Mengapa Rafale India Hanya Bawa MICA Ketika Berdepan Dengan J-10C Pakistan Dilengkapi PL-15E ??
Persoalan yang bermain-main di pemikiran pemerhati pertahanan seluruh dunia adalah: Mengapa pesawat-pesawat pejuang Rafale milik India yang beraksi pada hari-hari pertama konflik tersebut tidak membawa peluru berpandu udara jarak jauh BVR METEOR, sehingga menyebabkan mereka berada di dalam keadaan “kekurangan” apabila berhadapan dengan pesawat-pesawat pejuang generasi 4.5 Pakistan iaitu J-10C yang dilengkapi dengan peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh BVR PL-15E buatan China.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Baru-baru ini pesawat pejuang Rafale Marine yang beroperasi dengan kapal pengangkut pesawat Tentera Laut Perancis Charles de Gaulle telah berjaya melaksanakan ujian penembakan peluru berpandu udara-ke-udara Beyond Visual Range (BVR) METEOR di Landes Test Centre, Perancis.
Kejayaan ujian itu menunjukkan peningkatan keupayaan dan kemahiran varian kapal pengangkut pesawat Rafale dipanggil “Rafale Marine” (Rafale M) dalam mengendalikan peluru berpandu berpandu udara-ke-udara BVR METEOR.
Bagaimanapun bagi pemerhati pertahanan India, kejayaan ujian pelancaran pesawat pejuang Rafale Marine dalam melancarkan peluru berpandu jarak jauh BVR Meteor itu telah menimbulkan persoalan dan spekulasi sama ada 36 buah pesawat pejuang Rafale diperolehi India pada 2016 benar-benar berkeupayaan melancarkan peluru berpandu udara ke-udara METEOR, terutamanya selepas “prestasi buruk” pesawat milik Tentera Udara India pada konflik kedua-dua negara awal bulan lepas.
Ini kerana laporan media dan sumber tentera India semasa konflik dengan Pakistan pada awal Mei 2025 mendakwa pesawat-pesawat pejuang Rafale Tentera Udara India yang beraksi semasa konflik itu termasuk beberapa buah yang didakwa ditembak jatuh telah disahkan tidak dilengkapi dengan peluru berpandu udara-ke-udara BVR jarak jauh METEOR buatan firma MBDA.
Pesawat-pesawat pejuang Rafale Tentera Udara India yang beraksi pada hari-hari pertama konflik India-Pakistan itu didakwa hanya dilengkapi dengan peluru berpandu udara-ke-udara jarak dekat MICA dan bukan METEOR yang lebih berkeupayaan serta memiliki jarak bedilan yang lebih jauh.
India menandatangani perjanjian bernilai €7.8 bilion (RM38.2 bilion) dengan Perancis pada 23 September 2016 bagi pembelian 36 pesawat pejuang Rafale, termasuk peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh METEOR.
Kesemua pesawat pejuang Rafale India itu beroperasi daripada Pangkalan Udara Ambala dan Hasimara.

Pakej pembelian Rafale tersebut turut merangkumi peluru berpandu MICA dan SCALP-EG, sekali gus meningkatkan keupayaan tempur udara dan serangan strategik Tentera Udara India.
Laporan media-media India menyatakan bahawa dibawah pakej pembelian 36 buah pesawat pejuang Rafale itu, New Delhi turut memperolehi kira-kira 250 buah peluru berpandu udara-ke-udara BVR METEOR.
Jadi persoalannya yang bermain-main di pemikiran pemerhati pertahanan seluruh dunia adalah: mengapa pesawat-pesawat pejuang Rafale milik India yang beraksi pada hari-hari pertama konflik tersebut tidak dilengkapi dengan peluru berpandu udara jarak jauh BVR METEOR, sehingga menyebabkan mereka berada di dalam keadaan “kekurangan” apabila berhadapan dengan pesawat-pesawat pejuang generasi 4.5 Pakistan iaitu J-10C yang dilengkapi dengan peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh BVR PL-15E buatan China .
Peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh BVR PL-15E yang dibawa oleh pesawat pejuang J-10C Tentera Udara Pakistan berkeupayaan menembak jauh sasaran sejauh lebih daripada 145km berbanding di antara 80km hingga 100km bagi peluru berpandu udara-ke-udara jarak dekat MICA.
Ia sememangnya menimbulkan persoalan dikalangan pemerhati pertahanan seluruh dunia.
Walaupun pesawat-pesaawat pejuang J-10C Pakistan itu dilaporkan hanya dilengkapi dengan varian eksport PL-15E yang mempunyai jarak bedilan sejauh 145km, namun terdapat laporan daripada media Pakistan yang menyatakan pesawat-pesawat pejuang Tentera Udara India itu ditembak jauh daripada jarak sejauh 182km.
Peluru berpandu udara-ke-udara PL-15E keluaran China kini menjadi perhatian global selepas dilaporkan digunakan oleh pesawat pejuang J-10C Tentera Udara Pakistan untuk menembak jatuh sekurang-kurangnya sebuah pesawat pejuang Rafale milik Tentera Udara India (IAF), dalam satu pertempuran udara terkini yang menegangkan situasi di Asia Selatan.

