Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Mengapa Perlu Berunding, Jika Itu Sememangnya Hak Kita?

Sebenarnya tuntutan China terhadap sebahagian besar Laut China Selatan termasuk Beting Patinggi Ali (Luconia Shoals) itu telah sengaja diada-adakan oleh pemerintah Beijing bagi membolehkan ia menekan negara-negara kecil lain termasuk Malaysia untuk “berkongsi” khazanah minyak dan gas yang amat diperlukan untuk memacu ekonominya pada masa depan.

0 18,964

(DEFENCE SECURITY ASIA) – – Untuk makluman semua, Beting Patinggi Ali (Luconia Shoals) hanya terletak 84 batu nautika (155 km) dari pantai Miri (spesifiknya di Tanjung Baram, Sarawak) dan adalah jelas beting itu terletak dalam Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia, sebagaimana digariskan oleh Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS).

Beting Patinggi Ali ini adalah kawasan paling hujung Kepulauan Spratly dan diperakui sebagai kawasan yang amat kaya daripada segi khazanah gas dan minyak, sehinggakan ia menarik minat pihak luar yang teruja dengan kekayaannya. 

Sarawak telah mewartakan gugusan Beting Patinggi Ali sebagai taman negara marin pada tahun 2018 dan dinamakan sebagai Taman Negara Marin Luconia.

Luconia Shoals
Kedudukan Beting Patinggi Ali (Luconia Shoals)

 

Ia merupakan taman negara marin yang terbesar di Malaysia pada ketika ini.

Di sebelah selatan beting itu pula (163 hingga 180 km dari pantai Sarawak) , terdapat beberapa terumbu seperti Hempasan Bentin (Luconia Breakers), Terumbu Balingian, Beting Merpati, Terumbu Sahap, Sierra Blanca dan Terumbu Saji.

Manakala di sebelah utara Beting Patinggi Ali pula (187 hingga 254 km dari pantai Sarawak) terdiri daripada ciri-ciri seperti Beting Rentap, Hempasan Dang Ajar, Terumbu Permaisuri, Terumbu Lang Ngindang, Terumbu Asun, Terumbu Datuk Landih, Terumbu Linggir dan Terumbu Litong yang sesetengahnya boleh dilihat semasa air surut.

Mengenai kekayaan semulajadinya, laporan media sebelum ini menyatakan terdapat sekurang-kurangnya empat platform minyak dan gas milik syarikat minyak negara, PETRONAS yang terletak kurang daripada 25 km dari sempadan Beting Patinggi Ali iaitu F230-A (16.5 km), F6Q-S (22 km), MI-Q (14.6 km) dan BIIP-A (17.6 km).

Sementara itu, terletak kira-kira 100 batu nautika (200km) daripada pusat pemprosesan gas asli di Bintulu pula adalah Lapangan Gas Kasawari di Blok SK316 yang ditemui pada 2011 dan dijangka mula menghasilkan gas pada tahun ini.

Beting
Beting Patinggi Ali (Luconia Shoals)

 

Selain mengekstrak gas asli dibawah fasa pertama, fasa kedua Projek Gas Kasawari akan menyaksikan PETRONAS melaksanakan Projek Pengawalan dan Penyimpanan Karbon (CCS) terbesar di dunia dianggar bernilai RM4.5 bilion.

Lapangan Gas Kasawari milik PETRONAS terletak di Luconia Breaker (Hempasan Bentin) di perairan yang kedalamannya mencecah lebih daripada 100 meter dan amat kaya dengan sumber hidrokarbon terutamanya gas asli.

Daripada projek-projek minyak dan gas yang sedang dilaksanakan oleh PETRONAS dan rakan-rakan PSC (Production Sharing Contract), adalah jelas bahawa kawasan perairan sekitar gugusan Beting Patinggi Ali adalah amat kaya dengan sumber minyak dan gas.

Setiap tahun, ada sahaja penemuan minyak dan gas yang baru diumumkan oleh PETRONAS di kawasan perairan yang prolifik dengan sumber hidrokarbon itu.

Sebagaimana yang telah digariskan oleh UNCLOS 1982,  gugusan Beting Patinggi Ali adalah jelas berada di dalam perairan Sarawak dan juga ZEE Malaysia.

Kasawari
Lapangan Gas Kasawari di Blok SK316 yang diusahakan oleh PETRONAS.

 

Dibawah peruntukan UNCLOS 1982, Malaysia berhak menuntut kawasan EEZ dan mengekploitasi sumber aslinya sehingga 200 batu nautika jauhnya atau 370km.

Ini bermakna, pemilikan gugusan Beting Patinggi Ali sememangnya adalah hak mutlak Malaysia mengikut UNCLOS 1982 yang ditandatangani oleh 168 buah negara dan pihak seluruh dunia.

Tiada tuntutan bertindih dengan China di kawasan itu kerana Beting Patinggi Ali itu 100 peratusnya adalah milik Malaysia.

Jikalau gugusan Beting Patinggi Ali itu adalah hak miik mutlak negara, mengapa Malaysia perlu mengadakan rundingan dengan China (yang terletak ribuan kilometer jauhnya) untuk mengekploitasi sumber aslinya iaitu minyak dan gas?

Adakah kita secara tidak langsung memberi perakuan kepada tuntutan China itu?

Terdahulu hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata bahawa Malaysia sedia berunding dengan China mengenai isu pertikaian di Laut China Selatan.

Ketika mengadakan pertemuan empat mata dengan Presiden China Xi Jinping sempena lawatan rasminya ke China baru-baru ini,  beliau berkata isu Laut China Selatan turut dibangkitkan kerana syarikat minyak dan gas negara, PETRONAS, mempunyai pelantar terbesar bagi projek cari gali yang beroperasi di kawasan berkenaan

TUDM
Sebuah pesawat pengangkut China Ilyushin-76 yang dipintas oleh TUDM dua tahun lepas ketika menghampiri Zon Maritim Malaysia berhampiran Beting Patinggi Ali. (kredit TUDM)

 

“Di kawasan itu ada tuntutan yang sama dari China. Saya beritahu bahawa sebagai negara kecil yang memerlukan sumber minyak dan gas, kita terpaksa teruskan tetapi kalau syaratnya harus ada rundingan, maka kita sedia berunding,” kata Anwar ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini.

Sebenarnya tuntutan daripada China terhadap sebahagian besar Laut China Selatan termasuk di gugusan Beting Patinggi Ali itu telah sengaja diada-adakan oleh pemerintah Beijing bagi membolehkan ia menekan negara-negara kecil lain termasuk Malaysia untuk “berkongsi” khazanah minyak dan gas yang amat diperlukannya untuk memacu ekonominya pada masa depan.

Adakah lojik untuk Beijing menuntut Beting Patinggi Ali yang terletak kira-kira 2,000 km daripada tanah besar China berbanding hanya 155km daripada pantai Sarawak?

Nine Dash Line itu adalah adalah peta imaginasi Beijing dan tidak pernah diiktiraf oleh masyarakat dan badan-badan antarabangsa.

Mengapa kita secara tiba-tiba mahu mengiktirafnya pula????? — DSA

apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

Comments
Loading...