Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kerajaan Pakistan Anugerah Dua Panglima Tenteranya Dengan Pangkat, Perlanjutan Tempoh Perkhidmatan

Ketua Staf Tentera Darat (COAS) Pakistan Jeneral Asim Munir telah dinaikkan pangkat kepada Field Marshal atas kepimpinnnya dalam memimpin tentera darat negara ini semasa Operasi Bunyanum Marsoos menentang tentera India manakala Ketua Staf Tentera Udara Pakistan Air Chief Marshal Zaheer Ahmed Babar Sidhu pula dilanjutkan perkhidmatannya.

0 16,899
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kerajaan Pakistan telah menganugerahkan dua orang pegawai kanan tenteranya dengan pangkat dan perlanjutan perkhidmatan di atas keberanian dan prestasi cemerlang ditunjukkan mereka semasa konflik ketenteraan negara itu dengan India baru-baru ini.
Ketua Staf Tentera Darat (COAS) Pakistan Jeneral Asim Munir telah dinaikkan pangkat kepada Field Marshal atas kepimpinnnya dalam memimpin tentera darat negara ini semasa Operasi Bunyanum Marsoos menentang tentera India.
Pangkat “Field Marshal” adalah pangkat tertinggi dalam angkatan tentera yang mengikuti struktur ketenteraan British.
Sejak penubuhan sistem ini, pangkat tersebut hanya pernah dianugerahkan kepada seorang individu sahaja — Jeneral Mohammad Ayub Khan — oleh kabinet Presiden pada tahun 1959.
Kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif hari ini turut memaklumkan bahawa kerajaan negara itu secara sebulat suara bersetuju untuk melanjutkan perkhidmatan Ketua Turus Tentera Udara Pakistan, Air Chief Marshal Zahar Ahmed Babar Sidhu, selepas tempoh perkhidmatannya tamat.
“Kerajaan Pakistan telah meluluskan kenaikan pangkat Jeneral Syed Asim Munir (penerima anugerah Nishan-i-Imtiaz Ketenteraan) ke pangkat Field Marshal sebagai penghargaan atas jasa beliau dalam memastikan keselamatan negara serta menggagalkan ancaman musuh melalui kepimpinan berani dan strategi ketenteraan yang tinggi ketika operasi “Marka-i-Haq” dan “Bunyanum Marsoos.”
Perkara itu dimaklumkan oleh Pejabat Perdana Menteri Pakistan selepas mesyuarat Jemaah Menteri Persekutuan negara itu yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Shehbaz Sharif.
Asim Munir
Asim Munir
“Pada hari ini, Pakistan menzahirkan penghormatan kepada Field Marshal Asim Munir serta seluruh wira negara, termasuk para pejuang, syuhada dan ahli keluarga mereka,” kata Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif menerusi hantaran di platform X.
Asim Munir telah memimpin angkatan tentera “dengan keberanian dan ketegasan yang luar biasa serta menyelaras strategi peperangan dan usaha ketenteraan secara menyeluruh dan bersepadu.”
Walaupun dianugerah dengan pangkat Field Marshal, Asim Munir akan tetap memegang jawatan sebagai Ketua Staf Tentera Darat Pakistan.
Menerima pengiktirafan tersebut, Ketua Staf Tentera Darat Pakistan itu menzahirkan kesyukuran kepada Allah SWT atas penganugerahan pangkat tertinggi itu, dan mendedikasikannya kepada “seluruh rakyat negara ini, angkatan tentera Pakistan, khususnya para syuhada dan veteran ketenteraan serta awam.”
“Saya berterima kasih kepada Presiden Pakistan, Perdana Menteri dan Jemaah Menteri atas kepercayaan yang diberikan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Perhubungan Awam Antara-Perkhidmatan (ISPR), sambil menegaskan bahawa anugerah itu adalah amanah daripada rakyat, yang mana “jutaan Asim telah mengorbankan diri mereka demi negara.”
“Ini bukanlah satu penghormatan untuk individu, sebaliknya ia adalah penghormatan untuk seluruh angkatan tentera Pakistan dan seluruh rakyat negara ini,” tegasnya.
Babar
Air Chief Marshal Zaheer Ahmed Babar Sidhu
babar
Asim Munir, ditauliahkan melalui Sekolah Latihan Pegawai (Officers Training School) di Mangla ke dalam Rejimen Frontier Force, telah dinaikkan ke pangkat tiga bintang pada September 2018 dan mengambil alih jawatan dua bulan kemudian, dengan tempoh perkhidmatannya selama empat tahun berakhir pada 27 November.
Beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Perisikan Tentera (Military Intelligence) pada tahun 2017 dan kemudiannya mengetuai agensi risikan utama negara, Inter Services Intelligence (ISI), untuk tempoh singkat pada tahun 2018.
Sementara itu, Perdana Menteri juga memutuskan untuk melanjutkan tempoh perkhidmatan Ketua Staf Tentera Udara Pakistan, Air Chief Marshal Zaheer Ahmed Babar Sidhu selepas perkhidmatan sedia ada beliau telah tamat.
Pelanjutan tempoh perkhidmatan itu diberikan sebagai pengiktirafan terhadap peranan penting beliau dalam konflik Pakistan-India di mana Tentera Udara Pakistan telah memainkan peranan yang amat penting di bawah kepimpinan beliau.
Dalam sesi mesyuarat kabinet Pakistan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri negara itu, para pemimpin sebulat suara memuji kepimpinan Ketua Staf Tentera Udara, khususnya dari segi perancangan strategik dan pelaksanaan operasi yang cemerlang dalam operasi terhadap Tentera Udara India.
