Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Radar LTR25, Pilihan Tepat Jadi “Mata Dan Telinga” Negara Di Laut China Selatan

Defence Security Asia difahamkan Kementerian Pertahanan telah menyenarai-pendek dua jenis radar pertahanan udara jarak jauh keluaran dua syarikat Eropah untuk pertimbangan, dengan salah satu syarikat yang disenarai-pendek itu adalah Indra Sistemas S.A daripada Sepanyol yang menawarkan radar LTR25 digunakan oleh banyak tentera NATO dan tentera negara lain di seluruh dunia.

0 2,152

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada akhir tahun ini, radar pertahanan udara jarak jauh buatan Amerika Syarikat akan mula beroperasi di Labuan, menjadi “mata dan telinga” dalam memastikan kepentingan dan kedaulatan negara di Laut China Selatan sentiasa terpelihara daripada sebarang gangguan.

Sebagaimana dinyatakan oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan di Parlimen baru-baru ini, radar AN/TPS-77 buatan syarikat Lockheed Martin itu akan mula beroperasi di pulau bebas cukai itu pada akhir tahun ini.

Bagi memastikan pemantauan ruang udara negara di Laut China Selatan itu lebih ketat, Defence Security Asia difahamkan bahawa Kementerian Pertahanan bercadang menempatkan radar pertahanan udara jarak jauh di Bintulu, Sarawak untuk menjadi “mata dan telinga” tambahan negara untuk mengawasi kawasan penting itu,

Indra
Lanza Radar LTR25 boleh dibawa menaiki pesawat pengangkut dan dikerah ke mana-mana lokasi.

 

Malah,tender untuk mendapatkan radar pertahanan udara jarak jauh terbabit dikata telah diiklankan oleh Kementerian Pertahanan pada pertengahan tahun 2021.

Bintulu bukan sahaja akan menempatkan radar jarak jauh itu, tetapi dalam beberapa tahun mendatang ini, ia juga akan menjadikan lokasi Markas Wilayah Laut 4 (MAWILLA 4) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan pangkalan udara “bare bone” Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), sebagaimana diumum oleh kerajaan pada 2021.

Defence Security Asia dimaklumkan bahawa Kementerian Pertahanan telah menyenarai-pendek dua jenis radar pertahanan udara jarak jauh dibangunkan oleh dua syarikat Eropah untuk pertimbangan.

Salah satu syarikat yang disenarai-pendek itu adalah Indra Sistemas S.A daripada Sepanyol yang menawarkan radar jarak jauh LTR25 yang telah terbukti kemampuannya, serta digunakan oleh banyak negara untuk dipertimbangkan oleh Kementerian Pertahanan.

Indra
Lanza Radar LTR25, merupakan radar pertahanan udara jarak jauh keluaran syarikat Indra berpengakalan di Sepanyol yang ditawarkan kepada TUDM.

 

Walaupun kurang dikenali berbanding syarikat pesaingnya di Malaysia, tetapi syarikat Indra merupakan antara pembekal utama sistem radar pertahanan mahupun awam untuk pasaran antarabangsa.

Sumber memberitahu Defence Security Asia bahawa LTR25 bukanlah radar yang calang-calang kemampuannya kerana ia bukan sahaja mematuhi kehendak TUDM daripada segi fungsi, operasi dan teknikalnya, tetapi ia juga adalah radar yang telah terbukti keberkesanannya.

“Radar LTR25 telah pun digunakan oleh negara-negara anggota NATO dan secara keseluruhannya, sebanyak 60 buah unit radar pertahanan udara jarak jauh keluaran Indra itu beroperasi di seluruh dunia pada ketika ini.”

“Selain negara-negara NATO, radar LTR25 itu turut digunakan oleh Tentera Udara British, Tentera Udara Turkiye, Tentera Udara Azerbaijan, Tentera Udara Perancis dan Tentera Udara Oman,” kata beliau.

Disebabkan tahap keberkesanannya yang tinggi, maka radar LTR25 telah menjadi pilihan dikalangan banyak negara seluruh dunia.

