M’sia Runding Dgn Kuwait Untuk Peroleh 33 Pesawat F/A-18C/D Negara Arab Itu
Pesawat pejuang F/A-18C/D yang dioperasikan oleh Tentera Udara Kuwait itu masih dalam keadaan baik dan mempunyai waktu jam operasi yang rendah berbanding F/A-18D yang dioperasikan oleh TUDM.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Jikalau rundingan antara kerajaan Malaysia dan Kuwait berjalan dengan lancar, maka Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bakal memperolehi 33 buah pesawat pejuang F/A-18C/D milik tentera udara negara Timur Tengah yang telah dilucut tauliah.
Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ikmal Abdul Aziz berkata kerajaan sememangnya mahu memperolehi pesawat-pesawat Hornet milik Tentera Udara Kuwait itu tetapi menunggu proses rundingan antara kedua-dua negara.
“Perolehan yang dirancang adalah berbentuk Lock, Stock and Barrel (lengkap) sebanyak 33 buah Pesawat F/A-18 C/D Tentera Udara Kuwait,
“Kerajaan Kuwait dijangka akan melucut tauliahkan pesawat F/A-18C/D setelah menerima dan mengoperasikan pesawat terbaharu F/A-18E/F (Super Hornet) dari Amerika Syarikat,” kata Ikmal di Dewan Negara, hari ini.
Menuurut beliau, pesawat pejuang F/A-18C/D yang dioperasikan oleh Tentera Udara Kuwait itu masih dalam keadaan baik dan mempunyai waktu jam operasi yang rendah berbanding F/A-18D yang dioperasikan oleh TUDM.
“Inisiatif ini masih menunggu perbincangan di antara kedua buah negara atau di peringkat Government to Goverment,
“Sekiranya inisiatif ini berjaya direalisasikan, sudah pasti ianya akan meningkatkan tahap kesiagaan dan keupayaan TUDM dalam menjaga ruang angkasa negara,” menurut beliau.
Awal bulan lepas, Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad memberitahu media bahawa beliau akan bertemu dengan Panglima Tentera Udara Kuwait untuk membincangkan tentang kemungkinan TUDM memperolehi pesawat F/A-18C/D Hornet terpakai daripada negara Timur Tengah itu.
Panglima TUDM mengatakan beliau akan mengadakan pertemuan dengan Panglima Tentera Udara Kuwait di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) ketika menghadiri pameran Dubai Airshow 2021 yang bakal berlangsung di Dubai World Central daripada 14 hingga 18 November 2021.
Dalam satu temuramah dengan majalah pertahanan berbahasa Inggeris tidak lama dahulu, Ackbal berkata, pihak TUDM telah menghantar surat bagi kepada Panglima Tentera Udara Kuwait untuk menyatakan hasratnya untuk memperolehi pesawat-pesawat F/A-18 C/D Tentera Udara Kuwait yang telah ditamatkan perkhidmatannya.
“Kita (TUDM dan Tentera Udara Kuwait) masih berunding dan masih menunggu reaksi balas daripada mereka (Kuwait),” kata Panglima TUDM.
TUDM merancang untuk membeli pesawat-pesawat F/A-18 C/D Hornet Tentera Udara Kuwait sebagai satu “stop-gap measures” (langkah sementara) sebelum ia membeli pesawat Multi-Role Combat Aircraft (MRCA) yang baru.
Tentera Udara Kuwait memutuskan untuk menamatkan perkhidmatan pesawat-pesawat F/A-18 C/D miliknya selepas ia memutuskan untuk memperolehi pesawat-pesawat F/A-18 E/F Super Hornet serta Eurofighter Typhoon.
Ia memiliki sebanyak 27 buah pesawat F/A-18 C/D dan tujuh buah pesawat F/A-18D pada ketika ini.
Untuk menggantikan pesawat F/A-18C/D dan F/A-18D atau dipanggil “legasi Hornet”, Kuwait telah membeli sebanyak 28 buah pesawat Super Hornet yang terdiri daripada 22 buah pesawat satu tempat duduk F/A-18E dan enam buah pesawat F/A-18F Super Hornet yang beroperasi daripada Pangkalan Udara Ahmed al-Jaber.
Selain pesawat-pesawat pejuang Super Hornet, Kuwait turut membeli 28 buah pesawat Eurofighter Typhoon yang dibangunkan oleh BAE Systems.
— DEFENCE SECURITY ASIA
Comments are closed.