Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Masa Semakin Hampir Untuk China Isytihar ADIZ Di Laut China Selatan?

Tindakan China mengisytiharkan ADIZ di perairan yang amat penting bagi perdagangan dunia itu mempunyai satu matlamat sahaja, iaitu, bertujuan mengukuhkan lagi tuntutan Beijing terhadap Laut China Selatan dan menjadikan perairan itu sebagai satu lagi wilayah berdaulatnya.

0 4,907

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada pertengahan tahun lepas, Kementerian Pertahanan Taiwan mendakwa bahawa China semakin hampir untuk mengisytiharkan penubuhan Air Defence Identification Zone (ADIZ) di Laut China Selatan.

Menurut Taiwan, mereka memperolehi “maklumat” itu daripada sumber-sumber risikannya di dalam China.

Jika benar bahawa Beijing semakin hampir untuk mengisytiharkan ADIZ di Laut China Selatan, sebagaimana didakwa oleh Taiwan itu, maka ia adalah suatu tindakan boleh dijangkakan susulan beberapa tindakan China itu sendiri di perairan strategik itu akhir-akhir ini.

Tindakan China mengisytiharkan ADIZ di perairan yang amat penting bagi perdagangan dunia itu mempunyai satu matlamat sahaja, iaitu, bertujuan mengukuhkan lagi tuntutan Beijing terhadap Laut China Selatan dan menjadikan perairan itu sebagai satu lagi wilayah berdaulatnya.

Pengisytiharan ADIZ China itu adalah satu “natural progression”, selepas pihak Pentadbiran Keselamatan Maritim (MSA) negara itu baru-baru ini mengeluarkan arahan menghendaki semua kapal, sama ada yang berada di atas atau di bawah permukaan air untuk “memperkenalkan diri” mereka sebaik sahaja memasuki “perairan China”.

China
Kapal perang China dalam satu latihan baru-baru ini.

 

“Perairan China” itu juga termasuk kawasan-kawasan yang dituntut oleh negara itu sebagai miliknya seperti di Laut China Selatan.

Kapal-kapal asing yang memasuki apa yang didakwa China sebagai “perairan miliknya” mesti memaklumkan kehadiran mereka kepada pihak berkuasa negara itu, dalam apa yang disifatkan oleh pemerhati sebagai usaha memperkukuhkan tuntutan Beijing terhadap perairan didakwa sebagai miliknya termasuk Laut China Selatan.

Pentadbiran Keselamatan Maritim China (MSA) dalam satu kenyataan yang dipetik oleh portal South China Morning Post berkata, peraturan itu akan bermula pada Rabu lepas.

ADIZ atau Zon Identifikasi Pertahanan Udara itu sekiranya diwujudkan oleh China di Laut China Selatan juga bakal menghendaki mana-mana pesawat udara untuk memperkenalkan diri mereka apabila memasuki zon itu.

Kegagalan mematuhi arahan ADIZ boleh menyebabkan pesawat itu dipaksa turun atau lebih berbahaya, dalam keadaan terlalu ekstrim, ditembak jatuh.

Walaupun begitu, ADIZ ini tidak diakui oleh undang-undang antarabangsa.

Pada akhir 2013, China mengejutkan dunia apabila ia mengisytiharkan ADIZ di Laut China Timur (East China Sea) merangkumi ruang udara Kepulauan Senkaku yang dimiliki oleh Jepun, tetapi dituntut oleh Beijing.

Tindakan Beijing itu hanya menghangatkan lagi pertikaiannya dengan Tokyo dan Washington serta Korea Selatan.

China sememangnya berniat untuk mewujudkan ADIZ di Laut China Selatan, cuma ia belum menyatakanya secara formal.

Kini dengan pulau-pulau buatan manusia China di Spratly sudah siap ditambak sepenuhnya termasuk dilengkapi dengan pelbagai sistem pertahanan udara termasuk peluru berpandu darat-ke-udara serta pangkalan udara untuk menempatkan pesawat pejuang, maka “kemunculan” ADIZ di Laut China Selatan itu sememangnya semakin hampir.

Fiery Cross
Fiery Cross Reef, salah sebuah pulau buatan manusia China di Kepulauan Spratly. (kredit SCMP)

 

Dari pulau-pulau buatan manusianya ini, China boleh mengerah pesawat-pesawat pejuangnya untuk menguatkuasakan ADIZ Laut China Selatan itu.

Menurut sumber yang dipetik oleh South China Morning Post sebelum ini, kedudukan ADIZ di Laut China Selatan sebenarnya telah pun dikenalpasti oleh Beijing.

Keputusan untuk mengumumkan ADIZ di Laut China Selatan kini terletak di tangan pemimpin politik di Beijing.

ADIZ Laut China Selatan itu dikatakan akan terletak di Woody Island dan pulau-pulau buatan manusia China di Spratly.

ADIZ China itu dipercayai akan bertindih dengan kawasan EEZ Vietnam, EEZ Filipina dan ya, negara kita, EEZ Malaysia.

Adalah sesuatu yang tidak lojik jika pentadbiran udara EEZ milik kita kini diambil alih pula oleh Beijing menerusi penguatkuasaan ADIZ Laut China Selatan itu.

Apa tindakan kita jika China mengambil keputusan mengisytiharkan ADIZ di Laut China Selatan dengan zon pertahanan udara itu bertindih dengan EEZ kita?

Adakah selepas ini, pesawat-pesawat negara kita perlu memperkenalkan diri kepada penguatkuasa ADIZ China ini walaupun berada di ruang udara negara sendiri… Pelik.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...