Pesawat KF-21 Boramae Adalah “Ideal” Untuk TUDM – Presiden KAI
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif KAI Kang Goo-Young ketika ditemuramah oleh media tempatan di LIMA 2023 dengan jelas menyatakan bahawa pesawat pejuang generasi 4.5 KF-21 Boramae itu adalah “ideal fit” untuk TUDM.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Nampaknya Korea Aerospace Industries (KAI) bukan sahaja mempunyai keyakinan yang amat tinggi untuk menerima pesanan tambahan bagi 18 buah lagi pesawat pejuang FA-50 daripada Malaysia, tetapi ia juga mahu melihat “kesinambungan” dengan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menjadi salah satu pengguna pesawat generasi 4.5 KF-21 “Boramae”.
KF-21 “Boramae” merupakan satu lagi pesawat pejuang yang sedang dibangunkan oleh KAI, dengan jangkaan pada tahun depan ia akan memulakan pengeluaran besar-besaran pesawat itu.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif KAI Kang Goo-Young ketika ditemuramah oleh media tempatan di LIMA 2023 dengan jelas menyatakan bahawa pesawat pejuang generasi 4.5 KF-21 Boramae itu adalah “ideal fit” untuk TUDM.
Katanya, KF-21 “lebih daripada mungkin mampu” untuk menggantikan pesawat-pesawat F/A-18D dan Sukhoi Su-30MKM yang bakal dibersarakan oleh TUDM pada 2035 dan 2040 sebagaimana yang digariskan di dalam program CAP 55 (Capability 2055).
“Saya percaya, ya, pesawat KF-21 lebih daripada mungkin mampu untuk menggantikan mereka (F/A-18D dan Su-30MKM) kerana waktu persaraan kedua-dua pesawat itu adalah hampir sama dengan waktu dimana pesawat KF-21 itu akan mula beroperasi,” kata beliau dalam temuramah itu.
Dengan kombinasi FA-50 dengan KF-21, TUDM menurut beliau, akan mempunyai kemampuan sistem pertahanan udara yang amat strategik dan taktikal.
“Pesawat KF-21 adalah pesawat pejuang generasi 4.5 tetapi ia akan mempunyai platform generasi ke-5, bermakna ia bukan sahaja generasi ke-5 tetapi boleh dinaiktaraf kepada pesawat pejuang generasi ke-6 di masa depan.”
“Sebab itulah, saya percaya bahawa pesawat pejuang KF-21 adalah amat ideal untuk TUDM”, kata beliau dalam temuramah yang diadakan di chalet KAI di LIMA 2023.
Dengan kemudahan pemasangan akhir pesawat-pesawat FA-50 Block 20 bakal didirikan di Malaysia tidak lama lagi, sudah pasti kemudahan yang tersedia itu juga boleh digunakan untuk pemasangan KF-21 di negara ini sekiranya Malaysia memilih pesawat itu.
Ia akan memastikan kelangsungan pusat pemasangan akhir itu pada tahun-tahun akan mendatang.
Sebagaimana yang admin nyatakan beberapa bulan sebelum ini bahawa bahawa “usaha-usaha awalan” sudah pun bermula untuk mempromosi KF-21 Boramae kepada TUDM, walaupun pihak berkaitan menyedarinya ia adalah lama sebelum kita sampai ke tahap membuat keputusan.
Pesawat pejuang KF-21 Boramae melakukan penerbangan sulungnya pada Jun tahun lepas dan perlu melakukan kira-kira 2,000 penerbangan ujian sebelum ia memulakan pengeluaran bersirinya pada 2026.
Minggu lepas, pesawat pejuang generasi 4.5 dibangunkan sendiri oleh industri pertahanan Korea Selatan, KF-21 “Boramae” telah lulus ujian teknikal khusus bagi membolehkan ia dibina secara besar-besaran bermula pada tahun depan.
Agensi perolehan persenjataan Korea Selatan, Defense Acquisition Program Administration (DAPA) berkata, pesawat KF-21 itu telah lulus ujian teknikal dipanggil “Provisional Combat Suitability Evaluation”.
Kelulusan itu diberi berdasarkan kepada ratuskan penerbangan ujian di udara dan daratan yang dilakukan oleh pesawat pejuang itu sepanjang dua tahun lepas.
“Ujian itu telah meletakkan batu asas bagi membolehkan kami untuk memulakan pengeluaran pesawat secara besar-besar bermula pada tahun depan,” menurut DAPA dalam satu kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini.
Dilancarkan pada 2015, program pembangunan pesawat KF-21 itu dianggar menelan belanja US$6.59 bilion (RM26.36 bilion),bertujuan untuk menggantikan pesawat-pesawat pejuang supersonik milik Tentera Udara Korea Selatan (ROKAF) yang telah berusia seperti F-4 Phantom dan F-5.
KAI merancang untuk membekalkan 40 buah pesawat KF-21 Block 1 yang direkabentuk untuk misi udara-ke-udara pada tahun 2028, diikuti oleh 80 buah pesawat Block 2 itu untuk misi udara-ke-darat pada tahun 2030.
Gergasi aeroangkasa Korea Selatan itu juga dilaporkan berhasrat untuk mula mengeksport pesawat pejuang KF-21 “Boramae” kepada pelanggan-pelanggan yang berminat bermula pada tahun 2028.
KAI telah pun mensasarkan beberapa buah negara sebagai pelanggan berpotensi bagi pesawat pejuang KF-21 terutamanya negara-negara yang telah pun menggunakan pesawat pejuang ringan FA-50/T-50 seperti Thailand, Filipina, Iraq dan Poland.
Memandangkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) juga bakal menggunakan FA-50 Block 20, maka ia juga disasarkan oleh KAI sebagai pelanggan berpotensi bagi pesawat pejuang generasi 4.5 KF-21.
Dengan harga per-unit pada US$65 juta (RM260 juta) sebagaimana yang dilaporkan oleh media-media pertahanan antarabangsa, harga KF-21 (mungkin Block 1) adalah lebih rendah berbanding pesawat-pesawat generasi 4.5 yang lain seperti Rafale dan Eurofighter Typhoon. — DSA
DOWNLOAD APPS DEFENCE SECURITY ASIA
Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com