Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Malaysia Dikatakan Bakal Terima Bantuan Kewangan Pertahanan K’jaan Jepun

Selain Malaysia, Filipina dan Bangladesh juga adalah negara-negara yang dijangka menerima bantuan kewangan untuk pertahanan kerajaan Jepun,dipanggil "Overseas Security Assistance" (OSA) untuk perolehan sistem pertahanan tidak berbahaya (non-lethal).

0 11,244

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Malaysia dikatakan bakal menjadi negara yang akan menerima bantuan kewangan daripada Jepun untuk memperolehi sistem pertahanan tidak berbahaya (non-lethal) seperti radar, komunikasi satelit dan sistem radio untuk pemantauan kawasan maritim.

Bantuan kewangan Jepun untuk pertahanan itu dipanggil Overseas Security Assistance (OSA) dan ia adalah berlainan daripada satu lagi program, Overseas Development Assistance (ODA) yang telah wujud sejak lama untuk tujuan pembangunan infrastruktur.

Ketua Setiausaha kabinet Jepun Hirokazu Matsuno berkata,  bantuan kewangan untuk mengeratkan lagi hubungan pertahanan di antara Jepun dan negara-negara penerima.

Radar
Radar yang dibangunkan oleh syarikat Mitsubishi Electric Corporation (MELCO)

 

“Dengan meningkatkan lagi kemampuan keselamatan dan pencegahan, OSA berhasrat untuk mengeratkan hubungan keselamatan dengan negara-negara (penerima), untuk mewujudkan suasana keselamatan yang baik untuk Jepun,” kata beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kemenenterian Luar Jepun dan dipetik oleh akhbar South China Morning Post.

Bantuan kewangan OSA itu tidak akan digunakan untuk membeli senjata-senjata berbahaya yang boleh digunakan oleh negara penerima dalam mana-mana konflik.

Antara projek-projek pembiayaan kewangan di bawah OSA termasuklah perolehan sistem komunikasi satelit dan sistem radio untuk tujuan pemantauan maritim, dengan persediaan sedang dilakukan untuk membolehkan bantuan kewangan pertama diberikan kepada negara penerima pada tahun ini.

Filipina dan Bangladesh dijangkakan menjadi antara penerima pertama bantuan kewangan keselamatan Jepun itu.

Tokyo juga menimbangkan untuk memberikan bantuan kewangan kepada Filipina untuk memperolehi radar bagi memantau aktiviti China di Laut China Selatan serta Malaysia dan Fiji juga sedang dipertimbangkan untuk memperolehi bantuan kewangan itu, menurut laporan media tempatan Jepun.

LRAD
Long Range Acoustic Device (LRAD) digunakan oleh tentera laut Jepun.

 

Secara prinsipnya, hanya negara-negara membangun sahaja berkelayakan untuk menerima bantuan kewangan itu.

Keputusan Jepun untuk memperluaskan program bantuan ketenteraannya itu adalah sebagai mengikuti pengumuman negara itu pada Disember tahun lepas untuk meningkatkan belanjawan pertahanannya sebanyak lima kali ganda sebagai menangani sikap agresif tentera China.

Kerajaan Jepun akan membelanjakan US$320 bilion (RM1.4 trillion) dalam tempoh lima tahun untuk meningkatkan kemampuan angkatan tenteranya termasuk melengkapkannya dengan peluru-peluru berpandu yang mampu membedil “musuh-musuhnya.”

Selain pembangunan selama lima tahun, belanjawan tahunan pertahanan Jepun pada tahun ini juga akan ditingkatkan kepada 1.1 peratus daripada KDNK kepada US$54.1 bilion (RM216 bilion), menyaksikan negara itu berada di tangga ke-sembilan sebagai negara paling banyak berbelanja untuk sektor pertahanan seluruh dunia.

Jepun
Pesawat peronda maritim P-3 Orion milik Jepun

 

Berikutan perubahan strategi ketenteraan Jepun, terdapat peningkatan momentum menunjukkan Tokyo juga sedang bergerak ke arah untuk melonggarkan pengharaman eksport senjata ke luar negara.

Jepun turut telah meningkatkan program pelaburannya di negara-negara membangun dalam usaha untuk menangani pengaruh China.

Pada Mac lalu, Perdana Menteri negara Matahari Terbit itu Fumio Kishida mengumumkan pelaburan berjumlah US$75 bilion (RM300 bilion) di Indo-Pasifik untuk mengeratkan lagi hubungannya dengan negara-negara di Asia Selatan dan Asia Tenggara. — DSA

apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...