Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Lapan Anggota Polis Thailand Cedera Kenderaan Mereka Terkena Bom Buatan Sendiri Di Pattani

Menurut pegawai polis di Saiburi, mereka menerima laporan tentang insiden letupan itu kira-kira pukul 4.30 petang (waktu tempatan) yang berlaku di Kampung Kuwae, Mukin Kadunung.

0 1,093

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Lapan anggota polis Thailand cedera termasuk empat berada di dalam keadaan parah apabila sebutir bom buatan sendiri seberat diantara 10kg hingga 20kg meletup dan mengenai kenderaan dinaiki mereka di daerah Saiburi, wilayah Pattani di selatan negara itu.

Menurut pegawai polis di Saiburi, mereka menerima laporan tentang insiden letupan itu kira-kira pukul 4.30 petang (waktu tempatan) yang berlaku di Kampung Kuwae, Mukin Kadunung.

Ketua Polis Pattani Mejar Jeneral (Polis) Pichawut Sanguansombat berkata, kelapan-lapan anggota polis terbabit berada di dalam kenderaan pikap dan dalam perjalanan pulang daripada kawasan pertempuran yang terletak kira-kira 3km dari lokasi kejadian.

“Letupan bom buatan sendiri itu menyebabkan kenderaan pikap dinaiki anggota polis mengalami kerosakan yang teruk.”

“Kesemua lapan anggota terbabit terkena serpihan bom, dengan empat daripada mereka mengalami kecederaan parah,” kata beliau lagi.

Thailand
Gambar Hiasan

 

Menurut Pichawut lagi, pihaknya percaya insiden letupan itu adalah untuk membalas dendam terhadap pasukan keselamatan Thailand selepas beberapa anggota kumpulan bersenjata di selatan Thailand terbunuh dalam beberapa siri pertempuran sebelum ini.

Pihak berkuasa selatan Thai telah menerbangkan empat anggota polis yang cedera parah itu ke Hospital Prince Of Songkla, University Hatyai di Songkla menggunakan helikopter, manakala yang lain dihantar ke Hospital Somdej Prayuparach di Saiburi sebelum dipindahkan ke Hospital Pattani.

Menurut sumber-sumber pasukan keselamatan Thailand, bom buatan sendiri itu menggunakan tong gas yang kemudiannya diletak di jalanraya dilalui kenderaan anggota polis berkenaan.

Bom buatan sendiri itu dipercayai diaktifkan menggunakan peralatan walkie-talkie.

Sumber polis juga berkata, anggota polis yang cedera melepaskan tembakan ke arah hutan yang disyaki tempat persembunyian mereka yang bertanggungjawab atas insiden letupan itu.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...