Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

(VIDEO) Komando Iran Rampas Kapal Kontena Milik Billionair Israel di Selat Hormuz

(VIDEO) Rampasan terhadap kapal kontena berkaitan dengan Israel, “MSC Aries” di Selat Hormuz itu dilakukan oleh sekumpulan anggota pasukan khas IRGC yang diturunkan ke kapal itu menggunakan helikopter ketika ia sedang belayar di laluan perkapalan yang sibuk itu.

0 5,809

(DEFENCE SECURITY ASIA) —  Pasukan komando Kor Revolusi Islam Iran (IRGC) dilaporkan telah merampas kapal kontena Portugis “MSC Aries” yang mempunyai kaitan dengan billionair Israel, Eyal Ofer di Selat Hormuz.

Eyal Ofer merupakan billionair perkapalan Israel dan pemilik kepada syarikat Zodiac Maritime Shipping Company.

Eyal Ofer merupakan billionair perkapalan Israel dan pemilik kepada syarikat Zodiac Maritime Shipping Company.

Berusia 84 tahun, Ofer dianggar memiliki kekayaan berjumlah US$22 bilion (RM104 billion) merupakan hartawan yang dilahirkan di Israel dan pemilik syarikat seperti Ofer Global, Zodiac Group dan Global Holdings.

Beliau dikatakan memiliki 180 buah kapal komersial.

Insiden rampasan kapal kontena di Selat Hormuz itu dilaporkan oleh UK Maritime Trade Operation (UKMTO) yang menyatakan bahawa kapal kontena itu dirampas ketika ia berada kira-kira 50 batu nautika di utara pelabuhan Fujairah di selat tersebut.

Agensi berita rasmi Iran, IRNA juga mengesahkan tentang kejadian itu.

Menurut laporan terkini, kapal kontena terbabit dengan 20 krewnya terdiri daripada rakyat Filipina sedang ditunda ke perairan Iran dan berkemungkinan besar akan berlabuh di salah sebuah pelabuhan di negara itu.

Rampasan terhadap kapal kontena berkaitan dengan Israel, “MSC Aries” di Selat Hormuz itu dilakukan oleh sekumpulan anggota pasukan khas IRGC yang diturunkan ke kapal itu menggunakan helikopter ketika ia sedang belayar di laluan perkapalan yang sibuk itu.

Ia juga berlaku beberapa hari selepas Iran memberi amaran akan menutup laluan perkapalan di Selat Hormuz kepada kapal-kapal komersial berkaitan dengan Israel, sebagaimana dilakukan oleh kumpulan bersenjata Houthi di Laut Merah.

Amaran itu dinyatakan oleh ketua angkatan laut IRGC Alireza Tangsiri yang berkata bahawa ia akan bertindak menutup laluan perkapalan itu sekiranya perlu.

Selat Hormuz merupakan laluan perkapalan yang penting dan dianggarkan satu perlima daripada kapal-kapal tangki melalui selat yang sempit itu untuk menghantar kargonya yang bernilai ke pelanggan-pelanggannya di seluruh dunia.

Iran

Iran

Pelabuhan Fujairah yang terletak di timur Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan hanya 70 Batu Nautika daripada Selat Hormuz adalah antara pelabuhan utama di rantau itu dan menjadi antara  destinasi persinggahan utama kepada kapal-kapal komersial Israel yang mahu menggunakan “land bridge” (jambatan darat) menghubungkan UAE dan  Israel.

Selepas kumpulan bersenjata Houthi menutup laluan perkapalan Laut Merah kepada kapal-kapal Israel, Israel dan UAE serta beberapa negara serantau lain dilapor telah mewujudkan “land bridge” yang menghubungkan beberapa pelabuhan lain di rantau itu di Teluk Parsi dengan Israel.

Daripada “land bridge” itu, barangan seperti bahan makanan, minyak dan pelbagai lagi dihantar ke pelabuhan-pelabuhan di rantau seperti Pelabuhan Jebel Ali di UAE dan Pelabuhan Mina Salman di Bahrain ke pelabuhan milik Israel seperti di Eilat dan Haifa menggunakan jalan darat dengan melalui negara-negara seperti Arab Saudi dan Jordan.

Jikalau Selat Hormuz juga ditutup daripada kapal-kapal komersial Israel selepas penutupan di Laut Merah,  maka Israel sedang berhadapan dengan sekatan perkapalan daripada semua segi. — DSA

Comments
Loading...