Arab Saudi Mahu Eksploitasi Sumber Uranium Tempatan Untuk Bangun Industri Nuklear
Arab Saudi telah berulang-kali menyatakan hasratnya untuk membangun dan mengembangkan program nuklearnya sendiri termasuk usaha-usaha pengkayaan uranium (uranium enrichment) yang amat dibimbangi oleh negara-negara Barat terutamanya Amerika Syarikat dan Israel kerana usaha pengkayaan uranium itu mempunyai peranan di dalam bidang pembuatan senjata nuklear.
(DEFENCE SECURITY ASIA) –Walaupun dikenali sebagai antara negara pengeksport minyak terbesar dunia, namun Arab Saudi tetap mahu menggunakan Uranium yang diperolehinya daripada sumber tempatan untuk membina sektor tenaga nuklearnya sendiri.
Ia adalah sebahagian daripada usaha negara Arab untuk tidak terlalu bergantung kepada minyak dan mempelbagaikan sumber tenaganya.
Menteri Tenaga Arab Saudi Putera Abdulaziz bin Salman berkata usaha perlombongan oleh negara menunjukkan negara Arab itu memiliki pelbagai portfolio Uranium yang boleh dieksploitasi untuk membangunkan industri tenaga berasakan teknologi nuklear.
Arab Saudi dengan kerjasama China mula melombong sumber Uranium tempatan di lombong bahan itu di Wilayah Al-Hail, negara itu.
Negara Arab Teluk itu telah berulang-kali menyatakan hasratnya untuk membangun dan mengembangkan program nuklear termasuk usaha-usaha pengkayaan uranium (uranium enrichment) yang amat dibimbangi oleh negara-negara Barat terutamanya Amerika Syarikat dan Israel.
Mereka bimbangkan kerana usaha pengkayaan uranium itu mempunyai peranan di dalam bidang pembuatan senjata nuklear.
Pada ketika ini, masih tidak jelas akan matlamat sebenar Arab Saudi berkenaan hasratnya menceburi teknologi nuklear, kecuali mahu mempelbagaikan sumber tenaganya yang kini terlalu bergantung kepada minyak.
Bagaimanapun pada 2018, Putera Mahkota Arab Saudi Mohamad bin Salman dilaporkan berkata bahawa negara Arab itu akan membangunkan senjata nuklearnya sendiri, jika pesaing utamanya iaitu Iran berjaya membangunkan senjata nuklearnya.
Bagi penganalisis Timur Tengah, kenyataan oleh MBS itu adalah suatu kenyataan jelas tentang hala-tuju Arab Saudi dalam usahanya menceburi industri tenaga nuklear.
“Arab Saudi mahu mengeksploitasi Uranium yang diperolehinya daripada sumber tempatan termasuk dengan rakan kerjasama selari dengan komitmen antarabangsa dan standard ketelusan,” kata menteri tenaga negara Arab itu.
Pembabitan Arab Saudi di dalam teknologi nuklear meliputi segala pusingan tenaga nuklear termasuk produksi yellowcake, pengkayaan rendah uranium (low enriched uranium) dan penghasilan bahan api nuklear untuk penggunaan domestik dan eksport.
Pada ketika ini hanya Emiriah Arab Bersatu (UAE) memiliki loji janakuasa nuklear, tetapi negara Teluk itu telah memberikan komitmennya untuk tidak melakukan pengkayaan uranium secara sendiri atau memproses semula bahan api nuklear.
Reaktor nuklear memerlukan uranium yang telah diperkaya sehingga ke tahap 5 peratus ketulenannya (purity), bagaimanapun, teknologi yang sama juga boleh digunakan untuk memperkaya (enrich) logam berat (heavy metal) ke tahap lebih tinggi menyamai gred untuk persenjataan.
Arab Saudi semakin mempergiatkan usahana untuk menguasai teknologi nuklear apabila ia dilapor akan mempertimbangkan tawaran oleh China untuk membina loji janakuasa nuklear di negara Timur Tengah itu, dalam satu lagi bukti menunjukkan hubungan diplomatik yang semakin akrab di antara Riyadh dan Beijing.
Agensi kerajaan, China National Nuclear Corp (CNNC) telah mengemukakan tawaran untuk membina sebuah loji janakuasa nuklear di wilayah timur Arab Saudi berhampiran dengan sempadan negara itu dengan Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), menurut pegawai-pegawai Riyadh.
Kementerian Luar China tidak mengesahkan laporan oleh media, Wall Street Journal (WSJ) mengenai tawaran pembinaan loji janakuasa nuklear oleh agensinya tetapi jurucakapnya berkata, Beijing akan terus menjalin kerjasama yang menguntungkan kedua-dua pihak meliputi pelbagai bidang termasuk tenaga nuklear.
Ia bagaimanapun berkata akan tetap mematuhi peraturan antarabangsa yang mengawal industri tenaga nuklear itu.
Arab Saudi sebelum ini dilaporkan cuba bekerjasama dengan Amerika Syarikat dalam usahanya untuk melaksanakan program nuklear untuk awam dalam salah satu syarat memintanya supaya mewujudkan hubungan diplomatik dengan Israel.
Israel membantah cadangan Arab Saudi untuk mewujudkan program nuklear untuk awam sebagai salah satu syarat untuk mewujudkan hubungan diplomatik dengan negara Yahudi itu.
Pegawai-pegawai Amerika Syarikat dilapor pernah berkata bahawa ia akan hanya berkongsi teknologi tenaga nuklear jika perjanjian dimeterai bagi mengelak usaha pengkayaan (enrichment) Uranium atau memproses plutonium di reactor – dua usaha untuk membangunkan senjata nuklear.
Menurut media berpengaruh itu, Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman bersedia untuk bekerjasama dengan agensi China itu sekiranya rundingan dengan pihak Amerika Syarikat itu menemui jalan buntu.
Arab Saudi bercadang membina 16 buah loji janakuasa nuklear di negara itu untuk tempoh 25 tahun pada kos US$80 bilion dalam usahanya untuk mengurangkan kebergantungannya kepada minyak dan gas, walaupun rizab minyak dan gas oleh negara Arab Saudi itu adalah kedua terbesar di dunia. — DSA
DEFENCE SECURITY ASIA APPS
To advertise contact admin: [email protected]
Comments are closed.