Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kapal Pengawal Pantai China “The Monster” Kembali Ke Beting Patinggi Ali

Kapal pengawal pantai China, CCG 5901 atau "The Monster" dilaporkan kembali ke perairan ZEE negara berhampiran Beting Patinggi Ali pada 18 Februari bagi menggantikan kapal pengawal pantai negara itu, CCG 5303 yang telah berada di perairan ZEE negara sejak beberapa minggu lepas.

6,913

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Selepas beberapa minggu meninggalkan Beting Patinggi Ali, kapal pengawal pantai terbesar dunia, CCG 5901 milik China atau dikenali dengan gelaran “The Monster” berikutan saiz dan beratnya yang mencecah 12,000 tan,  telah kembali ke perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) negara.

Kapal pengawal pantai China daripada kelas-Zhaotou itu dilaporkan kembali ke perairan Beting Patinggi Ali pada 18 Feb bagi menggantikan rakannya, kapal pengawal pantai China, CCG 5303.

Kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat, USS Nimitz dan kapal-kapal pengiringnya serta kapal Amphibious Assault Ship USS Makin Island juga berada di Laut China Selatan pada ketika ini.

Kehadiran “The Monster” di kawasan perairan Beting Patinggi Ali (Luconia Shoals) itu telah dinyatakan oleh  ketua Projek Myoushu di Gordian Knot Center for National Security Innovation, Universiti Stanford, Raymond M. Powell menerusi ciapannya dalam akaun Twitter @GordianKnotRay.

Powell juga adalah seorang bekas Kolonel dalam Tentera Udara Amerika Syarikat.

Monster
Raymond M. Powell menerusi ciapannya dalam akaun Twitter @GordianKnotRay.

 

Beliau juga berkata bahawa kehadiran kapal pengawal China CCG 5901 di kawasan perairan Beting Patinggi itu telah dipantau (shadow) oleh kapal Littoral Mission Ship (LMS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) KD Keris.

Beting Patinggi Ali terletak pada kedudukan 84 batu nautika (155 km) dari pantai Miri (spesifiknya di Tanjung Baram), Sarawak.

KD Keris dipercayai menggantikan kapal peronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) KM Tabah yang berada di sekitar perairan ZEE negara itu sejak 1 Feb lalu bagi menggantikan kapal TLDM, KD Kelantan.

KD Keris merupakan salah satu daripada empat buah kapal LMS bernaung dengan Markas Pemerintahan Armada Timur dan diletakkan di bawah Skuadron LMS ke-11 TLDM serta berpangkalan di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu.

Kapal-kapal LMS yang lain selain KD Keris adalah KD Sundang, KD Badik dan KD Rencong.

LMS
KD Keris

 

Kesemua kapal LMS TLDM itu dibina secara bersama antara Boustead Naval Shipyard (BNS) dan China Shipbuilding and Offshore Corporation (CSOC) di Wuchang Shipyard di Qidong, China dalam kontrak perolehan yang melebihi RM1 billion. 

Dengan berat sekitar 700 tan, kapal LMS KD Keris bukan asing dalam tugasan memantau kapal-kapal pengawal pantai China di perairan ZEE negara.

Kapal CCG 5901 “The Monster” yang kini berada di perairan sekitar Beting Patinggi Ali telah dibina pada 2016 oleh Jiangnan Shipyard di Shanghai.

Berkemampuan meluncur selaju 25 knot, kapal gergasi itu telah digunakan oleh Beijing sejak seawal 2017 untuk melakukan rondaan di Laut China Selatan “bagi mempertahankan hak-hak maritim China.”

Dengan berat yang mencecah 12,000 tan itu, saiz kapal pengawal pantai China CCG 5901 adalah lebih besar daripada kapal-kapal perang destroyer kelas-Arleigh Burke atau kapal perang cruiser kelas-Ticonderoga Tentera Laut Amerika Syarikat.

Saiz “The Monster” itu adalah kira-kira 30 peratus lebih besar daripada kapal-kapal perang kelas-Arleigh Burke dan Ticon Tentera Laut Amerika Syarikat .

Nimitz
USS Nimitz dan USS Makin Island

 

Walaupun saiz “The Monster” itu adalah amat besar, tetapi sistem persenjataannya utamanya hanyalah meriam 76mm, dua lagi meriam sampingan berkemungkinan 30mm dan sebuah helikopter.

Selain itu, “The Monster” juga dipercayai membawa beberapa buah pesawat tanpa pemandu dan Underwater Surveillance Vehicle (USV).

Saiznya CCG 5901 yang amat besar itu membuatkan kehadirannya di mana-mana lokasi di Laut China Selatan itu diberikan perhatian, kerana secara simboliknya “The Monster” itu menggambarkan saiz negara China itu sendiri serta tekanan “kekuasaan” sebuah negara besar terhadap negara-negara jirannya yang jauh lebih kecil.  — DSA

apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: [email protected]

 

 

Comments are closed.