Admiral Kuznetsov, Kapal Pengangkut Pesawat Tunggal Russia Terkena “Sumpahan”
Disebabkan siri masalah dan kemalangan yang dialami oleh kapal pengangkut pesawat tunggal Russia "Admiral Kuznetsov", sama ada ketika belayar atau di limbungan untuk baikpulih, maka kapal itu telah diberikan gelaran “kapal perang yang disumpah.”
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pesawat pengangkut pesawat tunggal Russia “Admiral Kuznetsov” dijangka akan memasuki perkhidmatan tentera laut negara itu tahun depan, selepas enam tahun berada di Limbungan Kapal Sevmorput di Murmansk untuk kerja-kerja baik-pulih dan naiktaraf.
Mula dibina pada 1982 dan hanya siap pada 1991, kapal “Admiral Kuznetsov” yang memiliki berat 58,000 tan mula memasuki limbungan kering untuk kerja-kerja baik-pulih dan naiktaraf pada 2017.
Menurut agensi berita Russia “TASS”, kapal pengangkut pesawat itu dijangka memulakan ujian di laut pada musim bunga 2024 dan sekiranya ujian tersebut berjalan dengan lancar, maka ia akan memasuki perkhidmatan Tentera Laut Russia pada akhir tahun depan.
Sekiranya ujian di laut itu tidak berjalan dengan lancar, maka kapal akan hanya memasuki perkhidmatan pada 2025.
Kerja-kerja baikpulih dan pemodenan terhadap “Admiral Kuznetsov” yang bermula enam tahun lalu itu bertujuan untuk memanjangkan lagi hayat kapal pengangkut pesawat itu untuk tempoh di antara 15 hingga 20 tahun lagi.
Kenyataan bahawa kapal pengangkut pesawat tunggal Russia itu bakal mengakhiri kerja-kerja baikpulih itu pada tahun depan selepas enam tahun “terperap” di limbungan kapal telah disambut dengan baik oleh pemerhati pertahanan di negara itu.
Sebenarnya ramai di kalangan pemerhati pertahanan mahukan kerajaan Russia melupuskan atau menamatkan sahaja perkhidmatan “Admiral Kuznetsov”, berikutan pelbagai masalah dan kemalangan yang dialami oleh kapal itu.
Disebabkan siri masalah dan kemalangan yang dialami oleh kapal itu,sama ada ketika berada di lautan atau di limbungan, maka kapal pengangkut pesawat tunggal Russia itu telah diberikan gelaran “kapal perang yang disumpah.”
Sejarah kapal perang itu memang penuh dengan episod malang sejak ia siap dibina pada 1991.
Walaupun siap dibina pada 1991, kapal pengangkut pesawat tetapi diklasifikasikan sebagai kapal kruiser itu lebih banyak menghabiskan masa di pangkalannya daripada belayar di lautan kerana Russia kekurangan modal untuk mengoperasikannnya.
Pemerhati pertahanan di Russia mengatakan jika Admiral Kuznetsov berjaya belayar meninggalkan pangkalannya juga sudah boleh dianggap sebagai suatu kejayaan.
Kapal pengangkut pesawat tunggal Russia itu telah mengalami beberapa insiden malang seperti kebakaran yang berlaku ketika ia belayar di Turki pada 2009 yang menyebabkan seorang anak kapal terbunuh.
Sebulan selepas kejadian di Turki itu, Admiral Kuznetsov ditimpa insiden malang yang lain sehingga menyebabkan kira-kira 300 tan minyak miliknya tumpah di perairan Ireland ketika kapal perang itu sedang mengisi minyak.
Pada 2012, kapal perang itu mengalami kerosakan di Bay of Biscay di Perancis dan terpaksa ditunda ke pangkalannya di Russia oleh kapal tunda Russia “Chiker”, yang sentiasa berada disisinya ketika pelayaran ke mana-mana.
Dalam satu lagi insiden malang yang berlaku di perairan Syria, dua buah pesawat pejuang Admiral Kuznetsov, MiG-29K dan Su-33 telah terhempas ketika ia cuba mendarat di atas kapal perang terbabit.
Kemalangan itu telah menyebabkan Admiral Kuznetsov membatalkan pelayarannya di perairan Mediterranean dan berpatah-balik ke pangkalan laut Russia di Tartus,Syria.
Pada 2018, sebuah kren seberat 70 tan yang digunakan untuk kerja-kerja baikpulih kapal itu telah tumbang ke atas kapal perang itu menyebabkan seorang pekerja maut dan empat yang lain cedera.
Kemalangan membabitkan kren itu menyebakan lubang sebesar 16 kaki di kapal terbabit.
Pada 2019, bilik enjin kapal itu telah terbakar akibat kerja-kerja welding oleh pekerja menyebabkan dua orang terbunuh, manakala 14 yang lain mengalami kecederaan akibat sesak nafas.
Tahun lepas, kapal perang itu dilanda satu lagi insiden kebakaran lagi.
Kini, walau pun “Admiral Kuznetsov” dijangkakan akan mula menjalani ujian di laut pada tahun depan sebelum diserahkan pada Tentera Laut Russia, namun ramai pihak yakin bahawa banyak lagi insiden-insiden malang sedang menanti kapal perang “disumpah” itu. — DSA
DEFENCE SECURITY ASIA APPS
To advertise contact admin: [email protected]
Comments are closed.