Pesawat Pejuang SEPECAT Jaguar India Terhempas, Armada Berusia Terus Dipaksa Terbang Hingga 2040

Kematian dua juruterbang IAF di Rajasthan dedah betapa bergantungnya India kepada pesawat pejuang nuklear era Perang Dingin di tengah persaingan udara dengan Pakistan dan China.

Dua juruterbang Tentera Udara India (IAF) terkorban apabila pesawat pejuang latihan SEPECAT Jaguar yang mereka terbangkan terhempas di sebuah kawasan sawah padi di daerah Churu, Rajasthan, sekali gus menonjolkan risiko operasi akibat kebergantungan India terhadap pesawat-peswat pejuang berusia.
Menurut sumber polis tempatan, pesawat pejuang malang itu terhempas di Kampung Bhanoda sekitar jam 1.25 petang, sekali gus mencetuskan kebimbangan baharu tentang tahap kebolehgunaan pesawat legasi tersebut.
“Pesawat Latihan Jaguar IAF terlibat dalam satu kemalangan semasa menjalankan misi latihan rutin dan terhempas berhampiran Churu di Rajasthan hari ini. Kedua-dua juruterbang mengalami kecederaan maut dalam kemalangan itu. Tiada kerosakan pada harta benda awam dilaporkan,” kata IAF dalam hantaran rasmi di akaun X miliknya.
Dalam kenyataan susulan, pihak Tentera Udara berkata mereka “sangat kesal” dengan kehilangan nyawa ini dan telah menubuhkan Lembaga Siasatan bagi mengenal pasti punca nahas tragis berkenaan.
Ini merupakan kemalangan ketiga melibatkan pesawat pejuang berusia, SEPECAT Jaguar milik IAF bagi tahun ini sahaja, selepas dua insiden terdahulu — satu berhampiran Ambala pada bulan Mac dan satu lagi dekat Jamnagar pada bulan April — yang sekali gus menonjolkan “tahap keusangan” armada pesawat pejuang Jaguar yang lama India.
Menurut pangkalan data Aviation Safety Network yang diiktiraf di peringkat global, sekurang-kurangnya 12 pesawat Jaguar telah terhempas dalam tempoh sedekad lalu, menjadi peringatan jelas betapa sukarnya mengoperasikan pesawat era Perang Dingin ini dalam persekitaran moden.
Pesawat pejuang berusia, SEPECAT Jaguar mula diperkenalkan ke dalam perkhidmatan IAF pada tahun 1979 melalui perjanjian bernilai USD 1 bilion (kira-kira RM4.7 bilion pada ketika itu), dan sehingga kini masih menjadi komponen penting keupayaan serangan nuklear India — faktor utama yang menghalang pesawat ini daripada dilupuskan sepenuhnya walaupun sudah berdekad berkhidmat.
Jaguar
.
Direka sebagai pesawat serangan supersonik altitud rendah, pesawat SEPECAT Jaguar dilengkapi enjin berkembar Rolls-Royce Turbomeca Adour serta reka bentuk sayap konvensional yang suatu ketika dahulu memberikan IAF kelebihan dalam misi serangan taktikal jarak jauh termasuk peranan penghantaran senjata nuklear.
Negara-negara seperti Britain, Perancis, Oman, Ecuador, Nigeria dan lain-lain yang pernah mengoperasikan Jaguar telah lama menamatkan perkhidmatan pesawat ini — dengan banyak kerangka pesawatnya kini dipamerkan di muzium udara — tetapi India kekal sebagai satu-satunya negara di dunia yang masih mengoperasikan Jaguar secara aktif.
Realiti ini berpunca daripada kelewatan pembelian pesawat pejuang baharu serta kekurangan berterusan skuadron-skuadron pesawat pejuang, yang kini merosot daripada kekuatan yang diluluskan oleh kerajaan India sebanyak 42.5 skuadron kepada hanya sekitar 30 skuadron aktif pada masa ini.
Kekurangan ini semakin rumit dengan kegagalan program penggantian pesawat-pesawat pejuang buatan tempatan.
Pesawat HAL Tejas Mk2, yang sepatutnya menjadi tunjang menggantikan Jaguar dan MiG-21 Bison, terus berdepan kelewatan serta pelbagai masalah berkaitan pembangunan, menyebabkan perancang IAF kekurangan alternatif.
Program Multi-Role Fighter Aircraft (MRFA) yang diharapkan dapat menambah 114 pesawat pejuang baharu dengan nilai lebih USD 18 bilion (anggaran RM85 bilion) juga masih bergelut masalah di peringkat Request For Proposal tanpa sebarang perkembangan nyata.
Dalam ketidaktentuan ini, keupayaan unik Jaguar untuk membawa muatan nuklear menjadikannya masih relevan dalam membentuk ‘second strike capability’ India walaupun kerangka pesawatnya telah berkhidmat melebihi 45 tahun.
Syarikat Dassault Aviation, yang mengambil alih Breguet pada tahun 1971, menyatakan bahawa Jaguar adalah projek pesawat pejuang kerjasama pertama di dunia yang dibangunkan antara dua negara — British Aircraft Corporation dari UK dan Breguet dari Perancis — bagi memenuhi keperluan taktikal Perang Dingin Tentera Udara Diraja British (RAF) dan Armée de l’Air.
