Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

India Bantu Greek Hadapi Turkiye, Cadang Jual “Ratusan” Peluru Berpandu Kruis “BrahMos”

India telah bertindak memasarkan peluru berpandu kruis “BrahMos” kepada Greek berikutan usaha kedua-dua negara untuk mengeratkan lagi hubungan pertahanan dan keselamatan antara mereka selepas Presiden India Narendra Modi melawat Greek pada tahun lepas. Perdana Menteri Greek Kyriakos Mitsotakis telah membuat lawatan balas ke New Delhi pada Februari lalu.

0 7,093

(DEFENCE SECURITY ASIA) – India sememangnya diketahui tidak mempunyai hubungan yang baik dengan Turkiye dan hubungan itu bakal menjadi semakin buruk sekiranya cadangan New Delhi untuk menjual peluru berpandu kruis “BrahMos” kepada Greek menjadi kenyataan.

Sejak beberapa tahun ini, India telah meningkatkan penghantaran senjatanya kepada Armenia manakala Turkiye pula merupakan penyokong utama ketenteraan kepada Azerbaijan sehingga membolehkan Baku menguasai semula wilayah Nagorno-Karabakh daripada Yerevan.

Selain itu, Turkiye juga mempunyai hubungan ketenteraan yang rapat dengan Pakistan yang menggunakan dron-dron buatan syarikat Turkiye dalam angkatan tenteranya termasuk untuk memantau sempadannya yang “sentiasa panas” dengan India. 

India telah bertindak memasarkan peluru berpandu kruis “BrahMos” kepada Greek berikutan usaha kedua-dua negara untuk mengeratkan lagi hubungan pertahanan dan keselamatan antara mereka selepas Presiden India Narendra Modi melawat Greek pada tahun lepas.

Perdana Menteri Greek Kyriakos Mitsotakis telah membuat lawatan balas ke New Delhi pada Februari lalu.

BrahMos

Beberapa hari lalu, Greek turut menghantar Panglima Angkatan Tenteranya Jeneral Dimitrios Choupis melawat New Delhi di atas undangan rakan sejawatnya, Jeneral Anil Chauhan dan mereka telah mengadakan perbincangan tentang kerjasama pertahanan yang lebih erat.

“Suara-suara” semakin kuat kedengaran dikalangan pakar-pakar pertahanan Greek yang mahukan kerajaan negara itu memperolehi sistem persenjataan yang strategik daripada India, yang merujuk kepada peluru berpandu kruis “BrahMos” yang dibangunkan secara bersama oleh syarikat India dan Russia.

Mereka mahu Greek memperolehi peluru berpandu kruis “BrahMos” itu untuk melindungi kawasan-kawasan milik negara itu di Aegean, Crete dan Cyprus.

Sebuah akhbar Greek, “Greece City Times” dalam satu laporannya berkata: “Melengkapi pulau-pulau di Timur Aegean (dimana Turkiye mendakwa sebagai miliknya) dengan peluru berpandu kruis BrahMos  dikombinasi dengan peluru berpandu itu di pesisir pantai bahagian Asia akan meyebabkan pengurangan reaction time pada radar kapal-kapal perang Turkiye terutamanya apabila tembakan saturasi daripada peluru-peluru berpandu BrahMos milik Greek.”

Pakar-pakar pertahanan Greek menyatakan bahawa pengoperasian sistem peluru berpandu BrahMos di pulau-pulau Timur Aegean akan “menyekat akses” kapal-kapal perang Turkiye di kawasan perairan yang menjadi rebutan antara kedua-dua negara itu.Turkiye

Mereka juga mendakwa bahawa sistem peluru berpandu kruis “BrahMos” itu adalah kos-effektif berbanding sistem-sistem lain, dengan kos untuk satu peluru berpandu itu dianggarkan bernilai US$3.5 juta (RM16.7 juta).

Pakar-pakar pertahanan dan keselamatan Greek mencadangkan kerajaan mereka untuk memperolehi kira-kira 150 buah peluru berpandu kruis “BrahMos” daripada India untuk mempertahankan perairan dan pulau-pulau negara itu daripada ancaman Turkiye.

Sistem peluru berpandu BrahMos merupakan usahasama di antara Defence Research and Development Organisation (DRDO) daripada India dan NPO Mashinostreyenia (NPOM) daripada Russia.

Bagi varian anti-kapal, peluru berpandu “Brahmos” mempunyai jarak effektif kira-kira 300km dengan kelajuan supersonik 2.8 Mach.

Peluru berpandu Brahmos itu membawa kira-kira 200kg bahan peledak berkuasa tinggi.

Peluru berpandu BrahMos merupakan peluru berpandu kruis jarak sederhana yang menggunakan teknologi ramjet yang boleh dilancarkan daripada pelbagai platform sama ada udara, kapal, kapal selam serta kawasan pesisir pantai. 

Turki

Mungkin Greek akan mengikut jejak Filipina untuk menjadi negara pertama di luar India yang menggunakan sistem peluru berpandu usaha sama India-Russia.

Manila bakal menempatkan BrahMos di beberapa lokasi strategik negara itu di Laut China Selatan atau dipanggil Laut Filipina Barat (West Philippine Sea) oleh Manila.

Filipina mahu menggunakan sistem peluru berpandu BrahMos itu untuk mencegah China daripada sebarang cubaan merampas, menduduki pulau atau terumbu-terumbu karang yang berada dalam kawasan perairan Zon Ekonomi Eksklusifnya (ZEE) di barat Laut China Selatan atau dipanggil Manila sebagai West Philippine Sea (Laut Filipina Barat).

Dengan peluru berpandu BrahMos, kapal-kapal pengawal pantai China perlu “berfikir dua kali” sebelum menghampiri mana-mana pulau atau terumbu karang Filipina di dalam kawasan perairan ZEE Filipina. — DSA

Comments
Loading...