Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Keberkesanan “Kill Chain” Tentera Pakistan Bantu Tembak Jatuh Pesawat Pejuang India – Pakar Amerika

Michael Dahm yang merupakan seorang Felo Kanan Institut Kajian Aeroangkasa Mitchell sebagaimana dipetik dalam portal pertahanan “Air & Space Forces Magazine” berkata bahawa keberkesanan “kill chain” adalah lebih penting berbanding kemampuan pesawat-pesawat pejuang tertentu.

0 7,744
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Seorang pakar kajian aeroangkasa Amerika Syarikat menyatakan bahawa elemen terpenting dalam pertembungan udara dalam konflik Pakistan-India adalah bagaimana tentera Pakistan berjaya mengintergrasi senjata buatan China miliknya serta sistem pertahanan untuk menembak jatuh pesawat pejuang Tentera Udara India.
Michael Dahm yang merupakan seorang Felo Kanan Institut Kajian Aeroangkasa Mitchell sebagaimana dipetik dalam portal pertahanan “Air & Space Forces Magazine” berkata bahawa keberkesanan “kill chain” adalah lebih penting berbanding kemampuan pesawat-pesawat pejuang tertentu.
“Pakistan mampu mengintegrasikan radar darat dengan pesawat pejuang dan pesawat amaran awal (AWACS),” kata Dahm.
“Angkatan Tentera Udara Pakistan telah melancarkan serangan menggunakan ‘A’ yang dilancarkan oleh ‘B’ dan dipandu oleh ‘C’,” tambahnya sambil memetik laporan bertarikh 12 Mei daripada China Space News, sebuah majalah industri pertahanan milik China.
Dalam dunia peperangan moden yang berasaskan kelajuan, ketepatan dan maklumat masa nyata, konsep “kill chain” telah menjadi elemen teras dalam memastikan kejayaan taktikal dan strategik di medan pertempuran.
Secara ringkasnya, “kill chain” merujuk kepada rangkaian proses berturutan yang diperlukan untuk mengesan, mengenal pasti, menyerang, dan meneutralkan sasaran musuh dengan pantas dan berkesan.
Rantaian ini lazimnya melibatkan enam fasa utama: Find (mengesan), Fix (mengesahkan lokasi sasaran), Track (menjejaki pergerakan sasaran), Target (mengenal pasti dan menetapkan sasaran), Engage (menyerang sasaran) dan Assess (menilai keberkesanan serangan).
J-10C
 J-10C Pakistan
Dalam era peperangan berasaskan data dan kecerdasan buatan, setiap fasa dalam “kill chain” kini diperkukuh oleh sistem penderiaan jauh (remote sensing), dron ISR, komunikasi satelit, rangkaian data berkelajuan tinggi dan sistem persenjataan berautonomi.
Bercakap pada program podcast, Dahm berkata “kill chain” berkemungkinan bermula apabila sistem radar darat mungkin sistem pertahanan udara atau sistem radar yang berjaya mengesan sasaran India (pesawat pejuang).
Selepas itu kata beliau, sebuah pesawat pejuang J-10C buatan China milik Tentera Udara Pakistan melancarkan peluru berpandu dari jauh dan akhirnya, pesawat amaran awal dan kawalan (AEWC) menggunakan midcourse datalink untuk memandu (guide) peluru berpandu itu dan membedil pesawat pejuang India.
“Ia adalah tembakan jarak jauh, Beyond Visual Range, berkemungkinan menggunakan varian eksport peluru berpandu udara-ke-udara PL-15E,” kata beliau.
Laporan sebelum ini menyatakan bahawa salah sebuah daripada pesawat pejuang J-10C milik Tentera Udara Pakistan telah menembak jatuh pesawat pejuang Rafale Tentera Udara India daripada jarak sejauh 182 km menggunakan peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh Beyond Visual Range (BVR) PL-15, menurut sumber yang dipetik oleh wartawan pertahanan Pakistan.
Beliau mendakwa bahawa jarak penembakan jatuh pesawat pejuang Tentera Udara India sejauh 182 km itu adalah “paling jauh dalam sejarah aeroangkasa”, tetapi tidak memberikan sebarang sumber kepada dakwaanya itu.
Dibangunkan oleh China Airborne Missile Academy (CAMA), PL-15 kini dianggap sebagai salah satu peluru berpandu BVR paling berbahaya di dunia, setanding dengan AIM-120D AMRAAM buatan Amerika Syarikat dan METEOR buatan Eropah.
PL-15
PL-15
Rangkaian “kill chain” yang digunakan oleh tentera Pakistan adalah sama seperti yang sedang dibangunkan oleh Amerika Syarikat melalui konsep Combined Joint All Domain Command and Control (CJADC2) bagi menyelaraskan operasi antara ketiga-tiga cabang angkatan tenteranya.
