Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Indonesia Bakal Perolehi Dua Buah Pesawat Amaran Awal (AEW&C)

Menurut portal pertahanan antarabangsa, Janes, Kementerian Kewangan Indonesia telah memberikan kelulusannya kepada perancangan pihak tentera negara itu untuk memperolehi dua buah pesawat AEW&C yang baru menggunakan kaedah pinjaman daripada negara luar.

0 4,339

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Indonesia bakal mengikut jejak langkah negara-negara jiran Asia Tenggaranya seperti Singapura dan Indonesia dalam memperolehi pesawat-pesawat Airborne, Early, Warning and Control (AEW&C).

Pesawat AEW&C merupakan sistem radar yang direkabentuk untuk mengesan pesawat, kapal, kenderaan dan peluru berpandu serta apa-apa projektil daripada jarak jauh.

Ia juga memainkan peranan sebagai pusat kawalan dan pemerintahan dengan memberi arahan kepada pesawat untuk melaksanakan misi-misi serangan.

Menurut portal pertahanan antarabangsa, Janes, Kementerian Kewangan Indonesia telah memberikan kelulusannya kepada perancangan pihak tentera negara itu untuk memperolehi dua buah pesawat AEW&C yang baru menggunakan kaedah pinjaman daripada negara luar.

Kelulusan itu bermakna bahawa Kementerian Pertahanan Indonesia boleh memulakan proses penilaian secara formal jenis-jenis pesawat AEW&C yang bersesuaian serta pihak-pihak peminjam luar yang akan membiayai pinjaman itu.

AEWC
Pesawat E-2 Hawkeye

 

Pada ketika ini, pihak Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Udara (TNI-AU) tidak memiliki sebarang pesawat AEW&C.

Pada ketika ini, Tentera Udara Singapura tmengoperasikan empat pesawat Gulfstream G550 AEW buatan Amerika Syarikat dan Israel manakala Tentera Udara Diraja Thailand memiliki dua buah pesawat Saab 340 AEW&C buatan Sweden.

Menurut portal pertahanan antarabangsa itu, siling bagi perolehan pesawat AEW&C itu adalah sebanyak US$800 juta (RM3.2 bilion) bagi membolehkan TNI-AU memperolehi sekurang-kurangnya dua buah pesawat terbabit bersama-sama komponennya, alat gantinya dan latihan untuk anggota yang mengendalikannya.

Perolehan pesawat AEW&C itu merupakan salah satu daripada 16 pembelian sistem persenjataan yang menggunakan kaedah pinjaman luar negara oleh Indonesia.

Bulan lepas, Kementerian Pertahanan Indonesia dikatakan telah membuat keputusan untuk memperolehi dua jenis Unmanned Combat Aerial Vehicle (UCAV) daripada Turkiye iaitu Bayraktar TB2 dan Anka untuk ketiga-tiga cabang Tentera Nasional Indonesia (TNI) menerusi kaedah pinjaman luar.

IAD
Pesawat Gulfstream G550 milik Tentera Udara Singapura

 

Bayraktar TB2 dibangunkan oleh syarikat Baykar manakala Anka pula oleh Turkish Aerospace Industries (TAI).

Untuk TNI-AU, Kementerian Pertahanan negara itu telah membenarkan pinjaman sehingga US$200 juta (RM80 juta) untuk memperolehi UCAV dan siling pinjaman sehingga US$38 juta (RM152 juta) bagi perolehan sistem persenjataannya.

TNI-AU dijangka akan memperolehi peluru berpandu MAM-L  yang dibangunkan oleh ROKETSAN bagi digandingkan dengan UCAV yang bakal diperolehinya daripada Turkiye itu.

Bagi Tentera Laut Indonesia (TNI-AL) pula,  mereka dibenarkan membuat pinjaman sehingga US$100 juta (RM400 juta) untuk melakukan perolehan UCAV itu manakala pinjaman bagi perolehan sistem persenjataannya, ia dibenarkan meminjam sehingga US$11 juta (RM44 juta) untuk membeli peluru-peluru berpandu MAM-L.

Tentera Darat Indonesia juga akan menggunakan peluru berpandu MAM-L bagi UCAV Turkiye yang bakal diperolehinya.

Usaha pemindahan teknologi di antara kedua-dua syarikat Turkiye, Baykar dan TAI akan dilaksanakan dengan PT Dirgantara Indonesia (PTDI) sebaik sahaja kontrak perolehan UCAV itu dimeterai. — DSA

apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...