Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Malaysia Rasmi Perolehi Tiga Buah Kapal Littoral Mission Ship (LMS) Dari Turkiye

Presiden SSB Prof Dr Haluk Gorgun menerusi posting di dalam akaun X (dahulu dikenali sebagai Twitter) menyatakan bahawa sebagai kontraktor utama,syarikat Savunma Teknolojieri Muhendiskil (STM) daripada Turkiye itu akan membina tiga buah kapal Littoral Mission Ship (LMS) Batch 2 di negara Mediterranean itu untuk memenuhi keperluan TLDM.

0 7,533

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kementerian Pertahanan Malaysia telah menandatangani Surat Penerimaan (Letter of Acceptance – LOA) dengan Presiden Secretariat of Defence Industries (SSB) Turkiye bagi perolehan kapal-kapal Littoral Mission Ship (LMS) Batch 2 untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

LOA itu telah ditandatangani oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin yang kini dalam rangka lawatan kerja selama lima hari ke Turkiye dengan Presiden SSB Prof Dr Haluk Gorgun.

Mohamed Khaled dalam kenyataan menerusi akaun X miliknya (dahulu dikenali sebagai Twitter) berkata bahawa STM telah menyatakan komitmen bahawa ketiga-tiga buah kapal LMS Batch 2 itu akan disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan iaitu tiga tahun enam bulan.

Terdahulu kedua-dua mereka turut telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Kerajaan dengan Kerajaan (G2G) berkenaan Perolehan Produk-Produk Pertahanan.

Gorgun menerusi posting di dalam akaun X (dahulu dikenali sebagai Twitter) menyatakan bahawa sebagai kontraktor utama,syarikat Savunma Teknolojieri Muhendiskil (STM) akan membina tiga buah kapal LMS Batch 2 di Turkiye untuk memenuhi keperluan TLDM.

Beliau juga berkata, produk-produk dairpada beberapa syarikat pertahanan Turkiye seperti Havelsan,Aselsan dan Roketsan akan digunakan pada kapal-kapal perang di bina oleh syarikat STM itu.

Turkiye
(kredit X Haluk Gorgun)

 

Walaupun belum ada pengesahan, tetapi dengan penyertaan syarikat Roketsan, maka ketiga-tiga buag kapal LMS Batch 2 yang akan dibina oleh syarikat STM untuk TLDM itu berkemungkinan besar akan menggunakan peluru berpandu anti-kapal “ATMACA.”

Dalam jawapan lisan Dewan Rakyat kepada soalan daripada Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) pada 13 Mac lalu, Mohamed Khaled berkata syarikat STM telah menerima Surat Niat (Letter of Intent) berkenaan perolehan kapal-kapal LMS Batch 2 untuk TLDM.

“Kementerian Pertahanan akan melaksanakan perolehan Littoral Mission Ship Batch 2 (LMSB2) untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melalui pendekatan Government to Government (G to G) dengan syarikat berkaitan Kerajaan Turkiye secara rundingan terus iaitu Savunma Teknolojieri Muhendislik (STM). “

“Kementerian Kewangan (MOF) pada 18 Januari 2024 telah memberi kelulusan terhadap perkara ini. Susulan itu, Kementerian Pertahanan telah mengeluarkan surat niat kepada pihak syarikat pada 5 Februari 2024 dan pihak syarikat telah memberikan maklum balas pada 8 Februari 2024 untuk berunding dengan Kementerian Pertahanan sebagai wakil Kerajaan,” menurut Menteri Pertahanan.

Kapal-kapal LMS Batch 2 yang akan dibina oleh STM untuk TLDM itu berkemungkinan besar adalah berdasarkan kepada rekabentuk kapal korvet kelas-ADA yang digunakan oleh Tentera Laut Turkiye, Pakistan dan Ukraine.

Ada
Korvet kelas-ADA oleh STM

 

Pada ketika ini, Tentera Laut Turkiye mengoperasikan empat buah kapal korvet kelas-Ada pada manakala empat buah kapal korvet kelas-Ada juga dibina untuk Tentera Laut Pakistan manakala sebuah kapal korvet kelas-ADA untuk Tentera Laut Ukraine.

Kapal korvet kelas-ADA ini merupakan kapal korvet anti-kapal selam dan peronda yang dibangunkan khusus untuk Tentera Laut Turki dibawah program pembinaan kapal perang kebangsaan, MILGEM.

Kapal korvet kelas-ADA ini dipacu oleh sistem Combined Diesel and Gas (CODAG) terdiri daripada satu gas turbin dan dua gas diesel bagi membolehkan kapal mencapai kelajuan maksimum 30 knot dan beroperasi pada radius 3,500 batu nautika dalam kelajuan 15 knot.

Ia boleh membawa 93 orang krew kapal.

Dengan panjang keseluruhan kapal 99.56 meter, kapal korvet kelas-ADA memiliki berat maksimum 2,400 tan.

Kapal perang kelas-ADA ini dilengkapi dengan sistem pengurusan peperangan “GENESIS” yang dibangunkan oleh sebuah lagi syarikat pertahanan Turki iaitu, HAVELSAN, Electronic Chart Precise Integrated Navigation System (ECPINS), Integrated Platform Management System (IPMS), SMART-S Mk2 search radar, X-band radar dan fire control radar. 

Atmaca
“ATMACA”

 

Manakala daripada segi persenjataan pula, ia dilengkapi dengan meriam Oto Melara 76mm Super Rapid, dua Remote Control Weapon System (RCWS) 12.7mm dan lapan pelancar peluru berpandu anti-kapal  “ATMACA” yang dibangunkan oleh syarikat Roketsan.

Kapal kelas-ADA juga dilengkapi dengan peluru berpandu anti-pesawat, RIM-116 Rolling Airframe Missile (RAM) dan dua pelancar torpedo 324 mm Mk. 46. 

Sudah pasti segala spesifikasi akhir kapal LMS Batch 2 TLDM ini akan dirundingi antara TLDM dan STM.

Walaupun Kementerian Pertahanan telah memilih rekabentuk kapal kelas-ADA, namun TLDM akan menentukan sendiri spesifikasi fizikal dan teknikal kapal LMS Batch 2 itu. — DSA

Comments
Loading...