Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Mengapa Amerika Enggan Jual F-35 Kepada “Kawan-Kawan Rapat” Arabnya?

Bukannya negara Arab Teluk tidak mahu memiliki pesawat pejuang generasi kelima, tetapi satu demi satu percubaan mereka untuk memperolehi pesawat pejuang F-35 menemui jalan buntu, walaupun ketiga-tiga negara Arab Teluk itu adalah negara "kawan rapat" Washington di rantau terbabit.

7,179

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Walaupun kaya-raya dan dilimpahi dengan wang ringgit, tetapi tentera udara negara-negara Arab Teluk terutamanya Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar masih gagal dilengkapi dengan pesawat-pesawat pejuang generasi kelima seperti F-35.

Bukannya negara Arab Teluk tidak mahu memiliki pesawat pejuang generasi kelima, tetapi satu demi satu percubaan mereka untuk memperolehi pesawat pejuang F-35 menemui jalan buntu, walaupun ketiga-tiga negara Arab Teluk itu adalah negara “kawan rapat” Washington di rantau terbabit.

Arab Saudi,UAE dan Qatar merupakan negara-negara Teluk yang menggunakan pesawat-pesawat pejuang yang canggih di pasaran buatan Amerika Syarikat dan negara Eropah tetapi usaha mereka untuk  memiliki F-35 masih gagal sehingga kini.

Sehingga kini, ratusan buah pesawat pejuang F-35 telah dijual oleh Amerika Syarikat kepada negara-negara sekutunya di seluruh dunia, tetapi tiada sebuah pun pesawat canggih itu dijual di negara-negara Arab Teluk yang kaya-raya itu setakat ini. Mengapa?

Bagi Amerika Syarikat, ia bersedia menjual F-35 kepada negara-negara itu tetapi persetujuan penjualan itu turut disertai dengan pelbagai syarat yang amat ketat, sehingga menjadikan sebarang penjualan pesawat generasi kelima keluaran syarikat Lockheed Martin itu mustahil.

F-35

Syarat-syarat seperti rekod hak-asasi manusia,politik dan lain-lain telah dikenakan oleh Washington terhadap negara-negara Arab Teluk itu sekiranya mereka mahu memiliki pesawat pejuang F-35. 

Pada tahun 2021, UAE bersetuju untuk membeli 50 buah pesawat pejuang F-35 dan 18 buah dron MQ-9 Reaper daripada Amerika Syarikat yang pada ketika ditadbir oleh Donald Trump dalam perjanjian yang dianggarkan bernilai US$23 bilion (RM103.5 bilion).

Bagaimanapun, perjanjian itu hanya menerima “lampu hijau” daripada Washington selepas UAE mewujudkan hubungan diplomatik dengan Israel di bawah inisiatif Abraham Accords.

Bagaimanapun, perjanjian itu “tergantung” dan akhirnya gagal diteruskan selepas UAE enggan mengikut telunjuk Amerika Syarikat yang mahukan negara kaya Arab Teluk itu membatalkan kerjasamanya dengan gergasi teknologi 5G China, Huawei.

Amerika Syarikat bimbang China akan menggunakan teknologi 5G yang dipelopori oleh Huawei di UAE itu untuk “mengintip”  keupayaan pesawat pejuang F-35 itu.

F-35 Adir
Pesawat F-35I “Adir” Tentera Udara Israel

 

Walaupun Arab Saudi sehingga kini tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik dengan Israel, tetapi laporan yang memetik sumber dalaman menyatakan bahawa pentadbiran Presiden Trump mahukan Riyadh mewujudkan hubungan dengan Tel Aviv secara rasmi terlebih dahulu sebelum “konsesi” lain diberikan kepadanya.

Antara konsesinya adalah,  Israel tidak akan menghalang sekiranya Washington mahu menjual F-35 kepada Arab Saudi.

Adalah jelas, bagi membolehkan Arab Saudi dan Qatar membeli pesawat F-35, kedua-dua negara Arab Teluk itu perlu mewujudkan hubungan diplomatik dengan Israel terlebih dahulu.

Qatar yang menempatkan jumlah paling ramai anggota tentera Amerika di Timur Tengah turut telah mengemukakan permohonan kepada Washington untuk memperolehi pesawat pejuang F-35, tetapi disebabkan hubungan rapat Doha dengan kumpulan Hamas, maka permohonan itu “dipandang sepi” oleh Amerika Syarikat.

Sebenarnya, Israel adalah “kunci” sama ada Amerika Syarikat akan membenarkan negara-negara Arab Teluk itu memiliki F-35 atau tidak. Keputusan terletak ditangan Tel Aviv dan bukan Washington.

Halangan demi halangan untuk memiliki pesawat generasi kelima telah menyebabkan negara-negara Arab Teluk cuba mencari jalan alternatif.

Arab Saudi
Pesawat-pesawat pejuang F-15 Tentera Udara Arab Saudi.
Rafale
Pesawat pejuang Rafale milik Qatar

 

Bagaimanapun “jalan alternatif” yang dicari oleh negara-negara Arab Teluk itu juga tidak menjanjikan sebarang perkembangan yang positif, kerana selain F-35, pesawat-pesawat pejuang generasi kelima yang ada ketika ini hanya dioperasikan oleh dua buah negara iaitu China dan Russia.

China tidak menjual pesawat generasi kelimanya, J-20 “Mighty Dragon” kepada negara luar manakala Russia masih berhadapan dengan masalah untuk menghasilkan jumlah pesawat Su-57 dengan cukup untuk keperluan tentera udaranya.

Dengan sekatan ekonomi yang ketat dikenakan terhadap Russia akibat konfliknya dengan Ukraine, masalah produksi pesawat Su-57 itu dijangka berterusan,sekurang-kurangya ketika konflik di Eropah Timur itu masih lagi berlaku.

Ancaman CAATSA juga memainkan peranan dalam mengurangkan minat negara-negara Arab Teluk untuk memiliki pesawat-pesawat pejuang Russia. 

Nampaknya pencarian Arab Saudi, UAE dan Qatar untuk memiliki pesawat-pesawat pejuang generasi kelima akan berterusan buat beberapa ketika lagi. — DSA

 

 

Comments are closed.