Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Lebih 1,000 Anggota Keselamatan Afghanistan Melarikan Diri Ke Uzbekistan

Pemerhati menjangkakan tanpa bantuan tentera Amerika Syarikat dan antarabangsa,  kerajaan Afghanistan akan tumbang tidak lama lagi.

0 1,361

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Lebih daripada 1,000 anggota pasukan keselamatan Afghanistan melarikan diri daripada medan peperangan dan menyeberang masuk ke Tajikistan ketika kumpulan Taliban berjaya merampas semula puluhan daerah berikutan pengunduran tentera Amerika Syarikat daripada negara itu.

Pemerhati menjangkakan tanpa bantuan tentera Amerika Syarikat dan antarabangsa,  kerajaan Afghanistan akan tumbang tidak lama lagi.

Anggota-anggota pasukan keselamatan Afghanistan itu menyeberang masuk ke negara jiran, Tajikistan pada Ahad lepas, menurut pegawai-pegawai negara Asia Tengah yang bersempadan dengan Afghanistan.

Ia berlaku hanya dua hari selepas tentera Amerika Syarikat menutup operasi pangkalan udara Bagram, yang merupakan pangkalan utama dan paling besarnya di Afghanistan, menandakan tamatnya 20 tahun pembabitan tentera negara itu di situ.

Tajikistan turut mengerahkan 20,000 anggota tenteranya ke sempadan negara itu dengan Afghanistan sebagai respons terhadap tindakan anggota pasukan keselamatan Afghanistan menyeberang masuk ke negaranya.

Afganistan
Sebahagian daripada senjata yang ditinggalkan oleh anggota keselamatan Afghanistan.

 

Bercakap kepada agensi media, Reuters, seorang pegawai kanan tentera Afganistan mengesahkan bahawa ratusan anggota pasukan keselamatan negara itu bertindak melarikan diri daripada medan peperangan akibat serangan bertali-arus Taliban.

“Taliban menghalang jalan-jalan keluar (daripada sesetengah daerah) dan mereka (anggota pasukan keselamatan Afghanistan) tidak mempunyai jalan lain selain menyeberang sempadan,” kata pegawai kanan itu yang enggan mendedahkan identitinya.

Sementara itu Presiden Tajikistan Emomali Rakmanov telah berhubung dengan negara-negara Asia Tengah yang lain seperti Uzbekistan dan Kazakhstan untuk membincangkan keadaan keselamatan yang semakin meruncing di Afghanistan.

Beliau juga menghubungi Presiden Russia Vladimir Putin berkenaan isu itu.

Russia memiliki penempatan tentera yang besar di Uzbekistan di mana ia meletakkan kereta kebal, pesawat pejuang dan helikopter.

Putin menurut Emomali berjanji akan membantu menstabilkan keadaan keselamatan sempadan negara-negara Asia Tengah itu dengan Afghanistan, sama ada secara terus atau blok keselamatan serantau.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...