Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Perolehan Kapal LMS Batch Kedua Oleh TLDM Amat Penting, Kritikal

TLDM merancang untuk memperolehi sehingga lapan buah kapal Littoral Mission Ship (LMS) Batch Kedua dengan pembinaan kapal-kapal itu dilaksanakan secara berperingkat bermula pada Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025).

0 3,424

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Perolehan kapal-kapal Littoral Mission Ship (LMS) Batch Kedua oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) adalah amat penting dan dikategorikan sebagai “kritikal”, kata Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany.

Bercakap kepada majalah pertahanan berbahasa Inggeris tempatan, Asian Defence Journal (ADJ) keluaran Mei-Jun, beliau berkata, perolehan kapal-kapal LMS Batch Kedua itu terletak pada senarai kepentingan TLDM paling tinggi.

“Pihak TLDM mahu menekankan bahawa perolehan kapal-kapal LMS Batch Kedua adalah di senarai paling tinggi TLDM dan dikategorikan sebagai kritikal,” kata beliau dalam temuramah dengan majalah pertahanan itu.

LMS
Tiga daripada empat kapal LMS Batch 1 milik TLDM yang dibina oleh syarikat China, CSOC.

 

Panglima TLDM itu berharap perolehan itu akan dapat direalisasikan pada tahun depan, dengan kapal pertama LMS Batch Kedua sedia beroperasi pada tahun 2025.

Ditanya lebih lanjut mengenai kapal-kapal LMS Batch Kedua ini, Mohd Reza berkata, kemampuan kapal-kapal LMS Batch Kedua itu adalah berbeza jika dibandingkan dengan kapal-kapal LMS Batch Pertama yang telah pun beroperasi di perairan Malaysia Timur.

Antara ciri-ciri perbezaan itu adalah – kapal-kapal LMS Batch Kedua akan lebih berkeupayaan dan berkemampuan untuk melaksanakan misi-misi kombat.

“Ia akan mempunyai kemampuan anti-permukaan and pertahanan udara. Oleh itu kapal-kapal (LMS Batch Kedua) akan dilengkapkan dengan 3D main surveillance radar, fire control radar dan pelbagai sistem penderia (sensor) yang lain,” kata beliau.

LMS
Kapal LMS TLDM yang keempat dan terakhir, “Rencong” selamat tiba di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu. (TLDM)

 

Panglima TLDM itu berkata kapal-kapal itu akan memiliki panjang di antara 85 hingga 100 meter dengan kelajuan 25 knot dan kelengkapan untuk mengoperasikan Helikopter Operasi Maritim (HOM).

Bercakap kepada agensi berita nasional ketika pameran DSA 2022, Panglima TLDM berkata, ia merancang untuk melakukan perolehan tiga lagi buah kapal LMS di bawah program perolehan Batch 2 LMS, bagi menambah empat kapal LMS Batch Pertama yang telah pun diperolehi setakat ini.

Menurut beliau peruntukan untuk perolehan untuk kapal-kapal LMS Batch II itu sedang diusahakan TLDM dan Menteri Pertahanan.

TLDM dikatakan sedang merancang untuk memperolehi sehingga lapan buah kapal LMS Batch 2 kedua pada tahun, dengan pembinaannya akan dilaksanakan secara berperingkat di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025).

LMS
Rekabentuk Damen Sigma 9113 yang dicadangkan untuk program LMS Batch 2 TLDM.

 

Empat buah kapal LMS Batch 1 kelas-Keris yang dibina di China hasil kerjasama di antara firma  Boustead Naval Shipyard (BNS) dan China Shipbuilding and Offshore Corporation (CSOC) di Wuchang Shipyard di Qidong, China.

Empat kapal LMS TLDM iaitu KD Sundang ditauliah pada 5 Mac tahun lepas, KD Badik (20 Okt 2021), KD Keris (15 April 2019) dan KD Rencong (28 Jan 2022).

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

Laporan-laporan media sebelum ini mengatakan bahawa kapal-kapal LMS Batch Kedua TLDM ini akan dilengkapi dengan meriam 57mm,  meriam 30mm Close-In Weapon System (CIWS) dan dua pelancar peluru berpandu anti-kapal Naval Strike Missile (NSM) yang dibangunkan oleh firma Kongsberg daripada Norway.

Selain itu, kapal-kapal LMS Batch Kedua itu juga akan dilengkapi dengan peluru berpandu anti-pesawat jarak rendah bagi point defence daripada sebarang serangan udara. — DSA

 

Comments
Loading...