Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Singapura Akan Lakukan Penambakan Terhadap Pulau Batu Puteh, Tambah Keluasannya

Akhbar republik itu, The Straits Times yang memetik kerajaan negara itu berkata, penambakan terhadap Pulau Batu Puteh itu merupakan sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan kemudahan termasuk untuk kapal berlabuh, kemudahan komunikasi, sokongan pentadbiran dan lain-lain.

0 2,283

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Singapura akan mula melakukan kerja-kerja penambakan terhadap Pulau Batu Puteh (dipanggil Pedra Branca oleh republik itu) mulai akhir tahun ini yang akan menyaksikan keluasan pulau berbatu strategik itu bertambah sekurang-kurangnya 7 hektar lagi.

Akhbar republik itu, The Straits Times yang memetik kerajaan negara itu berkata, penambakan terhadap Pulau Batu Puteh itu merupakan sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan kemudahan termasuk untuk kapal berlabuh, kemudahan komunikasi, sokongan pentadbiran dan lain-lain.

Usaha pembangunan Pulau Batu Puteh itu adalah untuk meningkatkan keselamatan maritime dan kemampuan mencari dan menyelamat di kawasan terbabit.

“Kerja-kerja penambakan akan dilakukan di dalam kawasan 0.5 batu nautika Pulau Batu Puteh dan di dalam kawasan perairan Singapura di pulau terbabit. Satu batu nautika adalah kira-kira 1.85km.”

“Semua kerja-kerja yang dilakukan adalah selari dengan undang-undang Singapura serta undang-undang antarabangsa,” kata jurucakap Kementerian Pembangunan Nasional (MND) republik itu sebagaimana dipetik oleh akhbar berkenaan.

Batu Puteh
Jarak di antara Pulau Batu Puteh milik Singapura dan Middle Rocks milik Malaysia.

 

Kerja-kerja penambakan itu akan dilakukan oleh Housing and Development Board (HDB), sebuah agensi di bawah MND.

Jurucakap itu berkata kerja-kerja di Pulau Batu Puteh itu akan mengambil masa beberapa tahun untuk siap.

“Secara amnya, kerja-kerja pembangunan itu akan membolehkan kita (Singapura) memiliki pemantauan yang lebih baik terhadap perairan di sekitar Pulau Batu Puteh dan memberikan kita kemampuan untuk bertindak lebih cepat terhadap isu-isu keselamatan maritim serta ancaman keselamatan,” katanya.

Beliau juga dipetik sebagai berkata oleh akhbar itu itu bahawa Singapura mahu menjalankan kerja-kerja pembangunan di Pulau Batu Puteh sejak 1970-an tetapi menangguhkannya berikutan pertikaian hak pemilikan pulau itu, Middle Rocks dan South Ledge di antara Malaysia dan Singapura.

Batu Puteh
Middle Rocks.

 

Namun pada 2008, Mahkamah Antarabangsa di The Hague memutuskan Pulau Batu Puteh itu dimiliki oleh Singapura manakala Middle Rocks pula milik Malaysia.

Apabila Malaysia memutuskan untuk tidak meneruskan semakan semula terhadap keputusan ICJ itu pada 2018,  Singapura kini meneruskan kerja-kerja pembangunan di Pulau Batu Puteh itu.

Menurut akhbar itu lagi, pada ketika ini pulau yang terletak kira-kira 44km daripada Singapura menempatkan Rumah Api Horsburgh, helipad, kemudahan desalinasi, kemudahan vessel traffic information system, menara komunikasi dan lain-lain.

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...