Lagi Gambar Helikopter Penyerang Ringan MD-530G Milik PUTD
Jurugambar majalah terbabit, Billy Hardiman telah menyertakan beberapa keping gambar helikopter penyerang ringan PUTD itu yang boleh dilihat dalam akaun Facebook majalah itu.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Baru-baru ini, majalah “Vertical Magazine”, sebuah majalah antarabangsa tentang helikopter and teknologinya telah melawat pusat latihan milik syarikat MD Helicopters yang terletak di El Paso, Texas.
Jurugambar majalah terbabit, Billy Hardiman telah menyertakan beberapa keping gambar helikopter penyerang ringan PUTD (Pasukan Udara Tentera Darat) itu yang boleh dilihat dalam akaun Facebook majalah itu.
Helikopter milik PUTD itu dicat dengan camo digital ATM. Bagaimanapun setakat ini tiada maklumat bilakah helikopter penyerang ringan PUTD ini akan dihantar pulang ke Malaysia.
Sebagaimana yang kita ketahui, MD Helicopters merupakan syarikat yang bertanggungjawab membina enam buah helikopter MD-530G untuk Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD), Tentera Darat Malaysia.
Pada Februari lepas,Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain yang berkata Tentera Darat Malaysia bakal menerima enam buah helikopter jenis MD-530G bernilai RM321.9 juta pada Ogos tahun ini.
“Helikopter MD-530G ini telah melalui proses ujian kelayakan udara, dan pihak saya telah pergi ke sana (Arizona) melihat ujian itu telah diluluskan.
Selepas kesemua ujian terhadap helikopter berjalan dengan selamat, enam buah itu akan tiba di Malaysia pada bulan Ogos tahun ini. Kini fasa seterusnya, pihak saya akan ke Arizona sekali lagi untuk membuat pemeriksaan prapenghantaran (PDI) dan seterusnya kami akan melakukan latihan,” katanya kepada pemberita Februari lepas.
Helicopter MD530G light scout attack ini boleh dilengkapi dengan TALON laser guided rocket untuk menangani ancaman kenderaan armor.
Selain itu ia juga boleh dilengkapi dengan mesingan 12.7mm dan Dillon Aero 7.62mm mini Gatling gun serta pelbagai lagi sensor dan alatan avionic moden.
Helicopter ini boleh terbang selaju diantara 240km hingga 280 km sejam sejauh 430km dan selama dua jam setengah penerbangan.