Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Tentera Darat Bakal Perolehi Empat Buah Helikopter UH-60 Black Hawk

Bercakap di Kem Mahkota,Kluang hari ini, Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain berkata, perolehan helikopter Sikorsky UH-60 Black Hawk itu adalah berdasarkan kepada kehendak dan keperluan Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD).

0 8,566

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) bakal menerima empat buah helikopter Sikorsky UH-60 Black Hawk untuk operasinya, sebagaimana yang diumumkan oleh Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain hari ini.

Bercakap di Kem Mahkota,Kluang hari ini, beliau berkata, perolehan helikopter Black Hawk itu adalah berdasarkan kepada kehendak dan keperluan PUTD.

“Dengan cadangan dan sokongan dari PUTD, kita telah dapat meyakinkan pihak Kementerian Pertahanan Malaysia untuk mendapatkan 4 buah lagi Blackhawk,” katanya sebagaimana dipetik oleh portal tempatan, Air Times News Network hari ini.

Menurutnya, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan menyatakan bahawa perolehan keempat-empat buah helikopter Black Hawk itu untuk PUTD hanya menunggu pemeteraian Surat Setuju Terima (SST) (Letter of Acceptance).

Terdahulu, Zamrose dilaporkan telah merasmikan penubuhan Rejimen 883 PUTD yang akan bertanggungjawab terhadap pengoperasian dan penyelenggaraan enam buah helikopter tempur ringan MD530G yang diterima oleh pasukan tahun lepas.

Black Hawk

Defence Security Asia telah melaporkan seawal tahun 2021 tentang kemungkinan Kementerian Pertahanan menyewa empat buah helikopter Black Hawk untuk program penggantian helikopter Nuri.

Helikopter itu dikatakan telah ditamatkan perkhidmatan oleh tentera darat Amerika Syarikat sebelum dibeli oleh syarikat penyewaan pesawat dan helikopter.

Bagaimanapun, disebabkan kekurangan maklumat maka tidak dapat dipastikan sama ada keempat-empat buah helikopter Black Hawk yang bakal diperolehi oleh PUTD sebagaimana diumumkan oleh Panglima Tentera Darat hari ini adalah disewa atau helikopter baru.

Walauapapun, perolehan empat buah helikopter itu sama ada secara sewaan atau baru membuktikan program penggantikan helikopter Nuri itu masih lagi berjalan dan sedang dilaksanakan oleh Tentera Darat.

Helikopter UH-60 Black Hawk itu bukanlah asing kepada rantau Asia Tenggara mahupun Malaysia kerana kita juga menggunakannya untuk pengangkutan orang-orang kenamaan.

Black Hawk
Helikopter Black Hawk juga boleh dilengkapkan dengan sistem persenjataan.

 

Sementara itu di Thailand dan Filipina, helikopter Black Hawk memainkan peranan penting dalam operasi tentera darat negara itu.

Pada 2021, Filipina mengumumkna bahawa ia akan membelanjakan kira-kira US$620 juta (RM2.5 bilion) untuk membeli 32 buah helikopter S-70i Black Hawk yang dibangunkan oleh syarikat Amerika Syarikat, Lockheed Martin.

Helikopter itu akan dibina  PZL Mielec, yang merupakan anak syarikat Lockheed Martin di Poland.

Perolehan terbaru 32 buah helikopter Black Hawk yang diumumkan oleh Setiausaha Pertahanan Filipina Delfin Lorezana pada ketika itu menyaksikan ia menambah lagi 16 buah helikopter sama yang dibeli oleh negara itu sebelum ini.

Perolehan helikopter Black Hawk itu adalah untuk menggantikan helikopter Bell UH-1H yang kebanyakkannya didermakan oleh Tentera Amerika kepada Filipina.

Keseluruhannya, Filipina bakal memiliki 48 buah helikopter Black Hawk. — DSA
apps
DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

Comments
Loading...