Dalam konflik yang berlaku dengan India bulan lepas, Pakistan mendakwa ia menembak jatuh enam buah pesawat pejuang Tentera Udara India termasuk tiga buah pesawat pejuang Rafale, sebuah Su-30MKI, MiG-29 dan sebuah Mirage 2000.
India pula menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Pakistan itu sambil menyatakan bahawa ia adalah “berita palsu.”
MENGAPA PELURU BERPANDU PL-15 BEGITU BERBAHAYA ?
PL-15E, yang merupakan versi eksport kepada sistem peluru berpandu PL-15 buatan syarikat China, AVIC (Aviation Industry Corporation of China) dan CASC (China Aerospace Science and Technology Corporation), direka khas untuk memberi kelebihan mutlak dalam peperangan udara jarak jauh, dengan kemampuan mengatasi sistem peluru berpandu Barat seperti AIM-120D AMRAAM dan Meteor yang digunakan oleh Rafale India.
Peluru berpandu PL-15E ini dilengkapi dengan radar aktif AESA (Active Electronically Scanned Array) di bahagian muncung, membolehkan ia mengunci dan menjejak sasaran dari jarak yang jauh, walaupun dalam persekitaran yang padat dengan gangguan elektronik (ECM).
Salah satu kekuatan utama PL-15E ialah penggunaan enjin dwi-nadi (dual-pulse solid rocket motor), yang membolehkannya mengekalkan kelajuan tinggi dalam fasa akhir penerbangan serta meningkatkan kebolehannya untuk memintas pesawat yang sedang bermanuver secara agresif.
Dari segi jarak operasi, PL-15E mampu menyerang sasaran sejauh 145 km, menjadikannya antara peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh paling berkuasa di pasaran eksport global ketika ini.
Dengan kelajuan yang melebihi Mach 4, sistem panduan inersia bersama sokongan navigasi satelit, serta terminal homing melalui radar AESA, peluru berpandu ini mampu menyerang pesawat musuh sebelum mereka menyedari kehadirannya di radar.

PL-15E juga boleh diintegrasikan secara penuh dengan pesawat JF-17 Block III, J-10C, dan pesawat-pesawat generasi keempat yang ditingkatkan keupayaannya — menjadikan sistem peluru berpandu ini sangat fleksibel untuk digunakan oleh negara-negara sekutu China seperti Pakistan.
Penggunaan PL-15E oleh Pakistan dalam konflik udara menentang India jelas menunjukkan perubahan dalam imbangan kuasa udara di rantau ini, di mana kelebihan jarak tembakan peluru berpandu menjadi faktor utama dalam menentukan hasil pertempuran.
Pengoperasian PL-15E oleh Pakistan dan dakwaan kejayaan mereka menembak jatuh pesawat pejuang Rafale India telah menghantar mesej jelas kepada negara-negara lain di rantau Asia Tenggara dan Timur Tengah tentang kebangkitan industri pertahanan China dalam arena sistem senjata canggih, sekali gus mengubah landskap strategi udara global untuk dekad akan datang.
Sekiranya Pakistan terus meningkatkan doktrin peperangan BVR mereka melalui penggunaan sistem seperti PL-15E, ia akan memberikan ancaman strategik berterusan kepada India, sambil mengukuhkan posisi geopolitik Islamabad dalam konflik tiga hala yang melibatkan India dan China.
Spesifikasi Teknikal PL-15E (Versi Eksport):
-
Panjang: 4.0 meter
-
Diameter: 203 mm
-
Berat: Anggaran 200–250 kg
-
Kelajuan: Melebihi Mach 4
-
Jarak Tembakan Maksimum: 145 km (versi eksport)
-
Sistem Panduan: Inersia + Satelit + Radar Aktif AESA
-
Enjin: Roket dwi-nadi (dual-pulse solid rocket motor)
-
Platform Pelancar: JF-17 Block III, J-10C, J-20 (untuk PL-15 asal)

