Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kenderaan MRAP Viral Di Media Sosial Adalah IAG “Jaws” 4×4

Kenderaan MRAP (Mine Resistant Ambush Protected) milik PDRM yang berada di tempat letak kereta WTCKL pada Ahad itu adalah daripada jenis "Jaws" APC 4x4 yang diperbuat oleh syarikat International Armored Group (IAG) berpengkalan di Emiriah Arab Bersatu (UAE). 

0 1,819

(DEFENCE SECURITY ASIA) – – Kehadiran sebuah kenderaan MRAP (Mine Resistant Ambush Protected) bersama-sama anggota keselamatan lengkap bersenjata di tempat letak kereta di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur (WTCKL) pada Ahad lepas telah menarik perhatian netizen.

Kenderaan MRAP berwarna serba hitam itu adalah milik pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dipercayai sebahagian daripada kawalan keselamatan untuk Perdana Menteri yang menghadiri mesyuarat di WTCKL pada malam itu.

Menerusi maklumat daripada media-media sosial, kenderaan perisai itu digunakan oleh anggota Unit Tindak Khas (UTK), PDRM.

MRAP
(sumber FB)

 

Kenderaan berperisai milik PDRM yang berada di tempat letak kereta WTCKL pada Ahad itu adalah daripada jenis “Jaws” 4×4 yang diperbuat oleh syarikat International Armored Group (IAG) yang berpengkalan di Emiriah Arab Bersatu (UAE). 

Pada 2015, Kementerian Dalam Negeri telah menandatangani kontrak perolehan dengan Global Komited Sdn Bhd, yang merupakan anak syarikat Weststar Group untuk memperolehi lapan buah kenderaan perisai “Jaws” itu. 

Kontrak perolehan itu telah ditandatangani semasa 4th General Police and Special Equipment Exhibition and Conference 2015.

MRAP
(sumber FB)

 

Ketika perolehannya pada 2015, PDRM merupakan pasukan polis yang pertama di Asia Tenggara yang menggunakan kenderaan berperisai IAG Jaws 4×4 untuk pasukan komando dan unit-unit khasnya. 

Terdapat laporan mengatakan bahawa empat buah daripada kenderaan berperisai itu kini berkhidmat dengan unit-unit khas PDRM di Timur Sabah. 

Menurut syarikat pembuat kenderaan perisai itu, IAG Jaws 4×4  itu direka khusus untuk mematuhi keperluan yang ketat untuk pemilikan kenderaan mobiliti tinggi dan ringan untuk kegunaan anggota tentera dan pasukan-pasukan penguatkuasaan undang-undang di seluruh dunia. 

IAG Jaws
(PDRM)

 

Konfigurasi standard kenderaan perisai itu memberikan perlindungan sehingga kepada standard CEN B6/NIJ III atau STANAG Tahap 1 yang melindunginya daripada peluru 7.62mm dan pistol 5.56mm.

Bagaimanapun menerusi kerja peningkatan taraf terhadap kenderaan itu terutama armornya kepada STANAG Tahap II, kenderaan itu kini boleh menahan serangan peluru armor-piercing 7.62mm selain bom tangan, periuk api dan Improvised Explosive Device (IED). 

Kenderaan perisai ini boleh dilengkapkan dengan enjin-enjin berkapasiti 3.3 liter kepada 3.5 liter dan seterusnya 4.0 liter sebanyak 300 kuasa kuda dengan transmisi enam dan 10 kelajuan. 

 

TEKAN UNTUK MUAT-TURUN APLIKASI DEFENCE  SECURITY ASIA:  

Google Play

 

Kenderaan perisai ini boleh memuatkan sehingga lapan orang penumpang. 

Kenderaan perisai IAG Jaws ini mula diperkenalkan kepada orang ramai pada pameran International Armoured Vehicles di United Kingdom pada 2013. — DSA

 

Jom follow TwitterTelegramFacebook dan download Apps Google Playstore Defence Security Asia.

 

 

Comments
Loading...