Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Masalah Ekonomi Paksa Tentera Lubnan Jadi “Pemandu Pelancong”

Antaranya adalah dengan menawarkan penerbangan helikopter kepada pelancong-pelancong yang berminat untuk melihat negara itu daripada udara, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh angkatan tentera Lubnan.

0 1,491

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kegawatan ekonomi dan kewangan yang mencengkam Lubnan turut memberikan kesan yang mendalam terhadap angkatan tenteranya, sehinggakan memaksa anggotanya  terpaksa menggunakan kreativiti sendiri untuk memastikan mereka “terus hidup.”

Antaranya adalah dengan menawarkan penerbangan helikopter kepada pelancong-pelancong yang berminat untuk melihat negara itu daripada udara, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh angkatan tentera Lubnan.

Lubnan sedang berhadapan dengan masalah ekonomi dan kewangan yang paling buruk disaksikan oleh dunia di dalam tempoh 150 tahun, sebagaimana yang dikatakan oleh Bank Dunia.

Matawang Pound Lubnan kehilangan hampir 90 peratus daripada nilainya sejak kegawatan ekonomi dan kewangan melanda negara Mediterranean itu.

Keadaan itu bukan sahaja dirasakan oleh rakyat tempatannya tetapi juga oleh angkatan tentera serta anggotanya yang menyaksikan gaji mereka merudum daripada $1,000 sebulan kepada hanya $85, disamping masalah inflasi tinggi serta penarikan-balik subsidi.

Lebanon

Menurut jurucakap tentera Lubnan Kolonel Elias Saad yang bercakap kepada Arab News,  mereka telah menerima beberapa tempahan bagi penerbangan helikopter itu daripada pelancong.

“Untuk penerbangan helikopter selama 15 minit, kami mengenakan bayaran sebanyak $150 tunai,” kata beliau dan menambah, penerbangan akan menggunakan helikopter Robinson R44 dan terbuka kepada mereka yang berumur tiga tahun dan ke atas.

Hanya tiga orang dibenarkan dalam satu-satu penerbangan helikopter itu dan mereka perlu menyatakan tempat mana mereka mahu dibawa.

Kegawatan ekonomi dan kewangan yang buruk di Lubnan memaksa negara itu memotong belanjawan untuk pertahanan/angkatan tenteranya dan ia turut menjejaskan usahanya menyelenggaran sistem persenjataannya dan lain-lain.

Tahun lepas, angkatan tentera Lubnan terpaksa membatalkan menu daging daripada senarai makanan untuk anggota tenteranya disebabkan harga makanan yang melambung tinggi.

Lebanon

Tiga hari lepas, negara Teluk, Qatar telah menerbangkan kira-kira 70 tan bekalan makanan ke Lubnan sebagai usahanya membantu angkatan tentera negara itu.

Negara Teluk itu berjanji akan memberikan 70 tan bekalan makanan setiap bulan kepada angkatan Lubnan bagi membantu negara itu menangani masalah ekonomi dan kewangan yang amat meruncing.

Panglima Angkatan Tentera Lubnan Jeneral Joseph Aoun turut merayu kepada negara-negara dunia untuk membantu angkatan tentera Lubnan.

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...