Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Perolehan Pesawat LCA/FLIT “Meniti Detik Akhir” Sebelum Dimuktamad

Defence Security Asia telah dimaklumkan bahawa proses perolehan pesawat LCA itu sememangnya berjalan dengan lancar, malah sedang “meniti detik-detik akhir” sebelum keputusan yang dinanti-nantikan itu dimuktamadkan.

0 3,151

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada 10 Januari lepas, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan menyatakan bahawa perolehan 18 buah pesawat tempur ringan (Light Combat Aircraft – LCA) akan diteruskan dan dilaksanakan“secepat mungkin” sekiranya dibenarkan.

Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan “Tok Mat” mahukan jemaah menteri kerajaan perpaduan yang memerintah negara ketika ini mengabsahkan keputusan perolehan 18 buah pesawat LCA yang dibuat oleh jemaah Menteri kerajaan sebelum ini.

“Perolehan pesawat tempur ringan (LCA) masih kekal dan kalau boleh secepat mungkin, tapi ia perlu melalui proses-proses tertentu,” katanya sebagaimana dipetik oleh media tempatan selepas melawat Pangkalan Udara Subang baru-baru ini.

Defence Security Asia pula telah dimaklumkan bahawa proses perolehan pesawat LCA itu sememangnya berjalan dengan lancar, malah sedang “meniti detik-detik akhir” sebelum keputusan yang dinanti-nantikan itu dimuktamadkan.

Tidak lama lagi rakyat Malaysia akan mengetahui pesawat (LCA/Fighter Lead-In Trainer FLIT) manakah yang menjadi pilihan untuk melengkapkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Hurjet
Pesawat “Hurjet” oleh Turkish Aerospace Industries (TAI)

 

Apa yang admin dapat pastikan adalah TUDM sememangnya akan mendapat 18 buah pesawat LCA/FLIT.

Sama-samalah kita nantikan pesawat mana yang akan muncul sebagai pemenang.

Sedikit-sebanyak latarbelakang usaha-usaha Kementerian Pertahanan untuk memperolehi pesawat-pesawat LCA/FLIT untuk TUDM.

Tender bagi perolehan 18 buah pesawat FLIT/LCA itu telah diiklankan pada 22 Jun 2021 dan ditutup pada 6 Oktober 2021.

Lembaga Perolehan Kementerian Pertahanan pada 17 Mac 2022 juga telah memutuskan petender yang disenarai pendek.

Perolehan 18 buah LCA itu adalah untuk menggantikan pesawat MiG-29N, Hawk 100 dan Hawk 200 serta Aermacchi MB-339 yang digunakan oleh TUDM.

Sebelum ini, Defence Security Asia melaporkan bahawa pasukan teknikal daripada TUDM telah pun selesai menjalankan penilaian fizikal terhadap pesawat pejuang ringan FA-50 yang dibangunkan oleh syarikat Korea Aerospace Industries (KAI).

Tejas
Pesawat “Tejas” dibangunkan oleh Hindustan Aeronautics Ltd (HAL)

apps

Penilaian fizikal serta ujian penerbangan pesawat pejuang ringan itu telah berlangsung dengan lancar di Korea Selatan pada Oktober tahun lepas.

Selain pesawat FA-50 yang dibangunkan oleh syarikat Korea Aerospace Industries (KAI), pencabar-pencabar terdekat bagi perolehan pesawat LCA/FLIT untuk TUDM itu termasuk pesawat pejuang ringan “Tejas” yang dibangunkan oleh Hindustan Aeronautics Ltd (HAL) serta pesawat “Hurjet” oleh Turkish Aerospace Industries (TAI).

Turut menyatakan minat untuk menyertai persaingan dalam tender TUDM itu termasuklah MiG-35, M-346FA daripada Leonardo, Gripen daripada Saab Group dan YAK-130 “Mitten”. — DSA

Comments
Loading...