Walaupun pada asalnya dibina sebagai jet latihan lanjutan, tuntutan operasi yang semakin meningkat pada era 1960-an telah menukar Jaguar menjadi pesawat serangan taktikal berprestasi tinggi yang mampu terbang supersonik, menyusup altitud rendah dan membawa beban nuklear terhad.
Jaguar melakukan penerbangan sulungnya pada tahun 1968, dengan enjin berkembar Adour yang sejak sekian lama dianggap kurang berkuasa oleh standard moden, manakala dua meriam 30mm, tujuh hardpoint serta kelajuan maksimum Mach 1.6 memberikan keupayaan yang kompetitif pada era kemuncaknya.
Sepanjang sejarah operasi, Jaguar pernah digunakan di pelbagai medan konflik — dari Mauritania dan Chad ke Iraq dan Bosnia — serta berperanan sebagai platform penghantaran nuklear sedia guna untuk UK dan Perancis sebelum kedua-dua negara tersebut menamatkan perkhidmatan pesawat ini.
Selepas memeterai perjanjian bersejarah dengan UK pada tahun 1978, India menerima pesawat Jaguar pertama daripada RAF pada tahun 1979, diikuti 40 unit tambahan yang dibina khas dari UK pada 1981.
Hindustan Aeronautics Limited (HAL) kemudiannya menghasilkan lebih 120 pesawat Jaguar secara lesen di bawah perjanjian pemindahan teknologi SEPECAT, mengekalkan hayat pesawat ini sehingga ke awal 2000-an.
Menurut laporan International Institute for Strategic Studies (IISS) The Military Balance 2024, IAF masih mengoperasikan kira-kira 115 pesawat Jaguar, termasuk 28 Jaguar IB untuk latihan, 79 Jaguar IS varian serangan satu tempat duduk, dan lapan Jaguar IM versi maritim.
Dengan setiap dekad berlalu, India terus membelanjakan sumber yang besar untuk memanjangkan usia Jaguar melalui pelbagai program naik taraf.
Sekitar 60 pesawat kini sedang dinaik taraf ke standard DARIN III dengan pemasangan radar moden EL/M-2032 buatan Israel, avionik baharu dan peluru berpandu AIM-9L Sidewinder buatan Amerika Syarikat — pakej ini dijangka mengekalkan armada Jaguar sehingga sekurang-kurangnya 2035.
Namun selebihnya dijangka mula bersara bermula 2027-2028, dengan penamatan penuh mungkin hanya selesai menjelang 2040 — itu pun jika tiada lagi kelewatan dalam pelaksanaan program penggantian pejuang India yang lebih besar.
Dalam konteks serantau, kebergantungan India terhadap Jaguar jelas mendedahkan betapa rumitnya dinamik nuklear Asia Selatan yang kian berkembang.
Pakistan secara agresif memperkukuh armada F-16 sedia ada dan turut memperkenalkan J-10C serta JF-17 Block III dengan peluru berpandu jarak jauh PL-15, menjadikan keperluan India mengekalkan ‘nuclear triad’nya semakin mendesak.
Malah, selepas serangan udara India baru-baru ini semasa Operation Sindoor, laporan tidak rasmi menyebut bahawa Jaguar digunakan untuk misi jarak jauh yang  menyasarkan pangkalan udara Tentera Udara Pakistan, membuktikan nilai deteren pesawat ini walaupun sudah empat dekad berkhidmat.
Bagaimanapun, daya tahan ini datang dengan kos.
Setiap kemalangan seperti ini semakin menghakis armada tempur IAF yang sudah pun sedia tenat dan menimbulkan persoalan besar mengenai keselamatan juruterbang, keletihan rangka pesawat dan kewajaran untuk terus mengekalkan pesawat era Perang Dingin dalam dekad ketiga abad ke-21.
Selagi HAL Tejas Mk2, varian Rafale terkini dan program MRFA yang masih samar-samar belum mencapai sasaran, India mungkin tiada pilihan selain terus menggantungkan harapan pada Jaguar untuk menjalankan misi yang pada asalnya tidak pernah dibina untuk zaman moden ini.
Kehilangan dua juruterbang terlatih serta satu lagi pesawat Jaguar ini menjadi peringatan suram bahawa kos penangguhan pembaharuan armada pesawat-pesawat pejuang India tidak boleh hanya diukur pada angka peruntukan belanjawan semata-mata.
Tatkala Tentera Udara PLA China dan PAF Pakistan bergerak pantas dengan platform generasi ke-4.5 dan ke-5 yang lebih canggih, kebergantungan India pada armada pejuang lapuk ini semakin menyerlah dalam landskap persaingan kuasa di rantau Asia Selatan.
Nahas terbaharu ini bukan sekadar tragedi — sebaliknya satu amaran jelas yang menyingkap jurang dalam pelan pemodenan pesawat pejuang India.
Buat masa ini, deruman Jaguar masih akan berkumandang di pangkalan udara IAF untuk sekurang-kurangnya satu dekad lagi, tetapi setiap penerbangan akan terus mengingatkan India betapa benteng udaranya kini terpaksa bergantung kepada “kuda tua” yang dipaksa menanggung beban baharu sedangkan pesawat generasi baharu masih tersangkut di “papan lukisan”.

SNIPPET

Dua juruterbang IAF maut dalam nahas Jaguar di Rajasthan, lonjak kebimbangan kebergantungan India pada pesawat lama di sebalik kelewatan program Tejas Mk2 dan pembelian MRFA.

Leave a Reply