Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Korea Tuntut Indonesia Jelaskan Bayaran Program KF-21

Menurut ketua bagi agensi Defense Acquisition Program Administration (DAPA) Korea Selatan Eom Dong Hwan,  kali terakhir Indonesia melakukan bayaran bagi penyertaannya dalam program pembangunan pesawat pejuang itu adalah pada 2017, iaitu kira-kira lima tahun yang lalu.

1,950

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Korea Selatan berharap Indonesia akan melangsaikan bayaran yang telah tertangguh sejak sekian lama berhubung penyertaannya dalam program pembangunan pesawat pejuang generasi 4.5 KF-21 “Boramae.”

Menurut ketua bagi agensi Defense Acquisition Program Administration (DAPA) Korea Selatan Eom Dong Hwan,  kali terakhir Indonesia melakukan bayaran bagi penyertaannya dalam program pembangunan pesawat pejuang KF-21 itu adalah pada 2017, iaitu kira-kira lima tahun yang lalu.

DAPA dan Korea Aerospace Industries (KAI) bertanggungjawab membangunkan pesawat pejuang itu yang berjaya melakukan penerbangan sulungnya pada Jun lepas.

KF-21
Pesawat KF-21 ketika melakukan penerbangan sulung pada Julai lepas.

 

“Indonesia masih belum menjelaskan bila ia akan melangsaikan bayaran yang telah tertangguh, tetapi suasana keseluruhannya adalah amat positif. Walaupun mereka (Indonesia) mungkin tidak melakukan bayaran (yang tertangguh) itu secara sekaligus, kita menjangkakan mereka akan membuat bayaran secara ansuran,” katanya.

Menurut Eom, Indonesia hanya telah menjelaskan kira-kira 30 peratus daripada bayaran yang perlu dibuatnya kepada Korea Selatan.

Media Korea Selatan mendakwa Indonesia telah gagal melunaskan bayaran sebanyak US$671 juta (RM2.7 bilion) daripada US$1.3 bilion (RM5.3 bilion) bayaran keseluruhan terhadap program pesawat yang dijanjikannya, dengan menjadikan masalah kewangan negara itu sebagai alasan utamanya. 

Soal mengenai bayaran oleh Indonesia di dalam program itu telah mendominasi pembabitan negara Asia Tenggara itu, walaupun pemimpin kedua-dua negara menyatakan komitmen mereka terhadap pembangunan pesawat KF-21.

Indonesia dan Korea Selatan telah menandatangani perjanjian pada 2010 untuk bekerjasama di dalam program pembangunan pesawat pejuang itu.

KF-21

Jakarta bersetuju untuk membayar 20 peratus daripada keseluruhan kos pembangunan pesawat pejuang itu yang dianggarkan berjumlah US$6.67 bilion (RM26.7 bilion).

Ia adalah sebagai pertukaran untuk membina sejumlah pesawat KF-21 itu di Indonesia serta pemindahan teknologi.

Kegagalan Indonesia menjelaskan bayarannya terhadap program pesawat pejuang itu menimbulkan ketidakpuasan hati beberapa pihak di Korea Selatan yang meminta kerajaan negara itu supaya membatalkan penyertaan Indonesia dan meneruskan program pembangunan pesawat pejuang KF-21 bersendirian.

Bagaimana seruan untuk membatalkan penyertaan Jakarta dalam program pembangunan pesawat KF-21 itu ditentang berikutan hubungan pertahanan yang rapat diantara kedua-dua pihak.

KF-21
Salah sebuah pesawat prototaip KF-21 “Boramae” yang akan melakukan penerbangan sulung bulan depan.

 

Pada 2011, Indonesia memperolehi 16 buah pesawat latihan lanjutan T-50 daripada Korea Selatan bernilai US$400 juta (RM1. 6 bilion) .

Selain itu, Jakarta turut memperolehi tiga buah kapal selam seberat 1,400 tan setiap satu yang dibangunkan oleh firma Korea Selatan, Daewoo Shipbuilding and Marine Engineering (DSME).

“Indonesia telah memainkan peranan yang penting dalam membantu syarikat-syarikat pertahanan Korea Selatan bertapak di pasaran antarabangsa. Isu ini (pembayaran program pesawat KF-21) perlu dilihat daripada segi jangka panjang,” menurut seorang penganalisis pertahanan Korea Selatan.

Indonesia dikatakan masih komited kepada program pesawat KF-21 itu sebagaimana dibuktikan oleh kehadiran 39 juruteranya yang bertugas di KAI.

KF-21
Persamaan dan perbezaan diantara KF-21 Boramae dan F-22 Raptor

 

Pesawat pejuang generasi 4.5 buatan tempatan Korea Selatan, KF-21 “Boramae” akan mula dibina secara besar-besaran (mass production) bermula pada tahun 2026 bagi memenuhi keperluan tentera udara negara Asia Timur itu.

Dua tahun selepas itu pada tahun 2028, sejumlah 40 buah pesawat KF-21 yang dibangunkan oleh Korea Aerospace Industries (KAI) akan diserahkan kepada Tentera Udara Korea Selatan bagi menggantikan pesawat berusia, F-4 Phantom serta F-5.

Walaupun telah berjaya melakukan penerbangan sulung pada Julai lepas, pesawat KF-21 masih perlu melakukan sebanyak 2,220 penerbangan lagi sehingga tahun 2026 sebelum ia boleh dibina secara besar-besaran (mass-production) bagi tentera udaranya sebagai pelanggan pertama. — DSA

Apps

JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE  SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE

 

 

Comments are closed.