Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Majalah Pertahanan China Dakwa “Pulau Buatan-Manusia” Di Spratly Mudah Diserang Musuh

Pulau-pulau buatan manusia yang diduduki secara haram oleh China di Spratly dikatakan “kubu-kubu” tentera yang lengkap dan teguh. Tetapi benarkah ia seteguh sebagaimana yang disangka oleh kita semua?

0 4,276

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sejak 2015, China telah membangunkan atoll dan terumbu karang yang didudukinya secara haram di Spratly, Laut China Selatan untuk menjadi pangkalan-pangkalan tenteranya yang lengkap.

Selepas menambak dan menjadikan atoll dan terumbu karang di Spratly itu pulau-pulau buatan manusia, Beijing telah melengkapkannya dengan landasan, jeti, bangunan, sistem komunikasi, radar, sistem pertahanan udara dan lain lagi, sebagaimana dikatakan oleh badan pemikir Amerika Syarikat iaitu Centre for Strategic and International Studies.

Pulau-pulau buatan manusia yang diduduki secara haram oleh China di Spratly dikatakan “kubu-kubu” tentera yang lengkap dan teguh. Tetapi benarkah ia seteguh sebagaimana yang disangka oleh kita semua?

Fiery Cross
Dipercayai kemudahan radar China di Spratly.

Baru-baru ini, satu majalah ketenteraan yang diterbitkan sebulan sekali di Beijing bertajuk “Naval and Merchant Ships” menimbulkan keraguan terhadap ketahanan “pulau-pulau buatan manusia” di Spratly ini dalam menangani serangan daripada pihak musuh.

Majalah pertahanan yang diterbitkan oleh China State Shipbuilding Corporation yang membina kapal-kapal perang tentera China menyatakan pulau-pulau buatan manusia yang diduduki secara haram oleh negara itu seperti “Fiery Cross Reef” mempunyai empat kelemahan yang nyata.

Empat kelemahan itu adalah – jaraknya yang jauh daripada tanah besar China,  saiznya yang kecil, kemampuan terhad landasannya dan kewujudan pelbagai arah di mana pulau-pulau buatan manusia ini boleh diserang.

Selain itu, majalah pertahanan itu berkata, pulau-pulau buatan manusia tidak mempunyai kemampuan serangan.

“Pulau-pulau buatan manusia ini memiliki kelebihan yang unik dalam memelihara kedaulatan China dan mengekalkan kehadiran tentera China di laut dalam, tetapi ia juga mempunyai kekurangan semulajadi dalam pertahanan,”  menurut majalah itu.

Memandangkan kedudukannya yang terletak jauh daripada tanah besar China, jika pulau-pulau buatan manusia ini diserang oleh musuh, maka untuk mendapatkan bantuan memerlukan masa yang lama.

Fiery Cross
Pulau buatan manusia “Fiery Cross Reef” di Spratly selepas beberapa tahun pembinaannya.

Majalah itu mengambil contoh salah satu pulau buatan manusia iaitu “Fiery Cross Reef”, walaupun ia mempunyai landasan tetapi ia terletak kira-kira 1,000km daripada bandar Sanya di pulau Hainan.

Dengan jarak sedemikian, majalah itu berkata, kapal bantuan kombat terpantas tentera China memerlukan 20 jam untuk sampai ke Fiery Cross Reef.

Selain itu, landasan kapal terbang pulau-pulau buatan manusia itu terletak hampir dengan laut dan ini mendedahkannya dengan elemen kerosakan akibat ombak dan cuaca tropika.

Saiznya yang kecil, landskapnya yang rata tanpa sebarang pokok atau batu-batu untuk melindunginya juga merupakan kelemahan yang nyata bagi pulau-pulau buatan manusia China ini yang memudahkan lagi usaha-usaha pihak musuh untuk memusnahkannya.

— DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...