APAKAH KELEBIHAN PELURU BERPANDU METEOR ?
Dalam landskap peperangan udara moden, peluru berpandu METEOR keluaran konsortium MBDA Eropah telah menjadi simbol keunggulan teknologi Barat dalam kategori peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh atau Beyond Visual Range (BVR).
METEOR digunakan oleh beberapa angkatan udara paling berteknologi tinggi di dunia termasuk India, Perancis, United Kingdom, Jerman, Itali, dan Sweden, dan kini menjadi sistem utama dalam persenjataan pesawat pejuang Rafale, Eurofighter Typhoon, dan Saab Gripen E.
METEOR direka khas untuk memberi kelebihan dominan dalam pertempuran udara dengan keupayaan menewaskan sasaran dari jarak jauh sebelum pesawat lawan mampu mengesan kehadiran pelancar atau bertindak balas.
Salah satu kelebihan utama METEOR ialah penggunaan sistem pendorong ramjet supersonik, menjadikannya satu-satunya peluru berpandu BVR operasional di dunia dengan kemampuan “no-escape zone” yang sangat luas — zon di mana sasaran tidak boleh melarikan diri walaupun mengetahui serangan sedang menuju ke arahnya.
Dengan kelajuan melebihi Mach 4, METEOR bukan sahaja mampu mencapai sasaran sejauh lebih 150 kilometer, tetapi juga mengekalkan tenaga kinetik tinggi hingga ke fasa akhir penerbangan, sesuatu yang tidak dapat dilakukan oleh peluru berpandu konvensional yang menggunakan enjin roket padu tunggal.
METEOR turut dilengkapi dengan sistem radar aktif (active radar seeker) serta sokongan datalink dua hala, membolehkannya menerima kemas kini sasaran semasa berada di pertengahan perjalanan — ciri penting dalam situasi pertempuran kompleks atau apabila sasaran melakukan manuver mengelak.

Peluru berpandu ini juga mempunyai kebolehan “fire-and-forget” tetapi dengan keupayaan penyesuaian semasa penerbangan, menjadikannya sangat efektif dalam misi pemintasan pesawat pengangkut AWACS, pesawat tangki, atau jet pejuang musuh pada altitud tinggi.
Bagi India, pemilihan METEOR untuk melengkapi pesawat Rafale merupakan keputusan strategik yang membolehkan Tentera Udara India (IAF) memiliki kelebihan BVR ke atas musuh tradisinya, termasuk Pakistan yang menggunakan sistem seperti PL-15E dan AMRAAM.
Jika dibandingkan, peluru berpandu seperti AIM-120D AMRAAM dan PL-15E mampu mencapai jarak yang kompetitif, namun METEOR mempunyai kelebihan mutlak dalam konsistensi tenaga terminal dan zon pemusnahan yang lebih luas, menjadikannya lebih berbahaya dalam situasi sebenar.
Pakar pertahanan menyifatkan METEOR ebagai “game changer” dalam peperangan udara dan merupakan peluru berpandu yang memaksa pihak lawan berfikir dua kali untuk memasuki ruang udara yang dikawal oleh pesawat yang dilengkapi dengannya.
Keupayaan METEOR bukan sahaja memberi kesan taktikal di medan pertempuran, tetapi juga kesan strategik dalam doktrin udara dan diplomasi ketenteraan, memandangkan negara yang memilikinya dianggap sebagai kuasa udara berteknologi tinggi.

Spesifikasi Teknikal Meteor:
-
Panjang: 3.65 meter
-
Diameter: 178 mm
-
Berat: 185 kg
-
Jarak maksimum: 150–200 km (bergantung pada profil penerbangan)
-
Kelajuan: > Mach 4
-
Sistem Panduan: Inersia + datalink + radar aktif
-
Pemacu: Supersonic Ramjet (satu-satunya seumpamanya dalam kategori BVR)
-
Platform Pelancar: Rafale, Eurofighter Typhoon, Gripen E, F-35 (versi akan datang)