Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

“Minyak dan Senjata,” Bagaimana Israel Membantu Azerbaijan…

0 680

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Walaupun tidak terlibat secara langsung di dalam konflik di antara Armenia dan Azerbaijan mengenai wilayah Nagorno-Karabakh, tetapi Israel turut menerima tempiasnya.

Ini disebabkan kerana negara Yahudi itu merupakan di antara pembekal senjata terbesar kepada angkatan tentera Azerbaijan.

Sistem Pesawat Tanpa Pemandu (UAV) dan “Loitering Munitions” atau popular dipanggil “Dron Kamikaze”buatan Israel yang digunakan oleh tentera Azerbaijan telah berjaya mengubah keseimbangan tentera antara Baku dan Yerevan di medan peperangan.

“Dron Kamikaze” Israel seperti Orbiter, Harop, Harpy dan lain-lain telah berjaya memusnahkan pelbagai aset ketenteraan Armenia.

Harop
Tentera Azerbaijan menggunakan Kamikaze Drone seperti “Harop” buatan Israel Aerospace Industries dalam konflik di Nagorno Karabakh. (kredit internet)

Dron-dron ini bukan sahaja diimport terus daripada Israel tetapi ada juga yang dibuat secara berlesen di Azerbaijan dan diberikan nama tempatan.

Senjata-senjata moden negara Yahudi ini berjaya menguasai ruang udara di Nagorno Karabakh dan membedil sasaran Armenia sesuka hati tanpa tentangan langsung.

Malah sistem pertahanan udara Armenia juga menjadi sasaran mereka.

Jurucakap presiden Azerbaijan, Hikmet Hajiyev juga mengakui keberkesanan “Dron Kamikaze” Israel itu dalam konflik di Nagorno Karabakh.

Akibat daripada bekalan senjata Israel terhadap Armenia, hubungan kedua-dua negara telah menjadi tegang sehingga menyebabkan Yerevan memanggil balik dutanya ke Tel Aviv sebagai langkah protes.

Nagorno
Perdana Menteri Benjamin Netanyahu ketika bertemu dengan Presiden Azerbaijan Ilham Aliyev. (sumber internet)

Ketegangan di dalam hubungan diplomatik Armenia dan Israel bermula apabila laporan media berdasarkan aplikasi Flightradar 24 menunjukkan sebuah kapal terbang Azerbaijan telah berlepas daripada selatan Israel.

Kapal terbang “Silk Way” itu dikesan berlepas daripada Lapangan Terbang Ramon yang terletak berhampiran dengan Pengkalan Tentera Ovda sehari sebelum konflik terbaru di Nagorno Karabakh itu meletus.

Pesawat itu dipercayai membawa pelbagai jenis senjata buatan Israel untuk kegunaan tentera Azerbaijan dalam konflik Nagorno Karabakh.

Jadi berapa banyak Azerbaijan, sebuah negara Syiah membeli senjata daripada Israel.

Pada 2016, Presiden Azerbaijan Ilham Aliyev berkata, negara itu membelanjakan hampir US$5 billion untuk membeli pelbagai kelengkapan senjata daripada negara Yahudi itu.

Itu adalah jumlah empat tahun lepas.

Sementara itu pertubuhan bukan kerajaan, Stockholm International Peace Research Institute (SIPRI) menganggarkan sejak lima tahun ini kerajaan Israel telah menjual sejumlah US$740 juta senjata kepada Azerbaijan.

Minyak
Azerbaijan merupakan antara negara pembekal minyak terbesar kepada Israel. (gambar sumber internet)

“Azerbaijan adalah negara yang penting bagi kami (Israel),” kata Ephraim Ibnar, presiden Institute Strategi dan Keselamatan Jerusalem.

Sebenarnya, hubungan diplomatik antara Israel dan Azerbaijan telah bermula lama sejak tahun 1990-an.

Israel mengimport kebanyakan daripada bekalan minyaknya daripada Azerbaijan yang merupakan antara negara pengeluar terbesar minyak di Laut Caspia.

Tahun lepas, Azerbaijan mengeksport minyak bernilai US$1.3 billion kepada Israel.

Manakala Armenia pula mempunyai hubungan baik dengan Iran, yang merupakan musuh ketat Israel.

Hubungan diplomatik di antara Azerbaijan, Armenia dan Iran mempunyai dinamika tersendirinya berdasarkan pertimbangan geo-strategik dan politik masing-masing.

Itu kita tidak bercerita tentang Turki.

— DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...