Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Anwar Didakwa Keluarkan Kenyataan “Cuai” Tentang Laut China Selatan

“Kenyataan ini adalah cuai dan tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang Perdana Menteri. Implikasi kenyataan ini secara tidak langsung telah memperakui tuntutan negara China terhadap kawasan yang sudah sah merupakan wilayah Malaysia yang mesti dipertahankan,” kata bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

0 2,521

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa telah mengeluarkan kenyataan yang “cuai” tentang aktiviti cari gali minyak dan gas oleh syarikat minyak kebangsaan,Petronas di dalam kawasan perairan milik negara di Laut China Selatan, menurut Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bekas Perdana Menteri dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan hari ini berkata, sebagai seorang Perdana Menteri, Anwar tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sedemikian.

“Dalam sidang Dewan Rakyat bertarikh 4 April 2023, Perdana Menteri telah memaklumkan bahawa terdapat tuntutan bertindih di Laut China Selatan “terutama kebimbangan negara China kerana PETRONAS telah menjalankan satu kegiatan besar-besaran di satu kawasan yang juga dituntut oleh negara China.”

Kasawari
Lapangan Gas Kasawari di Blok SK316 yang diusahakan oleh PETRONAS.

 

“Beliau (Anwar) menambah, “kalau negara China merasakan ini hak mereka, kita boleh buka untuk rundingan.” 

“Kenyataan ini adalah cuai dan tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang Perdana Menteri. Implikasi kenyataan ini secara tidak langsung telah memperakui tuntutan negara China terhadap kawasan yang sudah sah merupakan wilayah Malaysia yang mesti dipertahankan,” kata Muhyiddin dalam kenyataan itu.

Muhyiddin yang memegang jawatan Perdana Menteri bermula 21 Julai 2021 hingga 21 Dis 2022 berkata,  pada hakikatnya kawasan cari gali PETRONAS yang dirujuk oleh Perdana Menteri itu adalah dalam wilayah Malaysia dan tidak boleh dirundingkan walaupun dituntut oleh negara China.

Malaysia menurutnya, mesti tegas mempertahankan kedaulatan wilayah dan keselamatan negara bagi melindungi hak dan tuntutan wilayah negara.

“Kenyataan Perdana Menteri tentang keterbukaan Malaysia untuk berunding ke atas hak wilayahnya telah mengundang risiko ancaman kedaulatan negara.”

“Kenyataan Perdana Menteri yang dibuat di Parlimen ini adalah amat lemah, amat tidak bertanggungjawab dan kelihatan seperti menggadai maruah dan kedaulatan negara kepada kuasa asing,” kata Muhyiddin.

Kasawari
(kredit AMTI)

 

Bekas Perdana Menteri itu juga berkata, dalam soal kehadiran kapal tentera laut China di kawasan perairan yang turut dituntut oleh tujuh negara termasuk Malaysia tetapi didakwa oleh China sebagai perairan antarabangsa, Anwar sepatutnya tegas mempertahankan kedaulatan wilayah negara seperti yang termaktub dalam peta Malaysia 1979.

Sehingga kini katanya, kawasan pertikaian di Laut China Selatan masih belum diputuskan.

“ASEAN juga tidak mencapai konsensus mengenai pertindihan tuntutan di Laut China Selatan. Perlu diingat bahawa ASEAN menolak pengiktirafan Nine Dash Line yang dituntut oleh negara China, termasuk dalam wilayah perairan Malaysia,” kata beliau.

Kapal China
Gambar Kapal Pengawal Pantai China di platform minyak dan gas dipercayai di luar pantai Sarawak. (ehsan pembaca Defence Security Asia)

 

Berkenaan pertindihan tuntutan, sebarang perbincangan mesti dibuat selaras dengan Konsensus ASEAN dan South China Sea Code of Conduct, kata Muhyiddin.

“Sementara Malaysia mengiktiraf negara China sebagai kuasa ekonomi global, kedaulatan negara kita tidak boleh dikompromi sama sesekali.”

“Mengambil kira kedudukan ASEAN sebagai gabungan sepuluh buah negara, Malaysia mestilah menangani isu maritim antarabangsa secara lebih berwaspada berpandukan prinsip kedaulatan negara dan Gagasan ASEAN,” kata Muhyiddin. — DSA

apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

Comments
Loading...