih Mach 1.0.

6,646

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pesawat pengebom strategik Russia yang baru dipanggil “PAK DA” atau “Izdelie 80”  (Product 80) yang dibangunkan oleh syarikat Tupolev dijangka akan melakukan penerbangan sulungnya pada tahun 2025.

PAK DA juga adalah pesawat pengebom halimunan pertama Russia.

Bagaimanapun, berlainan dengan program-program pembangunan pesawat Tupolev sebelum ini yang mementingkan kelajuan,  bagi program pembangunan PAK DA syarikat itu mengambil pendekatan yang berbeza.

Tupolev adalah syarikat yang bernaung di bawah United Aircraft Corporation (UAC).

Pesawat pengebom strategik PAK DA merupakan pesawat pengebom berkelajuan subsonic dengan kelajuannya tidak melebih Mach 1.0, berlainan dengan slogan yang selalu didengar “lagi laju lagi baik.”

PAK DA
Lakaran grafik PAK DA

 

Fokus syarikat Tupolev dalam program pembangunan pesawat pengebom PAK DA adalah kepada ciri-ciri halimunan dalam rekabentuk pesawat itu.

Pereka-pereka pesawat pengebom PAK DA mahu mengambil contoh daripada pesawat pengebom pesawat pengebom strategi Amerika Syarikat, B-2 Spirit yang menitikberatkan ciri-ciri halimunan daripada kelajuannya.

Disebabkan program PAK DA itu menggunakan B-2 Spirit sebagai contoh, maka pelbagai pihak juga menuduh bahawa Russia cuba “meniru” rekabentuk pesawat pengebom Amerika Syarikat itu terutamanya dalam rekabentuk “flying wing”.

Rekabentuk “flying wing” itu tidak lagi menggunakan struktur tradisional pesawat seperti fiuslaj, sayap dan pelbagai elemen yang lain seperti komponen stabilisation dan kawalan penerbangan.

 Sebaliknya, elemen-elemen pesawat tradisional itu akan diganti komputer kawalan penerbangan yang kompleks.

Walaupun program pembangunan pesawat pengebom strategik PAK DA itu diselubungi dengan misteri, namun boleh disahkan bahawa pesawat itu direkabentuk untuk membawa persenjataan konvensional, nuklear dan hypersonik.

PAK DA

Kemampuannya untuk membawa persenjataan berkelajuan tinggi menghapuskan keperluan PAK DA untuk memiliki kelajuan yang tinggi.

PAK DA dikatakan akan merevolusi peperangan udara dengan ciri-ciri halimunannya,mengelirukan sistem pertahanan udara musuh bagi membolehkannya melancarkan peluru-peluru berpandu hypersonic.

Secara keseluruhannya, pesawat pengebom PAK DA itu dikatakan berkemampuan membawa sehingga 30 tan bom dan peluru berpandu berbanding hanya 20 tan bagi pesawat pengebom B-2 Spirit Amerika Syarikat.

Prototaip pesawat pengebom strategik terbaru Russia dipanggil PAK-DA atau “Izdelie 80” (Product 80) dipercayai sudah hampir siap, dengan pesawat itu dijangka melakukan penerbangan sulungnya sebelum tahun 2025.

Beberapa bulan lepas, Menteri Negara bagi Angkatan Tentera British James Heappey berkata, pesawat pengebom terbaru Russia itu memiliki ciri-ciri halimunan (stealth).

“Russia mengekalkan beberapa jenis pesawat pengebom dalam keadaan berjaga-jaga di beberapa pangkalan udara di seluruh wilayahnya. Prototaip PAK-DA yang rekabentuknya adalah menyamai pesawat pengebom B-2 Amerika Syarikat berkemungkinan sudah hampir siap,” kata beliau.

B-2
Pesawat pengebom B-2 “Spirit”

 

Pada ketika ini Russia menggunakan beberapa pesawat pengebom seperti Tu-95, Tu-22 dan Tu-160 dan dengan kehadiran PAK-DA (Izdelie 80), pesawat pengebom strategik terbaru Russia dijangka akan menggantikan beberapa pesawat pengebom strategik yang sudah agak berusia.

“PAK-DA atau Izdelie 80 akan menjadi pesawat pengebom strategik Russia yang benar-benar halimunan,” kata media Russia.

Disebabkan ciri-cirinya yang halimunan, pesawat pengebom terbaru Russia itu berkemampuan menyelinap masuk ke dalam ruang udara sesebuah negara tanpa dapat dikesan oleh radar dan menggugurkan muatannya sebelum pulang ke pangkalannya.

Kesemua ini dilakukannya tanpa dapat dikesan oleh radar disebabkan rekabentuknya yang memiliki ciri-ciri Radar Cross Section (RCS) yang amat rendah, selain pesawat diselaputi (coating) dengan bahan khas yang kalis pancaran radar. 

B-21
Pesawat B-21 “Raider”

 

Russia sedang bersaing dengan Amerika Syarikat dan China yang juga sedang membangunkan pesawat-pesawat pengebom strategik mereka yang baru berdasarkan kepada teknologi halimunan.

Pada akhir tahun lepas, Amerika Syarikat telah memperkenalkan secara rasmi buat pertama kalinya pesawat pengebom terbarunya yang dipanggil B-21 “Raider”, yang dibangunkan oleh firma Northrop Grumann.

Menurut media-media Russia, walaupun pesawat pengebom terbaru Russia itu memiliki kelajuan subsonic, namun ia berkemampuan beroperasi sehingga sejauh 15,000km. — DSA

DEFENCE  SECURITY ASIA APPS

 

To advertise contact admin: [email protected]

 

 

Comments are closed.