Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kerajaan Perancis Bimbang Nasib Pesawat Pejuang Rafale India Dilaporkan Ditembak Jatuh Pakistan

Kerajaan Perancis dikatakan amat bimbang dengan dakwaan menyatakan Tentera Udara India telah kehilangan tiga buah pesawat pejuang Rafale miliknya yang merupakan tulang belakang kepada kekuatan tempur udarannya.

0 20,473
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Buat pertama kali, jurucakap Kementerian Angkatan Tentera Perancis menyatakan bahawa ia sedang berhubung rapat dengan India untuk memahami dengan lebih baik tentang “nasib” pesawat pejuang Rafale milik Tentera Udara India yang dilaporkan telah ditembak jatuh oleh pesawat-pesawat pejuang Pakistan.
Jurucakap kementerian itu menyatakan bahawa keadaan tentang nasib pesawat pejuang Rafale yang dioperasikan oleh India  itu masih tidak pasti sehingga kini dan kerajaan Perancis sedang cuba memastikan dakwaan menyatakan ia telah ditembak jatuh oleh Pakistan.
“Berhubung dengan konflik yang sedang berlaku antara India dan Pakistan, apa yang saya perhatikan secara utama ialah kita sedang berada dalam keadaan “fog of war” atau kekeliruan peperangan, di samping berdepan dengan perang maklumat yang sangat sengit.”
“Dengan kata lain, perkara yang paling kita tahu pada hari ini ialah kita sebenarnya tidak mengetahui apa yang benar-benar berlaku.”
“Jadi memang wujud beberapa dakwaan yang tidak akan saya ulangi kerana tiada maklumat yang disahkan setakat ini,” kata jurucakap itu.
Kerajaan Perancis dikatakan amat bimbang dengan dakwaan menyatakan Tentera Udara India telah kehilangan tiga buah pesawat pejuang Rafale miliknya yang merupakan tulang belakang kepada kekuatan tempur udarannya.
“Isu berkaitan pesawat Rafale sememangnya merupakan perkara utama yang sangat penting bagi kami,” kata jurucakap berkenaan.
“Kami secara semula jadi ingin mengetahui dengan lebih jelas apa yang telah berlaku, dan sebab itu kami sedang berusaha untuk kekal rapat dengan rakan kerjasama kami di India bagi memahami situasi ini dengan lebih mendalam.
Rafale
Mengangkat serpihan pesawat pejuang Rafale India yang ditembak jatuh Pakistan ?
“Sudah tentu, maklum balas paling signifikan akan datang daripada penggunaan pesawat ini dalam pertempuran berintensiti tinggi yang, menurut beberapa laporan, melibatkan ratusan pesawat. Oleh itu, kami sedang mengikuti perkembangan ini dengan penuh teliti,” kata jurucakap Kementerian Angkatan Tentera Perancis itu lagi.
Jika laporan tentang kejayaan Pakistan menembak jatuh pesawat pejuang Rafale milik Tentera Udara Pakistan itu adalah benar, maka ia adalah pesawat pejuang Rafale buatan syarikat Dassault Aviation yang pertama ditembak jatuh sejak ia diperkenalkan di pasaran sejak 20 tahun yang lalu.
Pada hari-hari awal konflik Pakistan-India kira-kira dua minggu lepas, pesawat-pesawat pejuang J-10C buatan China milik Tentera Udara Pakistan dilaporkan telah berjaya menembak jatuh sejumlah pesawat pejuang India, kenyataan yang disokong oleh pakar-pakar persenjataan daripada Amerika Syarikat, Perancis dan negara-negara Barat lain.
Selain tiga buah pesawat pejuang Rafale Tentera Udara India, negara itu turut kehilangan sebuah pesawat pejuang Su-30MKI, sebuah MiG-29 dan sebuah Mirage 2000, menjadikan kesemua pesawat pejuang India yang ditembak jatuh oleh Pakistan kepada enam buah.
Menteri Luar Pakistan Ishaq Dar mendakwa bahawa kesemua lima buah pesawat pejuang Tentera Udara India (IAF) termasuk tiga buah Rafale buatan Perancis telah ditembak jatuh oleh pesawat pejuang J-10C Tentera Udara Pakistan (PAF) menggunakan peluru berpandu udara-ke-udara Beyond Visual Range (BVR) PL-15E.
