Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Mesir Kerah Sistem Pertahanan Udara S-75 Dvina Ke Sempadannya Dengan Rafah

Tindakan Mesir mengerah sistem pertahanan udara altitud tinggi ke sempadannya dengan Semenanjung Gaza mengejutkan banyak pihak kerana ia tidak pernah melakukannya sebelum ini, kecuali ketika ia berperang dengan Israel puluhan tahun dahulu.

0 5,549

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Selain kereta-kereta kebal dan kereta perisai, Mesir turut dilaporkan mengerah sistem pertahanan udaranya S-75 Dvina (NATO reporting SA-2 Guideline) miliknya ke kawasan sempadannya dengan Rafah di Semenanjung Gaza.

Tindakan Mesir mengerah sistem pertahanan udara altitud tinggi ke sempadannya dengan Semenanjung Gaza mengejutkan banyak pihak kerana ia tidak pernah melakukannya sebelum ini, kecuali ketika ia berperang dengan Israel puluhan tahun dahulu.

Keputusan Mesir mengerah sistem pertahanan udara S-75 milik ke sempadan negara itu dengan Semenanjung Gaza berlaku ketika Israel sedang melakukan persiapan terakhir sebelum ia melancarkan operasi ketenteraan untuk menggempur Rafah.

Selain sistem pertahanan udara S-75 Dvina, tentera Mesir turut telah mengerah lebih daripada 40 buah kereta kebal M60 ke sempadannya di Rafah itu dengan alasan untuk meningkatkan kawalan keselamatan di sempadannya.

Sistem pertahanan udara S-75 Dvina merupakan sistem pertahanan udara era Kesatuan Soviet dan dikenali sebagai sistem yang tahan lasak dan boleh diharapkan oleh penggunanya.

S-75
Sistem pertahanan udara S-75 Dvina

 

Mula dilihat di medan peperangan pada tahun 1957, sistem pertahanan udara S-75 Dvina itu terkenal selepas kejayaannya menembak jatuh pesawat pengintip U-2 milik Amerika Syarikat yang terbang di ruang udara Kesatuan Soviet pada 1960.

Mesir juga dikatakan telah melakukan proses reverse-engineering terhadap sistem pertahanan udara S-75 Dvina itu dan membangunkan varian tempatan dikenali dengan nama “Tayir-as-Sabah.”

Sistem pertahanan udara “Tayir-as-Sabah” itu dilaporkan adalah lebih canggih berbanding sistem S-75 Dvina.

Keputusan Israel mahu menggempur Rafah yang kini dihuni oleh lebih daripada 1.5 juta penduduk Palestin yang melarikan diri daripada utara Semenanjung Gaza dikecam oleh seluruh dunia termasuk penyokong kuat Tel Aviv, Amerika Syarikat.

Berlatarbelakangnya ancaman Israel untuk menggempur Rafah, Mesir telah memberi amaran keras kepada Tel Aviv bahawa ia akan menggantung perjanjian damai yang ditandatangani kedua-dua negara pada 1979 sekiranya tentera Yahudi menggempur bandar Palestin itu sehingga memaksa penduduknya melarikan diri ke Semenanjung Sinai.

Mesir
Mesir dilaporkan mengerahkan lebih daripada 40 buah kereta kebalnya ke sempadan dengan Rafah.

 

Amaran keras kerajaan Mesir terhadap Israel itu sebagaimana dilaporkan oleh Wall Street Journal,  menimbulkan kemungkinan akan berlakunya konflik bersenjata di antara kedua-dua negara berjiran itu yang pernah beberapa kali terbabit dalam peperangan sesama sendiri sebelum ini.

Sejak beberapa hari ini, tentera Israel telah mengeluarkan arahan kepada lebih daripada 1 juta pelarian Palestin yang melarikan diri ke Rafah daripada utara Gaza supaya meninggalkan kawasan itu dengan segera kerana Tel Aviv akan melaksanakan operasi ketenteraan.

Hamas dan beberapa kerajaan negara Arab menyatakan bahawa operasi tentera Israel terhadap Rafah berkemungkinan besar akan menyebabkan ribuan lagi penduduk Palestin yang tidak bersalah terbunuh.

Rafah, yang terletak di sempadan Gaza dan Mesir merupakan bandar utama Palestin terakhir yang belum dicerobohi oleh tentera Israel sehingga kini dan merupakan kawasan terlindung daripada serangan besar-besaran negara itu sejak empat bulan yang lalu.

Ia menjadi penempatan bagi lebih daripada 1 juta penduduk Palestin yang melarikan diri daripada bandar-bandar di utara Gaza selepas Israel memulakan operasi darat beberapa bulan yang lalu.

Egypt
Tentera Mesir di sempadan dengan Rafah.

 

Pemerhati di Mesir mendakwa Israel mempunyai agenda jahat iaitu menggunakan operasi tentera yang sedang dilaksanakannya di Semenanjung Gaza untuk mengusir penduduk Palestin ke kawasan padang pasir di Semenanjung Sinai milik Mesir.

Tindakan Israel itu dikecam keras oleh kerajaan Mesir.

Kerajaan Israel pimpinan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dilaporkan mahu “mengosongkan” Semenanjung Gaza daripada penduduk Palestin, bagi membolehkannya menduduki semula Semenanjung Gaza. — DSA

Notis

Comments
Loading...