Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Dron “Lancet” Russia Bedil Pesawat Pejuang Su-25 Ukraine, 60km Dari Barisan Hadapan

Serangan terhadap pesawat pejuang Su-25 milik tentera Ukraine itu merupakan insiden kedua dimana dron “Lancet” Russia itu juga telah berjaya membedil sebuah pesawat pejuang MiG-29 milik tentera udara negara itu yang diletakkan di pangkalan udara yang sama.

0 6,603

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dron berani mati Russia, “Lancet” dilaporkan telah berjaya membedil sebuah pesawat pejuang Su-25 milik tentera Ukraine yang berada kira-kira 60 km daripada barisan hadapan tentera Ukraine.

Serangan dron “Lancet” terhadap pesawat pejuang Su-25 milik Tentera Udara Ukraine itu berlaku di Pangkalan Udara Dolgintsevo di wilayah Dnipropetrovsk, yang jelas menunjukkan bahawa Russia telah berjaya meningkatkan jarak dron berani mati itu.

Dengan peningkatan jarak dron berani mati “Lancet” itu, ia akan membolehkan Russia menyerang lebih banyak sasaran tentera Ukraine.

Sebelum ini, syarikat pembuat dron berani mati Russia itu, ZALA Aero menyatakan bahawa senjata itu berkemampuan untuk terbang dan menyerang sasarannya pada jarak di antara 60km hingga 110km.

Serangan terhadap pesawat pejuang Su-25 milik tentera Ukraine itu merupakan insiden kedua dimana dron “Lancet” Russia itu juga telah berjaya membedil sebuah pesawat pejuang MiG-29 milik tentera udara negara itu yang diletakkan di pangkalan udara yang sama.

Lancet
Pesawat Su-25 Ukraine dibedil oleh dron “Lancet” Russia.

 

Dron berani mati “Lancet” keluaran syarikat Russia, ZALA Aero Group, sebahagian daripada kumpulan Kalashnikov Concern telah muncul sebagai antara sistem persenjataan Russia yang amat digeruni oleh anggota tentera Ukraine sejak konflik antara kedua-dua negara itu tercetus pada Februari tahun lepas.

Bernilai hanya US$35,000 (RM157,000) sebuah, Russia menggunakan dron berani mati “Lancet” itu untuk memusnahkan senjata-senjata milik Ukraine yang harganya jauh lebih mahal seperti sistem artilleri dan sistem pertahanan udara yang dibekalkan oleh negara-negara Barat.

Kini video-video telah tersebar di media sosial menunjukkan dron berani mati Russia itu digunakan untuk memusnahkan kereta kebal utama Leopard keluaran Jerman yang digunakan oleh tentera Ukraine.

Anggota tentera Ukraine yang berkhidmat dengan unit artilleri yang ditemuramah oleh media negara itu juga mengakui bahawa dron berani mati “Lancet” adalah antara ancaman terbesar dihadapi mereka di medan peperangan.

Mereka juga berkata Russia telah meningkatkan penggunaan dron berani mati itu sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Lancet
Dron Lancet

 

Keberkesanan dron berani mati “Lancet” turut diakui oleh Yuriy Sak, yang merupakan penasihat kepada Menteri Pertahanan Ukraine yang mengatakan bahawa dron berani itu telah menimbulkan pelbagai kesukaran kepada anggota tenteranya.

Menurut Menteri Pertahanan Russia Sergey Shoigu, sebanyak 45 peratus daripada kelengkapan tentera Ukraine terutamanya sistem artilleri yang dibekalkan oleh negara-negara NATO telah dimusnahkan oleh dron berani mati “Lancet” sejak konflik tercetus pada Februari tahun lepas.

Sejak 1 Januari sehingga April tahun ini, tentera Russia menurutnya,  telah memusnahkan sebanyak 59 buah meriam M777, 13 M109 Paladin, 14 buah sistem HIMARS dan pelbagai sistem artilleri lain yang dibekalkan oleh Poland, Jerman, Perancis dan Republik Czech.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan sama ada kesemua sistem artilleri itu dimusnahkan oleh dron berani mati “Lancet”.

Lancet
Dron Lancet sebelum membedil pesawat MiG-29 Ukraine di pangkalan udara yang sama.

 

Tetapi sumber-sumber tentera Russia sebagaimana dipetik oleh media negara itu mengatakan bahawa dron berani mati bertanggungjawab terhadap kemusnahan 80 peratus sistem artilleri bergerak M109 Paladin dan 25 peratus daripada meriam M777 yang dibekalkan oleh Amerika Syarikat.

Berikutan kejayaannya di medan peperangan, ZALA Aero Group kini sedang meningkatkan lagi pengeluaran dron berani mati “Lancet” itu bagi menampung keperluan tentera Russia yang berada di medan peperangan. — DSA

DEFENCE  SECURITY ASIA APPS

 

To advertise contact admin: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...