Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Maghribi Beli Satelit Pengintip Dari Israel Bernilai USD$1 Billion (RM4.5 Billion)

Maghribi dilaporkan bakal menandatangani perjanjian dengan Israel untuk memperolehi satelit pengintip daripada syarikat Yahudi, Israel Aerospace Industries (IAI) yang merupakan antara pembekal senjata terbesar kepada tentera Israel yang membunuh puluhan ribu rakyat awam Palestin.

0 594

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Maghribi dilaporkan bakal menandatangani perjanjian dengan Israel untuk memperolehi satelit pengintip daripada syarikat Yahudi, Israel Aerospace Industries (IAI) yang merupakan antara pembekal senjata terbesar kepada tentera Israel yang membunuh puluhan ribu rakyat awam Palestin.

Media-media tempatan di Maghribi melaporkan bahawa perjanjian perolehan dua buah satelit pengintip di antara kerajaan di Rabat dengan Israel itu dijangka bernilai lebih USD$1 billion (RM4.5 billion).

Berita tentang perolehan satelit pengintip oleh Maghribi itu mula tersebar selepas syarikat IAI itu mengumumkan bahawa ia telah menandatangani perjanjian untuk membekalkan salah satu “sistemnya’ kepada pihak ketiga yang tidak dinamakannya.

Laporan menyatakan bahawa syarikat IAI itu perlu membekalkan satelit pengintip “Ofek 13” kepada Maghribi di dalam tempoh lima tahun.

Satelit pengintip “Ofek 13” yang bakal diperolehi oleh Maghribi daripada Israel itu akan menggantikan satelit yang dibuat oleh syarikat Thales dan Airbus yang digunakan oleh negara Afrika Utara pada ketika ini.

satelit

Selasa lalu, syarikat IAI mengumumkan kepada Bursa Saham Tel Aviv bahawa telah menandatangani perjanjian untuk membekalkan peralatan ketenteraan bernilai lebih daripada USD$1 billion (RM4.5 billion) kepada “pihak ketiga” untuk tempoh lima tahun.

Walaupun ia tidak mendedahkan identiti pihak ketiga itu, namun, ia difahami membabitkan Maghribi yang sememangnya memiliki hubungan pertahanan dan keselamatan yang erat dengan Israel.

Pada 2021, Maghribi dan Israel telah menandatangani perjanjian pertahanan meliputi perkara-perkara seperti perisikan, industri dan perolehan senjata.

Pada Selasa lepas juga, akhbar Israel Yediot Ahronoth menyatakan bahawa pengerusi lembaga pengarah syarikat IAI itu, Amir Peretz yang juga merupakan bekas Menteri Keselamatannya telah berada di Maghribi dipercayai untuk menandatangani perjanjian penjualan satelit pengintip itu kepad negara Afrika Utara itu.

Syarikat pembuat senjata dan sistem-sistem pertahanan IAI itu sememangnya terkenal di dalam industri pertahanan antarabangsa dan dikenali sebagai antara kontraktor senjata paling utama untuk Angkatan Tentera Israel.

Banyak daripada produk-produknya digunakan oleh tentera Israel dalam konflik dengan Palestin ketika ini dan konflik sebelum ini, yang telah mengorbankan ratusan ribu penduduk Palestin dan penduduk Arab serta Islam yang lain.

Maghribi
Kereta kebal Abrams M1A1 SEPv3 milik Maghribi

 

Tindakan Maghribi yang rata-rata penduduknya adalah beragama Islam dalam membeli sistem pertahanan daripada Israel dianggap sebagai amat tidak sensitif terhadap penderitaan saudara seagama mereka di Palestin yang terus-menerus menderita hasil daripada tindakan kejam tentera dan kerajaan Israel.

Hubungan pertahanan di antara Israel dan Maghribi sudah diketahui adalah amat erat.

Pertengahan tahun lepas, Defence Security Asia melaporkan bahawa Maghribi dan Cyprus disebut-sebut sebagai operator pertama bagi kereta kebal utama buatan Israel, “Merkava”.

“Penghantaran kereta kebal Merkava ke Cyprus dan Maghribi dijangka untuk menggantikan 41 buah kereta kebal T-80U/UK yang “disedekahkan” oleh Cyprus kepada Ukraine sebelum ini serta kereta-kereta kebal T-72B yang turut “disedekah” kepada Ukraine oleh Maghribi,” menurut laporan media tempatan.

Walaupun Maghribi menafikan bahawa ia terlibat dalam memberikan kereta-kereta kebal buatan Russia miliknya kepada Ukraine, tetapi terdapat dakwaan mengatakan bahawa kereta kebal T-72 milik negara Afrika Utara itu telah diberikan kepada negara Ukraine itu menerusi pihak ketiga.

Jika rundingan perolehan kereta kebal “Merkava” itu berjaya, kedua-dua negara itu atau salah satu daripadanya bakal muncul sebagai negara luar Israel yang pertama menggunakan kereta kebal “Merkava” kebanggaan negara Yahudi itu. — DSA

Comments
Loading...