Radar LTR25 menurut beliau, bukan sebuah radar prototaip atau baru sahaja memasuki pasaran, tetapi ia adalah radar pertahanan udara jarak jauh yang telah dioperasikan oleh banyak negara, dengan teknologi yang tahap kematangan yang tinggi berbanding pesaingnya.

TUDM
Rajah pencerobohan pesawat tentera China di ruang udara Laut China Selatan. (kredit TUDM)

 

Sumber itu juga mendedahkan bahawa kemampuan jarak pengesanan (tipikal) bagi radar jarak jauh LTR25 yang dibangunkan oleh Indra itu juga adalah jauh mengatasi kemampuan jarak pengesanan oleh syarikat pesaingnya dalam tender Kementerian Pertahanan.

“Radar LTR25 berkemampuan untuk mengesan dan menjejaki Tactical Ballistic Missile (TBM) yang terbang menjangkaui ruang atmosfera, dengan kebolehan jarak dan Special Beam Mode yang tidak didapati oleh radar yang lain,” kata sumber itu.

Mengenai spesifikasi teknikalnya pula, radar pertahanan jarak jauh LTR25 itu menggunakan frekuensi L-Band (1-2 GHz) berbanding pesaingnya yang menggunakan frekuensi S-Band (2-4 GHz).

Penggunaan frekuensi L-Band adalah lebih sesuai untuk operasi radar-radar jarak jauh moden berbanding dengan S-Band.

“Hukum Fizik menyatakan bahawa radar yang menggunakan frekuensi (L-Band) yang lebih rendah menjangkaui jarak yang lebih jauh. Ianya juga memberi lebih ketahanan (resistance) terhadap impak cuaca seperti awan tebal, hujan dan gangguan am di atmosfera.”

TUDM
Sebuah pesawat pengangkut China Ilyushin-76 yang dipintas oleh TUDM ketika menghampiri Zon Maritim Malaysia (kredit TUDM)

 

“Selain itu, julat frekuensi L-Band pada 1-2 GHz juga menjamin tiada gangguan terhadap Sistem Komunikasi 5G,” kata sumber itu.

Penggunaan frekuensi yang lebih tinggi seperti S-Band juga bermakna pemancar memerlukan kuasa transmit yang lebih kuat berbanding pemancar yang menggunakan frekuensi yang rendah.

“Ini memerlukan penggunaan tenaga yang lebih dan dengan limitasi Power Amplifier dengan isu Heat Management, menyebabkan radar menggunakan frekuensi  S-Band tidak dapat menandingi radar menggunakan frekuensi L-Band daripada segi jarak jangkauan.”

Sumber itu juga mendedahkan kepada Defence Security Asia, penggunaan radar  S-Band juga menyebabkan limitasi terhadap tahap pengoperasian radar disebabkan gangguan akibat penggunaan sistem komunikasi 5G yang menggunakan band frekuensi 3.5GHz bagi orang awam.

TUDM
Pesawat pengangkut tentera China Xian Y-20 digelar “Chubby Girl” yang dipintas oleh pesawat TUDM (kredit TUDM)

 

Untuk mengelakkan gangguan, radar yang menggunakan frekuensi S-Band terpaksa menghadkan frekuensi-frekuensi yang boleh digunakan, menurutnya.

Sumber itu juga berkata bahawa negara-negara di Eropah telah mula menukar radar-radar frekuensi S-Band yang terdedah kepada gangguan daripada rangkaian komunikasi 5G kepada radar-radar frekuensi L-Band.

“Adalah amat merugikan sekiranya pihak kerajaan meneruskan penggunaan radar ber-frekuensikan S-Band kerana ia memerlukan pengubahsuaian untuk mengelak gangguan daripada rangkaian komunikasi 5G,” kata sumber itu.

Sementara itu Defence Security Asia juga difahamkan bahawa syarikat Indra itu turut menawarkan untuk membaikpulih dan menyelenggara radar-radar sedia ada milik TUDM terutamanya radar Martello RAT-31SL

“Indra berkeupayaan penuh untuk melaksanakan ‘life-extension’ tersebut berdasarkan kepada pengalaman melaksanakan program yang sama di Sepanyol dan ini akan menjimatkan perbelanjaan negara dengan melanjutkan tempoh hayat radar-radar lama yang sedia ada.” — DSA

Apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...