Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Bukan Malaysia Sahaja Yang Mahu Beli Pesawat Pejuang Terpakai

Sebenarnya, langkah memperolehi pesawat-pesawat pejuang terpakai bukanlah sesuatu idea yang pelik tetapi telah lama dipraktikkan oleh tentera udara diseluruh dunia terutamanya sebagai “stop-gap measures” sebelum negara itu memperolehi pesawat pejuang baru.

0 20,458

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Cadangan Malaysia untuk membeli pesawat-pesawat F/A-18C/D terpakai milik Kuwait mendapat reaksi banyak pihak yang bukan sahaja menyokong tetapi tidak kurang juga mempersoalkan langkah memperolehi pesawat terpakai untuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Sebenarnya, langkah memperolehi pesawat-pesawat pejuang terpakai bukanlah sesuatu idea yang pelik tetapi telah lama dipraktikkan oleh tentera udara diseluruh dunia terutamanya sebagai “stop-gap measures” sebelum negara itu memperolehi pesawat pejuang baru.

TUDM telah pun menyatakan bahawa ia bercadang meneruskan operasi lapan buah pesawat pejuang F/A-18C/D dan 18 buah pesawat Sukhoi Su-30MKM sehingga tahun 2035 dan tahun 2040 sebelum menggantikannya dengan pesawat pejuang yang baru.

Pada ketika ini, banyak tentera udara negara-negara lain sedang mengintai peluang-peluang untuk memperolehi pesawat pejuang terpakai.

Antaranya adalah Romania yang pada Disember tahun lepas telah memutuskan untuk memperolehi 32 buah pesawat F-16AM/BM terpakai daripada Norway yang menamatkan perkhidmatan pesawat itu selepas menerima pesawat baru.

TUDM
Pesawat MiG-21 “Fishbed” Tentera Udara India

 

Pada ketika ini, Romania memiliki 17 buah pesawat F-16 dan tambahan 32 buah pesawat itu akan menambah pegangan pesawat buatan Amerika Syarikat di dalam tentera udaranya dan membolehkannya menamatkan operasi pesawat lama MiG-21 “Fishbed” buatan Russia.

Sebahagian daripada 52 buah pesawat F-35 Joint Strike Fighter Tentera Udara Norway telah pun memulakan operasi menjaga kedaulatan udara negara Scandinavia itu baru-baru ini, dengan penghantaran kesemua pesawat generasi kelima daripada syarikat Lockheed Martin itu selesai menjelang tahun 2025.

Pesawat-pesawat F-16 Norway berkhidmat selama 42 tahun untuk negara yang berkongsi sempadan dengan Russia.

Selain daripada Romania, Croatia juga menggunakan pesawat MiG-21 yang merupakan tinggalan era Kesatuan Soviet.

F-16
Pesawat F-16 Tentera Udara Norway

 

Klik Di Bawah Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

Bagi menggantikan khidmat pesawat pejuang usang Russia itu, negara Baltic itu telah menandatangani perjanjian dengan Perancis untuk memperolehi 12 buah pesawat pejuang terpakai Rafale F3-R yang digunakan oleh Tentera Udara Perancis bagi menggantikan pesawat MiG-21 itu.

Sementara itu, Denmark juga dikatakan bercadang menamatkan perkhidmatan 24 daripada 43 buah pesawat pejuang F-16 yang dimilikinya pada 2025 apabila ia menerima pesawat F-35 JSF yang dipesannya daripada Amerika Syarikat pada 2016.

Pada 2016, Denmark bersetuju untuk memperolehi 27 buah pesawat F-35 yang dijangka dihantar ke negara Scandinavia itu pada tahun 2027.

Berikutan daripada tindakan Denmark mahu menamatkan perkhidmatan pesawat-pesawat F-16 miliknya, timbul spekulasi yang menyatakan bahawa Turki mahu membeli pesawat-pesawat pejuang milik Denmark itu yang mempunyai jangka hayat lebih daripada 10 tahun lagi.

F-35B
Pesawat pejuang F-35B Short Take Off and Vertical Landing (STOVL).

 

Sumber-sumber telah pun menyatakan kepada media Turki menafikan perkara itu.

Ankara sedang berunding dengan Amerika Syarikat untuk memperolehi sejumlah 40 buah pesawat F-16 Block 70 dan kit-kit pemodenan bagi menggantikan perolehan F-35 yang dibatalkan oleh Washington selepas Turki membeli sistem pertahanan udara S-400 daripada Russia.

Bagaimanapun hasrat Turki untuk mendapatkan pesawat-pesawat F-16 itu mungkin dihalang oleh Kongres Amerika Syarikat.

Turki dikatakan telah membayar US$1.4 bilion untuk menyertai program pembangunan pesawat F-35 itu, sebelum negara Mediterranean dikeluarkan daripada program akibat pembelian sistem pertahanan udara Russia itu.

S-400
Sistem pertahanan udara S-400

 

Washington bimbang sistem pertahanan udara S-400 milik Turki itu akan mengetahui “rahsia” pesawat F-35.

Negara jiran Turki iaitu Greek juga membeli 24 buah pesawat pejuang Rafale daripada Perancis dengan 12 daripada adalah pesawat pejuang terpakai daripada Tentera Udara Perancis dalam kontrak bernilai US$2.8 bilion.

Di Asia, India juga dilaporkan membeli 24 buah pesawat pejuang Mirage 2000 daripada Perancis, dengan sebahagian besar daripada pesawat-pesawat itu digunakan untuk bekalan alat ganti pesawat Mirage sedia ada India.

Hanya lapan buah daripada 24 pesawat terpakai Mirage yang dibeli India berada di dalam keadaan baik untuk beroperasi.

Rafale
Pesawat pejuang Rafale yang dibangunkan oleh syarikat Dassault Aviation.

 

Klik Di Bawah Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

 

 

Comments
Loading...