“Pesawat pejuang Rafale yang digembar-gemburkan (tentang kehebatannya) telah gagal dengan amat teruk dan juruterbang Tentera Udara India membuktikan bahawa mereka tidak mahir,” kata beliau.
Pesawat pejuang keenam India, Mirage 2000 juga dipercayai ditembak jatuh oleh J-10C Pakistan menggunakan PL-15.
rafale
Rafale 
Sehingga kini, India masih enggan mengesahkan kehilangan tiga buah pesawat pejuang Rafale miliknya itu, walaupun pegawai kanan Angkatan Tenteranya Air Marshal A.K Bharti dalam sidang media ketika konflik Pakistan-India itu menyatakan bahawa “Kita berada dalam senario peperangan, kehilangan (pesawat) adalah biasa dalam pertempuran”, apabila ditanya tentang dakwaan tiga buah pesawat pejuang Rafale miliknya itu telah ditembak jatuh oleh Pakistan.
Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan lebih lanjut.
Bagi pemerhati pertahanan, jawapan pegawai kanan Tentera Udara India itu seolah-olah mengesahkan bahawa ia sememangnya telah kehilangan enam buah pesawat pejuang termasuk tiga buah Rafale.
Dakwaan penembakan jatuh pesawat pejuang Rafale Tentera Udara India itu turut  disokong oleh wartawan kanan CNN, Jim Sciutto menerusi akaun miliknya di platform X yang menyatakan bahawa pegawai tinggi perisikan Perancis mengesahkan sekurang-kurangnya sebuah pesawat pejuang Rafale milik Tentera Udara India telah ditembak jatuh oleh Pakistan.
Pegawai perisikan Perancis itu juga turut memberitahu CNN bahawa pihak berkuasa negara itu sedang melihat dakwaan bahawa lebih daripada sebuah pesawat pejuang Rafale milik India telah ditembak jatuh oleh Pakistan.
CNN dalam laporannya menyatakan bahawa pegawai Amerika Syarikat dalam penilaian mereka mengesahkan bahawa tentera Pakistan telah menembak jatuh sebuah pesawat pejuang milik India semasa serangan udara yang dilancarkan India ke atas wilayah Pakistan.
Stesen televisyen itu menyatakan bahawa pegawai kanan Amerika itu mempunyai akses kepada laporan penilaian terkini.
Rafale
“Rafale”
Namun begitu, Amerika Syarikat masih belum mengesahkan jenis sistem persenjataan yang digunakan oleh pasukan Pakistan untuk menembak jatuh pesawat tersebut.
Laporan-laporan tentang Tentera Udara India telah kehilangan tiga buah pesawat pejuang Rafale miliknya turut menyebabkan saham syarikat pembuatnya, Dassault Aviation jatuh menjunam.
 Saham syarikat Dassault Aviation yang mengeluarkan pesawat pejuang Rafale yang digunakan oleh Tentera Udara India mengalami kejatuhan sebanyak 9.48 peratus sepanjang lima hari lepas sejak berlakunya konflik di antara Pakistan dan India.
Sementara itu, saham syarikat Avic Chengdu Aircraft Co yang disenaraikan di Bursa Saham Shenzhen pula mengalami nasib yang berbeza berbanding saham syarikat Dassault Aviation sepanjang lima hari lepas.
Syarikat Chengdu Aircraft Industry Group (CAIG) yang membangunkan pesawat pejuang J-10C pula mengalami nasib yang berbeza dengan mencatakan lonjakan sebanyak 61.6 peratus sepanjang lima hari lepas semasa konflik Pakistan dan India.
Avic Chengdu juga adalah syarikat aeroangkasa China yang membangunkan pesawat pejuang JF-17 “Thunder” bersama Pakistan Aeronautical Complex (PAC).
Sementara itu, Pegawai kanan Indonesia menyatakan apa yang berlaku terhadap pesawat pejuang Rafale Tentera Udara India semasa konflik bersenjata di antara Pakistan dan India baru-baru ini memberikannya asas untuk “melakukan penilaian yang sah dan berasas” terhadap keberkesanan pesawat pejuang generasi 4.5 buatan Perancis itu yang ia bakal miliki tahun depan.

