Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Malaysia Berhak Untuk Hentikan Bayaran Tahunan Pada Waris Sultan Sulu

Pada 9 Februari 2013, sekumpulan penceroboh dikatakan pengikut Kesultanan Sulu telah menceroboh perairan negara menggunakan bot pancung dan berkumpul secara berperingkat di Felda Sahabat 17, Kampung Tanduo, Lahad Datu.

0 5,331

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Pencerobohan Lahad Datu 2013 yang diketuai seorang individu mendakwa dirinya waris Kesultanan Sulu, memberikan Malaysia hak untuk menghentikan bayaran pampasan tahunan sebanyak RM5,300 kepada waris Sultan Sulu, kata seorang penganalisis politik.

Penganalisis politik, Bunn Nagara, felo penyelidik kehormat di Akademi Perak berkata, terdapat “perjanjian gentlemen” pada 1963 selepas pembentukan Malaysia, di mana ia bersetuju meneruskan pembayaran pampasan tahunan itu.

Katanya, hakikat bahawa keturunan Sulu mendekati Malaysia ketika itu adalah bukti mereka tidak tahu Malaysia “terikat” untuk meneruskan pembayaran berkenaan.

Sulu

Dalam webinar anjuran bersama Jawatankuasa Majlis Peguam Kuala Lumpur dan Persatuan Undang-undang Sabah, Bunn berkata, perjanjian 1963 disertakan syarat waris Sulu tidak boleh mengganggu Malaysia dengan tuntutan mereka.

“Pada 2013, mereka mengganggu Malaysia dalam tindakan paling ekstrem dengan serangan bersenjata fizikal, membunuh orang.

“Malaysia mempunyai hak untuk menghentikan tuntutan itu kerana mereka telah melanggar perjanjian itu,” katanya sebagaimana dipetik oleh portal berita, Free Malaysia Today beberapa hari lepas.

Bunn juga berkata, Jamalul, yang merupakan dalang di sebalik serangan pada 2013, diiktiraf sebagai Sultan Sulu oleh dua kerajaan Filipina.

Sulu

Pada 9 Februari 2013, sekumpulan penceroboh dikatakan pengikut Kesultanan Sulu telah menceroboh perairan negara menggunakan bot pancung dan berkumpul secara berperingkat di Felda Sahabat 17, Kampung Tanduo, Lahad Datu.

Pada 5 Mac pasukan keselamatan melancarkan serangan ke Kampung Tanduo. Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu kenyataan mengumumkan serangan itu adalah “bagi menjaga maruah dan kedaulatan negara” dengan operasi menggempur itu diberi nama Ops Daulat.

Sepuluh anggota keselamatan terkorban dalam pertempuran dengan pengganas di Lahad Datu dan Semporna, Sabah.

sulu
Bedilan mortar 81mm terdapap kedudukan pengganas Sulu di Kampung Tanduo pada 2013.

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

 

Jumlah individu yang dihadapkan ke mahkamah berikutan insiden pencerobohan di Lahad Datu ialah 31 orang termasuk seorang anggota polis, KPL Hassan Ali Basri.

Jumlah pengganas yang berjaya ditewaskan oleh pasukan keselamatan negara adalah sebanyak 63 orang.

Pada Februari lalu, sebuah mahkamah timbang tara Perancis mengarahkan Putrajaya membayar sekurang-kurangnya USD14.92 bilion (RM62.59 bilion) kepada keturunan Sultan Sulu terakhir.

Penimbang tara, Gonzalo Stampa memutuskan Malaysia melanggar perjanjian 1878 antara kerajaan lama Sulu di Filipina dan wakil Syarikat Borneo Utara British yang mentadbir kawasan kini dikenali sebagai Sabah. — DSA

 

Comments
Loading...