Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pesawat Pengebom Strategik B-1B Lancer Amerika Syarikat Berada di Selatan Tanahair

Ketika berada selama satu minggu di pulau di selatan tanah air itu, pesawat pengebom strategik B-1B Lancer Tentera Udara Amerika Syarikat itu akan mengadakan latihan pengisian minyak di udara (air-to-air-refuelling) dengan pesawat A330 Multi Role Tanker Transport (MRTT) milik Tentera Udara Singapura.

0 8,710

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dua buah pesawat pengebom strategik Tentera Udara Amerika Syarikat, B-1B “Lancer” kini berada di Singapura untuk “persinggahan” dan mengadakan latihan dengan pesawat pengisian minyak di udara dengan Tentera Udara Singapura.

Kedua-dua buah pesawat pengebom strategik B-1B yang juga dipanggil “Bone” tiba di Pangkalan Udara Paya Lebar, Singapura dua hari lepas dan akan berada di pulau selatan tanahair itu sehingga satu minggu.

Tentera Udara Amerika Syarikat menyatakan bahawa kedua-dua buah pesawat pengebom strategik B-1B itu beroperasi dengan 345th Expeditionary Bomb Squadron yang berpangkalan di Pangkalan Udara Dyess di Texas.

Ketika berada selama satu minggu di pulau di selatan tanah air itu, pesawat pengebom strategik Amerika Syarikat itu akan mengadakan latihan pengisian minyak di udara (air-to-air-refuelling) dengan pesawat A330 Multi Role Tanker Transport (MRTT) milik Tentera Udara Singapura.

Latihan pengisian minyak di antara pesawat-pesawat pengebom strategik B-1B Amerika Syarikat dan pengisi minyak A330 MRTT Singapura itu dijangka dilakukan di Laut China Selatan.

Lancer
Pesawat pengebom B-1B Lancer boleh membawa sehingga 24 buah peluru berpandu kruis.

 

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan Singapura, tentera udara republik itu telah menerima pelbagai “persinggahan” pesaawat daripada pelbagai negara dalam tahun-tahun kebelakangan ini.

“Persinggahan” pesawat-pesawat tentera asing ini telah memberikan peluang kepada Tentera Udara Singapura latihan berguna dan pertukaran professional dengan pelbagai pesawat tentera dan krew-krewnya.  

Pada ketika ini, Tentera Udara Singapura memiliki enam buah pesawat A330 MRTT yang dioperasikan oleh Skuadron 112 tentera udara negara itu. Ia mula mengoperasikan pesawat A330 MRTT itu pada 2018.

Pesawat A330 MRTT itu boleh membawa muatan minyak sebanyak 111 tan, kapasiti paling tinggi berbanding mana-mana pesawat pengisi minyak yang berada di pasaran pada ketika ini.

Jika tidak melaksanakan misi mengisi minyak di udara, pesawat A330 MRTT juga boleh membawa 300 orang penumpang.

Sementara itu, pesawat pengebom strategic B-1B Amerika Syarikat itu berkemampuan membawa sehingga 24 buah peluru berpandu kruis atau 34 tan pelbagai jenis bom dan persenjataan lain dalam satu-satu misi pengeboman dilaksanakannya.

Singapura
Pesawat A330 MRTT milik Tentera Udara Singapura.

 

Berkelajuan Mach 1.2, pesawat pengebom itu boleh terbang ke mana-mana saya di pelusuk dunia ini tetapi perlu menerima bantuan daripada pesawat-pesawat pengisi minyak di udara seperti A330 MRTT yang dimiliki oleh Singapura itu.

Pesawat pengebom ini dilengkapi dengan empat enjin turbofan General Electric F101-GE-102 turbofan dengan afterburner yang memberika lebih daripada 30,000 pound kuasa tujahan (thrust) bagi setiap enjin.

Setiap pesawat pengebom strategik B-1B itu dikendalikan oleh empat krew terdiri daripada dua juruterbang dan dua Wizzo (Weapons System Officer).

Pada ketika ini, Tentera Udara Amerika Syarikat memiliki 45 buah pesawat pengebom strategik B-1B yang masih aktif berkhidmat termasuk sebuah pesawat pengebom itu yang terpaksa melakukan pendaratan cemas di Pangkalan Udara Ellsworth di South Dakota, Amerika Syarikat. — DSA

Comments
Loading...