Krisis Kuasa Udara Perancis: Rafale Hanya Mampu Bertahan Tiga Hari Menentang Russia
Kajian yang dirangka oleh pakar ketenteraan, termasuk bekas pegawai kanan Tentera Udara Perancis, memberikan gambaran suram tentang "kuasa besar Eropah" yang kini bergelut untuk menyaingi landskap peperangan udara moden yang berkembang pesat.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dalam satu penilaian yang mengejutkan, laporan terkini daripada Institut Hubungan Antarabangsa Perancis (IFRI) telah mendedahkan realiti yang membimbangkan mengenai keupayaan kuasa tempur udara Perancis.
Kajian yang dirangka oleh pakar ketenteraan, termasuk bekas pegawai kanan Tentera Udara Perancis, memberikan gambaran suram tentang “kuasa besar Eropah” yang kini bergelut untuk menyaingi landskap peperangan udara moden yang berkembang pesat.
Di tengah-tengah krisis ini adalah armada pesawat pejuang Perancis, yang masih bergantung kepada teknologi generasi keempat, sedangkan pesaing utamanya semakin maju dengan pembangunan pesawat pejuang generasi kelima.
Pesawat Dassault Rafale, yang selama ini dianggap sebagai tulang belakang kekuatan udara Perancis dan kebanggaan kejuruteraan negara itu, kini semakin ketara kekurangan keupayaan dalam era peperangan yang dikuasai oleh teknologi halimunan ) stealth dan peperangan elektronik.
Walaupun Rafale sering dipuji sebagai salah satu pesawat pejuang pelbagai peranan terbaik dalam kelasnya, ia tidak pernah direka dengan ciri-ciri halimunan, satu kekurangan kritikal dalam persekitaran pertempuran udara moden yang semakin kompleks.
Kelemahan ini berpunca daripada keputusan strategik Perancis pada awal tahun 2000-an, apabila negara itu memilih untuk menaik taraf pesawat tempur sedia ada berbanding membangunkan pesawat halimunan sepenuhnya.

Ketika itu, Amerika Syarikat telah pun melangkah jauh ke hadapan dengan memperkenalkan F-22 Raptor dan kemudian F-35 Lightning II, sekali gus mengubah sepenuhnya landskap dominasi udara global.
Walaupun Rafale telah menerima pelbagai peningkatan yang meletakkannya dalam kategori pesawat pejuang generasi 4.5, ia masih kekurangan “low-observable technology” yang diperlukan untuk mengelak daripada dikesan oleh radar canggih dan sistem pertahanan udara moden.
Dalam era di mana musuh seperti Russia dan China semakin memperkukuhkan sistem pertahanan anti-akses/penafian kawasan (A2/AD), juruterbang Perancis mungkin mendapati diri mereka terperangkap dalam zon bahaya, terdedah kepada sistem peluru berpandu permukaan ke udara berprestasi tinggi serta pesawat pejuang generasi baharu yang jauh lebih maju.
Keadaan bertambah parah apabila Moscow dan Beijing terus memperluaskan keupayaan ketenteraan mereka secara agresif.
Russia kini memiliki pelbagai sistem senjata termasuk peluru berpandu hypersonik, dron tempur canggih, dan sistem peperangan elektronik, manakala China pula semakin hampir mengejar keupayaan Barat dengan pesawat pesawat pejuang J-20.
Dominasi udara oleh kuasa Barat, yang selama ini menjadi tonggak keselamatan global sejak Perang Dunia Kedua, kini berada dalam keadaan genting.

Dengan pergantungan kepada Rafale, Perancis kini berada dalam kedudukan yang semakin tertinggal dalam perlumbaan teknologi ketenteraan udara.
Walaupun pesawat pejuang itu masih berkesan dalam pelbagai misi pertempuran, ia tidak mempunyai daya tahan dan keupayaan bertahan dalam konflik berintensiti tinggi, menjadikannya satu kelemahan ketara dalam konfrontasi dengan musuh yang setaraf.
Laporan IFRI menekankan satu hakikat yang sukar diterima: jurang teknologi antara Perancis dan pesaingnya semakin melebar, dan setakat ini tiada penyelesaian segera yang mampu menutup jurang tersebut.
Selain kelemahan teknologi, Perancis kini berdepan satu lagi krisis kritikal—kekurangan bekalan peluru berpandu dan persenjataan berpanduan tepat (precision guided munitions).
Sekiranya tercetus perang berskala besar, Tentera Udara Perancis hanya mampu bertahan selama tiga hari sahaja—satu realiti yang mengejutkan bagi sebuah negara kuasa nuklear yang mempunyai cita-cita ketenteraan di peringkat global.
Peluru berpandu utama, termasuk METEOR jarak jauh udara-ke-udara, kini berada pada tahap stok yang membimbangkan.

Situasi ini bertambah buruk berikutan bantuan ketenteraan Perancis kepada Ukraine, yang telah mengurangkan secara drastik stok peluru berpandu SCALP dan sistem pemintas udara Aster 30.
Tatkala sekutu Barat berusaha untuk memperkuatkan pertahanan Ukraine, Perancis kini berdepan dengan kekurangan bekalan senjata yang serius, dan tidak mampu menggantikan senjata yang telah digunakan dengan cukup pantas untuk memenuhi keperluan peperangan moden.
Lebih merumitkan keadaan, keputusan Perancis untuk mengharamkan penggunaan peluru berpandu berangkai (cluster munitions)—selaras dengan perjanjian pelucutan senjata antarabangsa—menyebabkan tentera udara Perancis kehilangan salah satu aset paling berkesan dalam menumpaskan pasukan musuh yang menduduki kawasan luas.
Walaupun keputusan ini dilihat sebagai langkah moral yang berprinsip, ia membawa implikasi strategik yang besar, memaksa Paris bergantung kepada sistem persenjataan yang lebih mahal dan terhad, sekaligus membebankan lagi sumber ketenteraannya yang semakin berkurangan.