Dassault

Avic
“Perubahan nada” oleh pegawai kanan Indonesia itu berlaku selepas pesawat pejuang J-10C buatan China milik Tentera Udara Pakistan didakwa menembak jatuh tiga buah pesawat pejuang Rafale milik Tentera Udara India pada hari-hari pertama konflik di antara Islamabad dan New Delhi.
Anggota Komisi 1 Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Dave Laksono yang bertanggungjawab memantau hal-ehwal pertahanan berkata, dakwaan-dakwaan yang tidak dapat disahkan di medan peperangan tidak boleh dijadikan asas utama dalam mengkaji keberkesanan sesuatu sistem persenjataan.
“Dakwaan-dakwaan yang tidak dapat disahkan di kawasan konflik tidak boleh dijadikan satu-satunya asas untuk menilai keberkesanan atau kegagalan sesuatu sistem senjata.”
Laksono berkata, “Malah pesawat pejuang paling canggih seperti F-16, F/A-18 dan F-22 juga pernah ditembak jatuh atau terhempas akibat situasi taktikal tertentu. Justeru, prestasi Rafale tidak boleh dinilai hanya berdasarkan satu insiden yang masih belum disahkan sepenuhnya.”
Walaupun begitu, anggota pembuat dasar di DPR Indonesia tetap mengakui bahawa insiden tersebut yang merujuk kepada dakwaan penembakan jatuh tiga buah pesawat pejuang Rafale Tentera Udara India oleh pesawat pejuang J-10C Pakistan telah memberikan asas yang “sah dan konstruktif” untuk suatu “penilaian.”
Pada 2022, Indonesia telah menandatangani kontrak pembelian 42 pesawat pejuang Rafale buatan syarikat Dassault Aviation daripada Perancis bernilai US$8.1 billion (RM35.6 billion) sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh keupayaan pertahanan udara negara Asia Tenggara itu.
Sementara itu seorang pakar, Adhi Priamarizki yang merupakan felo penyelidik di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam, Singapura berkata, “Pesawat pejuang Rafale adalah antara pesawat pejuang terbaik di dunia ketika ini… Ia bukan sekadar soal membeli platform canggih, tetapi turut memerlukan penguasaan dan kepakaran untuk mengoperasikannya.”
J-10C
J-10C Pakistan
PL-15E
PL-15E
India menandatangani perjanjian dengan Dassault Aviation pada 2016 untuk memperolehi 36 buah pesawat pejuang Rafale daripada Perancis yang dianggarkan bernilai US$8.8 billion (RM38.7 billion) atau US$91 juta (RM400 juta) sebuah.
Jika termasuk kerja-kerja menaiktaraf pesawat pejuang itu sebagaimana diminta oleh India, sistem persenjataan, alat ganti dan kira-kira lima tahun kerja-kerja sokongan, maka kos keseluruhan pesawat pejuang buatan Perancis yang dibeli oleh India itu dianggarkan bernilai US$218 juta sebuah (RM959 juta).
Jika meliputi kos inflasi pada tahun 2025, maka kos keseluruhan sebuah pesawat pejuang Rafale yang diperolehi oleh India itu mencecah US$289 juta (RM1.27 billion).
Dan pada 28 April tahun ini, India menandatangani perjanjian bernilai US$7.4 bilion dengan Perancis untuk memperoleh 26 pesawat Rafale Marine.
Perolehan ini terdiri daripada 22 pesawat satu tempat duduk dan 4 pesawat dua tempat duduk, yang akan digunakan di atas kapal induk INS Vikrant.
Ini menandakan kali pertama varian Rafale Marine dieksport ke luar Perancis.
Kontrak ini merangkumi latihan, senjata, dan sokongan teknikal, dengan penghantaran dijadualkan selesai menjelang 2030 .
 — DEFENCE SECURITY ASIA

Leave A Reply

Your email address will not be published.