Amerika Bakal Tawar Secara Rasmi Penjualan F-35A Kepada India Bulan Ini ??
Tentera Udara India memerlukan pesawat pejuang generasi kelima dengan segera bagi menangani ancaman pesawat pejuang generasi kelima China, J-20 “Mighty Dragon” dan juga J-35A yang bakal dioperasikan oleh Tentera Udara Pakistan pada awal tahun depan.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Bagi membolehkan Tentera Udara India menangani ancaman pesawat-pesawat pejuang generasi kelima milik China dan Pakistan, Amerika Syarikat dilaporkan bakal menawarkan secara rasmi penjualan pesawat pejuang F-35A kepada India pada bulan ini.
Tentera Udara India memerlukan pesawat pejuang generasi kelima dengan segera bagi menangani ancaman pesawat pejuang generasi kelima China, J-20 “Mighty Dragon” dan juga J-35A yang bakal dioperasikan oleh Tentera Udara Pakistan pada awal tahun depan.
Sebab itulah, India memerlukan dengan segera pesawat pejuang generasi kelima untuk berhadapan dengan China dan Pakistan.
Laporan media pertahanan India menyatakan bahawa Amerika Syarikat bakal menawarkan secara rasmi kepada India pesawat pejuang F-35A yang dibangunkan oleh syarikat Lockheed Martin pada Jun ini.
Menurut laporan itu lagi, tawaran pesawat pejuang generasi kelima F-35A kepada India itu termasuk beberapa komponen yang unik kepada India, sebagaimana F-35A Adir milik Tentera Udara Israel yang dilengkapi dengan komponen dibangunkan oleh syarikat-syarikat pertahanan Israel itu sendiri.
Antara konfigurasi unik untuk pesawat pejuang F-35A yang ditawarkan oleh Amerika Syarikat kepada India itu termasuklah Software Defined Radio (SDR) dan juga Indentification Friend or Foe (IFF) sebagaimana dilengkapi pada pesawat F-35A milik Israel.
Pesawat pejuang F-35 “Adir”, versi khas F-35A Lightning II yang dibangunkan khusus untuk Israel, dianggap unik kerana beberapa ciri utama yang membezakannya daripada varian standard yang dioperasikan oleh negara lain.

Berbeza dengan negara-negara pengguna F-35 lain yang kebanyakannya bergantung kepada perisian dan sistem misi yang diluluskan oleh Amerika Syarikat, Israel telah merundingkan akses istimewa kepada sistem teras pesawat itu.
Melalui akses ini, Israel berupaya untuk:
Memasang sistem peperangan elektronik (EW), sensor, dan Electronic Counter Measures (ECM) buatan tempatan ke dalam pesawat berkenaan.
Mengintegrasikan senjata buatan Israel seperti peluru berpandu Python-5 dan bom panduan Spice terus ke dalam ruang senjata dalaman F-35, sesuatu yang tidak dibenarkan kepada negara lain.
Menggunakan sistem perintah dan kawalan serta rangkaian pautan data buatan tempatan, sekali gus membolehkan jaringan data link antara pesawat itu dengan rangkaian udara, darat dan perisikan Israel secara lancar.
Beijing dilaporkan akan mempercepatkan lagi penghantaran pesawat pejuang generasi kelima, J-35A kepada Pakistan bagi memastikan sekutunya di rantau Asia Selatan itu menerima pesawat pejuang terbabit pada suku pertama tahun 2026.
Laporan yang memetik sumber-sumber pegawai Tentera Udara Pakistan menyatakan bahawa China akan mempercepatkan lagi penghantaran pesawat pejuang J-35A yang dibangunkan oleh Shenyang Aircraft Corporation Industry (SAC) kepada Pakistan selama enam bulan.

Laporan media pada akhir tahun lepas menyatakan bahawa Pakistan bakal memperolehi sebanyak 40 buah pesawat pejuang generasi kelima buatan China, J-35A, dengan kesemua pesawat pejuang itu akan diterima oleh Islamabad di dalam tempoh dua tahun.
Tentera Udara Pakistan memberikan bayangan seawal 2024 tentang rancangannya untuk memperolehi pesawat pejuang halimunan generasi kelima, J-35A.
Malah, media-media Pakistan melaporkan bahawa tentera udara negara itu telah pun menghantar kumpulan juruterbangnya untuk menjalani latihan menerbangkan pesawat pejuang generasi kedua buatan China itu, J-35A.
Dalam pertemuan dengan Perdana Menteri India Narendra Modi pada awal tahun, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menyatakan bahawa beliau akan meningkatkan penjualan peralatan ketenteraan kepada India bermula tahun 2025.
Ia termasuklah membuka laluan untuk membekalkan pesawat pejuang generasi kelima F-35 kepada India, kata Presiden Amerika Syarikat itu.
“Kami akan meningkatkan penjualan ketenteraan kepada India dengan nilai berbilion dolar. Kami juga sedang membuka laluan untuk akhirnya membekalkan pesawat pejuang halimunan F-35 kepada India,” katanya kepada pemberita.
Syarikat pertahanan Amerika Syarikat, Lockheed Martin, yang merupakan pengeluar pesawat pejuang F-35, menyatakan bahawa sebarang perbincangan berhubung penjualan F-35 kepada India hanya akan berlangsung di peringkat antara kerajaan.

