Kerajaan Belanja “Berbillion-Billion” Ringgit Beli Aset Pertahan Kedaulatan Negara di Laut China Selatan
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kerajaan membelanjakan berbillion-billion ringgit untuk membeli beberapa aset pertahanan seperti Littoral Combat Ship (LCS), Littoral Mission Ship (LMS) dan pesawat pejuang ringan yang akan digunakan untuk mempertahankan kedaulatan negara terutamanya di Laut China Selatan.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kerajaan membelanjakan berbillion-billion ringgit untuk membeli beberapa aset pertahanan seperti Littoral Combat Ship (LCS), Littoral Mission Ship (LMS) dan pesawat pejuang ringan yang akan digunakan untuk mempertahankan kedaulatan negara terutamanya di Laut China Selatan.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dijangka menerima kapal LMS yang pertama daripada tiga buah yang dipesan daripada Turkiya pada Oktober 2027.
Kapal kedua dan ketiga LMS pula dijangka diterima TLDM pada November dan Disember 2027. Ketiga-tiga buah kapal LMS yang dibina berdasarkan rekabentuk kapal korvet kelas-Ada itu dilaporkan bernilai RM2.5 billion.
Manakala bagi LCS pula katanya, kapal LCS yang pertama “Maharaja Lela” dijangka diserahkan kepada TLDM pada Ogos 2026, selepas selesainya Harbour Acceptance Test (HAT) dan Sea Acceptance Test (SAT) itu dilaksanakan.
“Kita tahu pergolakan di Laut China Selatan, kita tahu tuntutan bertindih di Laut China Selatan, kita tahu dinamiknya kawasan itu, jadi ini antara aset-aset yang kita telah berjaya beli dan Insya-Allah akan bantu kita,” kata Menteri Pertahanan.
Mohamed Khaled berkata demikian ketika berucap pada PENTalk, yang antara lain membentangkan pencapaian kementerian dan negeri yang diterajui pemimpin UMNO, sempena Perhimpunan Agung UMNO 2024 di sini hari ini.
Kapal LCS kelas-Maharaja Lela yang pertama milik TLDM telah berjaya diluncurkan ke permukaan air pada 23 Mei lalu.
Setakat ini, proses pembinaan kapal LCS1 “Maharaja Lela” berjalan mengikut jadual dengan peluncurannya ke permukaan air telah pun berlaku pada bulan lalu sebagaimana yang telah ditetapkan sebelum ini.
Pembinaan baki empat lagi buah kapal LCS juga berjalan dengan baik dan mengikut perancangan ditetapkan setakat ini.
Kelima-lima buah kapal LCS milik TLDM itu bernilai RM11.2 bilion.
Kapal LCS kelas-Maharaja Lela TLDM apabila siap dibina kelak memiliki panjang 111 meter dan membawa kira-kira 118 orang krew kapal daripada pegawai sehinggalah kepada anak-anak kapalnya.
Dengan jenis propulsion CODAD (Combined Diesel and Diesel), kapal LCS TLDM itu memiliki kelajuan 28 knots ++ dan jarak operasi sehingga 5,000 batu nautika (pada kelajuan 15 knots).
Kapal-kapal LCS TLDM ini mampu beroperasi lebih jauh dan lebih lama
Sementara itu pada Mei 2023, Malaysia dan Korea Aerospace Industries (KAI) menandatangani kontrak bernilai hampir RM4 bilion untuk perolehan 18 pesawat pejuang ringan FA-50 Block 20, yang kemudian dinamakan sebagai FA-50M (Malaysia).
Kumpulan pertama empat buah pesawat pejuang ringan FA-50M itu dijangka diterima oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada Oktober 2026, manakala selebihnya akan diterima secara berperingkat selepas itu.
Kontrak perolehan 18 buah pesawat pejuang ringan FA-50M (FA-50 Block 20) oleh Malaysia daripada KAI berjalan lancar setakat ini, dengan tahap kemajuan pemasangan pesawat-pesawat pejuang itu telah pun mencapai 37 peratus pada akhir Julai.
Menurut sumber yang memberitahu Defence Security Asia, kemajuan pemasangan pesawat-pesawat pejuang ringan milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu dijangka akan meningkat kepada 39 peratus pada akhir Ogos ini.
Pesawat pejuang ringan FA-50M milik TUDM ialah varian FA-50M yang paling moden dan berkeupayaan, berbanding dengan varian lain yang diperoleh negara lain termasuk Korea Selatan dan beberapa negara di Asia Tenggara.
Malaysia juga dijangka mula menerima pesawat peronda maritim ATR72 MPA pada tahun 2026 bagi mengukuhkan lagi pengawasan kawasan maritim negara terutamanya di Laut China Selatan.
Sebagai sebuah negara maritim, keperluan untuk memiliki pesawat peronda maritim untuk memantau kawasan perairan negara yang amat luas adalah amat mendesak.
Apatah lagi, kedaulatan negara di Laut China Selatan itu diancam aktiviti pencerobohan oleh kapal-kapal milik China.
Kementerian Pertahanan dan syarikat Leonardo, syarikat pembina pesawat ATR72 MPA menandatangani perjanjian perolehan dua buah pesawat itu dianggar melebihi RM700 juta ketika pameran LIMA 2023 di Langkawi pada Mei tahun lalu.
Dibawah program CAP55 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), negara merancang untuk memiliki sekurang-kurangnya enam buah pesawat peronda maritim, dengan perolehannya meliputi beberapa Rancangan Malaysia.
Dua buah pesawat peronda maritim itu telah pun diperolehi pada Rancangan Malaysia ke-12 (2021-2025) dan empat lagi akan diperolehi dalam dua buah rancangan pembangunan lima tahun yang akan datang. — DSA