Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kontrak Sewaan Empat Helikopter UH-60A Black Hawk Untuk Tentera Darat Hampir Pasti Dibatalkan

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata keputusan sama ada kontrak sewaan itu helikopter dibatalkan akan dimuktamadkan selepas tempoh penghantaran empat helikopter berkenaan tamat Rabu depan.

1,783
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Kontrak menyewa empat buah helikopter UH-60A Black Hawk untuk kegunaan Tentera Darat Malaysia (TDM) hampir pasti akan dibatalkan sekiranya syarikat tempatan dianugerahkan kontrak penyewaan itu gagal menyerahkan helikopter itu pada bulan ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata keputusan sama ada kontrak sewaan itu helikopter dibatalkan akan dimuktamadkan selepas tempoh penghantaran empat helikopter berkenaan tamat Rabu depan.
Tentera Darat telah pun diminta mengkaji alternatif selepas kontrak itu dibatalkan.
“Pada 30 Oktober ini maka kemungkinannya memang dibatalkan (kontrak sewa Black Hawk) dan kita akan memikirkan bagaimana kita nak cari alternatif.
“Kita kena faham Black Hawk awalnya hanya disewa untuk lima tahun, bukan untuk dibeli secara kekal.
“Jadi saya telah minta TDM mencari alternatif kerana ia sebagai satu ‘stop gap’ sementara untuk lima tahun bagi kegunaan tentera darat,” katanya selepas menyaksikan Eksesis Padang Jaguh Siri 2/2024 di Lapang Sasar Tanjung Logok, di sini hari ini.
Black Hawk
Helikopter Black Hawk
Kementerian Pertahanan telah menandatangani kontrak penyewaan empat buah helikopter Black Hawk pada Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ‘23) yang pada Mei lepas.
Kontrak penyewaan helikopter itu telah ditandatangani dengan syarikat tempatan, Aerotree Defence & Services Sdn Bhd bernilai RM187 juta.
Penyewaan empat buah helikopter itu dikatakan untuk tempoh selama lima tahun.
Keempat-empat helikopter itu akan berfungsi sebagai pletfom kepada Tim Nukleus Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) sebagai latihan dan tugasan penerbangan operasi.
TDM telah menghantar juruterbang ke Turkiye untuk menjalani latihan simulator helikopter Black Hawk.
Pada 16 Julai lalu, Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari dilaporkan berkata Aerotree Defence and Services memaklumkan peperangan berlarutan di Ukraine menjadi antara punca kelewatan perolehan perkhidmatan sewaan helikopter berkenaan.Black Hawk
Helikopter UH-60A Black Hawk berkemampuan untuk membawa 11 hingga 20 orang anggota tentera lengkap bersenjata serta seorang juruterbang, pembantu juruterbang dan seorang krew.
Model ‘A’ bagi helikopter Black Hawk itu berfungsi sebagai utiliti, serangan (air assault), medevac, command and control dan pemantauan.
Helikopter UH-60A Black Hawk dilengkapi dengan dua enjin General Electric T700-GE-701 turboshaft dan dengan tangki minyak boleh menampung 450 gelen membolehkan ia terbang sejauh 1,200 batu nautika.
Helikopter terbabit juga boleh dilengkapi dengan apa yang dipanggil sebagai “External Stores Support System” (ESSS) yang seakan-akan seperti “sayapnya.”
Dengan ESSS, helikopter UH-60A Black Hawk itu boleh membawa sehingga 16 buah peluru berpandu “Hellfire” dan membawa 16 buah peluru berpandu itu di dalam pesawat itu,sekaligus membolehkan ia ESSS itu diisi semula dengan Hellfire ketika ditengah-tengah misi.
Selain peluru berpandu dipasang di peralatan ESSS, helikopter itu juga boleh dilengkapkan dengan mesingan. — DSA

 

Comments are closed.