Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pada 2027, Tiada Lagi Kapal Perang Cruiser Kelas-Ticonderoga Dalam Tentera Laut Amerika

Penamatan khidmat 13 buah kapal perang cruiser kelas-Ticonderoga itu juga menandakan tamatnya hayat 35 tahun kapal cruiser kelas-Ticonderoga yang merupakan kapal perang pertama dalam Tentera Laut Amerika Syarikat yang dilengkapi dengan sistem peperangan AEGIS.

0 2,972

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada September 2027, kesemua baki 13 daripada 27 buah kapal perang cruiser kelas-Ticonderoga yang masih tinggal dimiliki Tentera Laut Amerika Syarikat akan dibersarakan atau diletakkan sebagai aset simpanan perang negara itu.

Selain diletakkan dalam aset simpanan perang, ada juga di antara kapal-kapal cruiser kelas-Ticonderoga itu akan dijadikan sasaran dalam SINKEX (Sinking Exercise) untuk ditenggelamkan dalam latihan penembakan.

Penamatan khidmat 13 buah kapal perang cruiser kelas-Ticonderoga itu juga menandakan tamatnya hayat 35 tahun kapal cruiser kelas-Ticonderoga yang merupakan kapal perang pertama dalam Tentera Laut Amerika Syarikat yang dilengkapi dengan sistem peperangan AEGIS.

Pada Jun ini dan bulan-bulan berikutnya, empat buah kapal cruiser kelas-Ticonderoga iaitu USS Vicksburg (CG 69) akan ditamatkan khidmat, diikuti oleh USS Cowpens (CG 64) yang akan bersara pada Ogos, USS Antietam (CG 54) dan USS Leyte Gulf (CG 55) yang akan bersara pada September tahun ini.

Kapal-kapal cruiser kelas-Ticonderoga akan ditamatkan perkhidmatannya oleh Tentera Laut Amerika Syarikat selepas 35 tahun perkhidmatan dan tempatnya akan diggantikan dengan kapal-kapal perang destroyer Flight III kelas-Arleigh Burke.

Ticonderoga

Tentera Laut Amerika Syarikat mula membina kapal-kapal perang cruiser kelas-Ticonderoga pada 1981 dan pembinaan itu berterusan sehinggalah pada tahun 1992, dengan sebanyak 27 buah kapal perang paling berkuasa dalam armada tentera laut negara itu telah dibina.

Kapal perang cruiser pertama kelas-Ticonderoga dinamakan “USS Ticonderoga” mula berkhidmat dengan Tentera Laut Amerika Syarikat pada tahun 1983.

Kapal perang cruiser kelas-Ticonderoga itu memiliki berat sehingga 9,600 tan (full load) itu boleh belayar selaju 30 knots dengan membawa lebih daripada 330 orang anak kapal dan pegawai.

Kapal perang sepanjang lebih daripada 170 meter itu boleh belayar sejauh 6,000 batu nautika pada kelajuan cruising 20 knot.

Ia direkabentuk untuk melaksanakan misi-misi pertahanan udara dan jarak jauh seperti Anti-Submarine Warfare (ASW), Anti-Surface Warfare (ASUW), Anti-Air Warfare (AAW) dan juga Peperangan Elektronik (EW).

Selain itu ia berkeupayaan membedil sasaran-sasaran daratan, rondaan jarak jauh dan pemantauan serta menjadi pengiring kepada kapal-kapal bernilai tinggi seperti kapal pengangkut pesawat serta kapal-kapal amfibia.

Daripada segi sistem persenjataannya pula, kapal-kapal perang cruiser kelas-Ticonderoga dilengkapi dengan beberapa jenis meriam daripada kaliber 127mm, 20mm, 25mm hinggalah kepada mesingan berat 12.7mm.

Bagi sistem peluru berpandunya pula, ia dilengkapi dengan 122 buah sel Mk41 yang berkemampuan melancarkan pelbagai jenis peluru berpandu sama ada untuk pertahanan udara, serangan anti-kapal dan juga serangan darat.

Antara peluru-peluru berpandu dibawanya adalah beberapa varian Standard Missile (SM) untuk pertahanan udara, Sea Sparrow, Anti Ballistic Missile, ESSM,  peluru berpandu kruis Tomahawk, ASROC (anti-submarine rocket) dan peluru berpandu anti-kapal Harpoon.

Ia juga dilengkapi dengan pelbagai sistem penderia seperti radar, optronic, sonar, komunikasi, navigasi, decoys, countermeasures dan juga jammers.

 

Selain USS Vicksburg, USS Cowpens, USS Antietam dan USS Leyte Gulf yang akan dibersarakan pada tahun ini, kapal-kapal perang cruiser kelas-Ticonderoga yang akan ditamatkan khidmat pada tahun depan pula adalah USS Philipine Sea (CG 58) pada tahun depan.

Turut sama ditamatkan khidmat pada tahun depan adalah – USS Normandy (CG 60), USS Shiloh (CG 67), USS Lake Erie (CG 70) manakala USS Princeton (CG 59) pula akan ditamatkan khidmatnya pada tahun 2026.

Turut dijadulkan tamat perkhidmatan pada 2026 adalah USS Robert Small (CG 62), USS Gettyburg (CG 64) manakala bagi tahun 2027 pula, kapal perang cruiser kelas-Ticonderoga USS Chosin (CG 65) dan juga USS Cape St George (CG 71) akan menjadi dua kapal terakhir dibersarakan pada tahun 2027 sebagaimana dirancang.

Sebelum ini sebanyak 14 buah kapal-kapal cruiser kelas-Ticonderoga telah pun ditamatkan secara berperingkat bermula daripada tahun 2004.

Leadship kapal perang cruiser kelas-Ticonderoga iaitu USS Ticonderoga pula telah ditamatkan khidmatnya pada 2013 selepas berkhidmat selama kira-kira 30 tahun. — DSA

 

 

Comments
Loading...