Menurut syarikat itu, penjualan ketenteraan asing seperti pesawat pejuang F-35 diklasifikasikan sebagai urus niaga antara kerajaan, dengan Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (Pentagon) bertindak sebagai orang tengah antara kontraktor pertahanan dan kerajaan luar.
Sejak tahun 2008, India telah bersetuju untuk membeli lebih daripada AS$20 bilion (RM94 bilion) produk pertahanan dari Amerika Syarikat.
Pada tahun lalu, selepas rundingan yang memakan masa lebih enam tahun, New Delhi akhirnya bersetuju untuk memperoleh 31 unit dron MQ-9B SeaGuardian dan SkyGuardian.
Dalam lawatannya ke India baru-baru ini, Naib Presiden Amerika Syarikat JD Vance meminta supaya India mempertimbangkan perolehan pesawat pejuang F-35 dan dan menegaskan bahawa pesawat pejuang itu mampu meningkatkan keupayaan Tentera Udara India secara signifikan dalam melindungi ruang udara negara berkenaan.
Sementara itu, selama beberapa dekad, Russia menjadi pembekal utama senjata kepada India, yang merupakan pengimport senjata terbesar di dunia, dengan pesawat pejuang buatan Moscow menjadi sebahagian penting dalam armada udara negara itu.
Namun, keupayaan Russia untuk mengeksport sistem persenjataan telah terjejas dalam beberapa tahun kebelakangan ini ekoran peperangan berpanjangan di Ukraine, sekaligus mendorong New Delhi untuk memandang ke arah Barat dalam usaha mempelbagaikan sumber perolehan ketenteraannya.
Dalam perkembangan berkaitan, Russia turut menawarkan untuk membangunkan pesawat pejuang generasi kelimanya Sukhoi Su-57, di India khusus untuk kegunaan Tentera Udara India.

Russia bukan sahaja menawarkan pengeluaran dalam negara pesawat pejuang Su-57E kepada India tetapi juga perkongsian teknologi terkini serta pembangunan industri pesawat pejuang generasi kelima itu.
Duta Russia ke India Denis Alipov berkata, apa yang ditawarkan oleh Russia kepada India adalah “tawaran yang amat lumayan.”
“Kami menawarkan pesawat pejuang generasi kelima kami sendiri. Kami mempunyai pesawat terbaik – Su-57E. Kami baru sahaja mempamerkannya di Aero India bulan lalu (Mac) di Bangalore, dan ia telah menunjukkan prestasi luar biasa serta menarik perhatian ramai.”
“Pesawat ini (Su-57E) sangat kompetitif, dan kami bukan sahaja menawarkan untuk menjualnya, tetapi juga untuk bekerjasama dalam pengeluaran pesawat itu. Kami menawarkan pemindahan teknologi serta pembangunan kemudahan industri yang diperlukan untuk pengeluarannya. Selain itu, kami juga terbuka kepada perubahan konfigurasi mengikut keperluan.”
“Ini adalah tawaran yang sangat menguntungkan,” kata beliau.
Agensi eksport persenjataan negara itu, Rosoboronexport, mengumumkan bahawa India boleh memulakan pengeluaran berlesen Su-57 dengan segera menerui pemodenan production line sedia ada di negara itu untuk pesawat pejuang Su-30MKI generasi 4+, yang mana sekurang-kurangnya 222 unit telah dibina di India.

Pesawat pejuang generasi kelima F-35 Lightning II ditawarkan dalam tiga varian utama—F-35A, F-35B dan F-35C—yang direka khusus untuk memenuhi keperluan misi, cabang perkhidmatan, dan persekitaran operasi yang berbeza.
F-35A merupakan varian paling sesuai untuk pasukan tentera udara konvensional yang mengutamakan kos yang lebih rendah, kelincahan serta keupayaan serangan yang fleksibel.
F-35B pula direka untuk beroperasi dari pangkalan hadapan yang serba kekurangan serta kapal pengangkut tidak konvensional, menjadikannya ideal bagi misi penempatan pantas dan operasi amfibi.
Manakala F-35C dioptimumkan untuk ketahanan misi jarak jauh dan operasi dari kapal induk tentera laut, dengan sayap paling besar serta jarak operasi paling jauh dalam kalangan ketiga-tiga varian.
Ciri |
F-35A (CTOL) – Landasan Konvensional |
F-35B (STOVL) – Berlepas Pendek dan Pendaratan Menegak |
F-35C (Carrier) – Operasi Kapal Induk |
---|---|---|---|
Jenis Berlepas |
Landasan biasa |
Berlepas pendek / pendaratan menegak |
Pelancaran katapel & pendaratan menggunakan kabel penahan |
Pengguna Utama |
Tentera Udara |
Kor Marin / Pasukan Ekspedisi |
Tentera Laut (operasi kapal induk) |
Meriam |
Meriam dalaman 25mm |
Pod meriam luaran (pilihan) |
Pod meriam luaran (pilihan) |
Jejari Tempur |
±1,093 km |
±833 km |
±1,200 km |
Bentangan Sayap |
10.7 meter |
10.7 meter |
13.1 meter (boleh dilipat) |
Berat Maksimum Berlepas |
±31,800 kg |
±27,200 kg |
±31,800 kg |
Ciri Unik |
Paling ringan, kos terendah, paling lincah |
Mampu STOVL dan dilengkapi kipas angkat |
Dioptimumkan untuk kapal induk, jarak tempur paling jauh |
Negara Pengguna |
USAF, Israel, Jepun, dan lain-lain |
USMC, UK, Itali, Jepun (dalam perancangan) |
Tentera Laut Amerika Syarikat |