Kabinet Pakistan turut menegaskan bahawa kesinambungan kepimpinan ketenteraan adalah penting bagi melindungi kepentingan negara serta menjamin kestabilan serantau.
ISI
Inter-Services Intelligence (ISI) Pakistan
Tentera Udara Pakistan dibawah kepimpinan Zaheer telah berjaya menembak jatuh enam buah pesawat pejuang Tentera Udara India pada hari-hari awal konflik Pakistan-India termasuk tiga buah pesawat pejuang termodennya, Rafale buatan Perancis, sebuah MiG-29,  sebuah Sukhoi Su-30MKI dan juga sebuah pesawat pejuang Mirage 2000.
Penembakan enam buah pesawat pejuang Tentera Udara India telah menyebabkan negara itu tersentak dan “memalukan” bagi sebuah negara yang mendakwa ia memiliki pesawat-pesawat yang lebih canggih berbanding Pakistan.
Pada hari-hari awal konflik dengan India itu, Menteri Luar Pakistan Ishaq Dar menyatakan kepada media bahawa pesawat-pesawat pejuang Pakistan telah berhadapan dengan sekurang-kurangnya 75 hingga 80 buah pesawat pejuang India pada pertempuran udara terbesar dalam sejarah itu.
Beliau mendakwa bahawa kesemua pesawat pejuang Tentera Udara India (IAF) termasuk tiga buah Rafale buatan Perancis telah ditembak jatuh oleh pesawat pejuang J-10C Tentera Udara Pakistan (PAF) menggunakan peluru berpandu udara-ke-udara Beyond Visual Range (BVR) PL-15E.
Walaupun berhadapan dengan semakin banyak bukti-bukti yang sukar disangkal, namun tentera dan kerajaan India masih enggan mengakui ia kehilangan enam buah pesawat pejuangnya termasuk tiga buah pesawat pejuang termodennya, Rafale buatan Perancis akibat ditembak jatuh oleh Tentera Udara Pakistan.
Ketika ditanya tentang nasib tiga buah pesawat pejuang Rafale miliknya, Pegawai kanan Tentera Udara India Air Marshal A.K Bharti hanya berkata, “Kita berada dalam senario peperangan, kehilangan (losses) adalah sebahagian daripada pertempuran”, namun tidak memberikan penjelasan lanjut tentangnya.
Pakistan
J-10C Pakistan
Bagaimanapun bagi pemerhati pertahanan, jawapan pegawai kanan Tentera Udara India itu seolah-olah mengesahkan bahawa ia sememangnya telah kehilangan lima buah pesawat pejuang termasuk tiga buah Rafale.
Dibawah kepimpinan Zaheer, Tentera Udara Pakistan terus meningkatkan kerjasamanya dengan China termasuk memperolehi pesawat-pesawat pejuang J-10C buatan Chengdu Aircraft Industry Group (CAIG) yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat-pesawat pejuang India itu.
Pakistan dan China juga bekerjasama dalam membangunkan pesawat pejuang JF-17 “Thunder” yang kini menjadi tulang belakang kepada Tentera Udara Pakistan.
Baru-baru ini, Beijing dilaporkan akan mempercepatkan lagi penghantaran pesawat pejuang generasi kelima, J-35A kepada Pakistan bagi memastikan sekutunya di rantau Asia Selatan itu menerima pesawat pejuang terbabit pada suku pertama tahun 2026.
Laporan yang memetik sumber-sumber pegawai Tentera Udara Pakistan menyatakan bahawa China akan mempercepatkan lagi penghantaran pesawat pejuang J-35A yang dibangunkan oleh Shenyang Aircraft Corporation Industry (SAC) kepada Pakistan selama enam bulan.
“Dengan Beijing percepatkan penghantaran pesawat pejuang J-35A itu enam bulan, maka Pakistan dijangka akan menerima kumpulan pertama pesawat pejuang halimunan generasi kelima itu pada awal tahun 2026.”
Laporan media pada akhir tahun lepas menyatakan bahawa Pakistan bakal memperolehi sebanyak 40 buah pesawat pejuang generasi kelima buatan China, J-35A, dengan kesemua pesawat pejuang itu akan diterima oleh Islamabad di dalam tempoh dua tahun.
J-35A
J-35A
Perolehan pesawat pejuang generasi kelima J-35A oleh Pakistan itu dijangka akan mengubah imbangan kuasa udara di antara Pakistan dan India dengan Islamabad akan mempunyai kelebihan yang besar dalam kuasa udara berbanding India yang masih bergantung kepada pesawat-pesawat pejuang generasi ke-empat dan 4.5 seperti Su-30MKI dan Rafale.
Keputusan Pakistan untuk memperolehi sehingga 40 buah pesawat pejuang generasi kelima buatan China, J-35A akan memberikan kelebihan kepada tentera udara negara itu daripada segi kemampuan kuasa udaranya berbanding kemampuan dimiliki oleh “musuh” tradisinya, India.
Menurut bekas pegawai kanan Tentera Udara Pakistan Komodor Udara (B) Zia Ul Haque Shamshi, dengan perolehan pesawat pejuang J-35A itu Tentera Udara Pakistan akan mempunyai kelebihan terhadap Tentera Udara India di antara tempoh 12 hingga 14 tahun.
“India tidak dijangkakan akan memperolehi kemampuan pesawat pejuang generasi kelima dalam tempoh itu (12 hingga 14 tahun), sekaligus memberikan kelebihan strategik kepada Tentera Udara Pakistan,” kata beliau.
— DEFENCE SECURITY ASIA

 
Leave A Reply

Your email address will not be published.