“Apabila—dan jika—kita memperoleh maklumat lebih terperinci mengenai insiden (pertempuran udara semasa konflik Pakistan-India) itu, ia mungkin akan mendedahkan sejauh mana keupayaan integrasi sistem yang dimiliki oleh Pakistan berbanding tahap integrasi sistem yang dimiliki oleh India,” kata Dahm.
Menurut beliau, tentera Pakistan dipercayai telah mengubahsuai beberapa pesawat AEWC China kepada pesawat EW (Peperangan Elektronik), tetapi tidak diketahui sama ada pesawat itu telah memanipulasi keadaan elektromagnetik.
“Apa yang boleh kita simpulkan daripada perbandingan teknologi China dan teknologi Barat? Mungkin tidak banyak,” kata Dahm.
“Tetapi apa yang lebih penting sebenarnya ialah keupayaan sistem yang saling berhubungan, tahap latihan, taktik digunakan… dan semua elemen lain yang sukar diukur,” tambahnya, merujuk kepada aspek tersebut sebagai lebih signifikan berbanding hanya membandingkan kemampuan pesawat pejuang J-10C dengan pesawat pejuang Rafale semata-mata.
Beliau turut menyatakan bahawa walaupun saiz Tentera Udara India lebih besar berbanding Pakistan, ia terdiri daripada gabungan pelbagai teknologi buatan Barat, Israel, Russia dan India sendiri, yang menyukarkan proses integrasi sistem secara menyeluruh.
Pakistan
Pesawat pejuang JF-17 Pakistan dilengkapi dengan peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh PL-15.
Tentera Udara India (IAF) memiliki antara inventori pesawat pejuang paling pelbagai di dunia, merangkumi pelbagai platform dari pelbagai negara pengeluar, yang walaupun memperkukuh keupayaan serangan dari segi bilangan, turut menimbulkan cabaran besar dari sudut integrasi sistem dalam doktrin “kill chain” moden.
Antara pesawat pejuang utama dalam perkhidmatan IAF termasuk Rafale buatan Perancis, Sukhoi Su-30MKI buatan Russia, Mirage 2000 dari Dassault Aviation, MiG-29 Fulcrum juga dari Rusia, Tejas buatan tempatan, serta sejumlah kecil pesawat Sepecat Jaguar buatan British.
Kepelbagaian ini menjadikan India antara satu-satunya negara yang mengoperasikan pesawat pejuang dari empat sumber utama — Barat (Perancis dan UK), Timur (Russia), Israel (melalui sistem avionik dan persenjataan), dan buatan tempatan.
Walaupun setiap platform memiliki kelebihan tersendiri, perbezaan sistem avionik, protokol komunikasi data, sistem peperangan elektronik (EW), dan kemampuan integrasi dengan sistem radar serta pesawat amaran awal (AWACS) menjadikan koordinasi masa nyata antara aset-aset ini satu cabaran kompleks.
Berbeza dengan konsep “kill chain” moden yang menekankan keperluan maklumat diproses dan disalurkan secara lancar antara pelbagai platform dalam masa sebenar — dari radar darat, satelit, pesawat ISR hingga ke unit pelancar senjata — India perlu mengatasi kesukaran menyatukan pelbagai sistem yang tidak direka untuk beroperasi secara sinergi sejak dari awal.
Sebagai contoh, data link taktikal antara Su-30MKI buatan Russia dan Rafale buatan Perancis memerlukan integrasi sistem pihak ketiga, kerana kedua-dua pesawat ini tidak menggunakan standard komunikasi yang sama secara asal.
Begitu juga dengan pengoperasian peluru berpandu seperti Meteor (dari Eropah), R-77 (dari Rusia), dan Astra (buatan tempatan), yang memerlukan sistem pengurusan senjata dan pemetaan sasaran yang konsisten agar selaras dengan platform pelancar serta penderia jarak jauh.
Kesukaran ini memburukkan lagi keupayaan IAF untuk membentuk satu “kill chain” bersepadu yang pantas dan responsif, berbanding negara-negara seperti China dan Pakistan yang mengutamakan platform berasaskan satu ekosistem perisian dan sistem komunikasi yang lebih seragam.
JF-17
Pesawat pejuang JF-17 “Thunder” buatan Pakistan-China
Situasi ini turut mempengaruhi keputusan strategik dalam masa krisis, kerana sebarang kelewatan dalam pemindahan data atau kesilapan penafsiran maklumat taktikal boleh menggagalkan serangan atau menyebabkan kerugian besar dalam pertempuran.
Dalam konteks peperangan generasi kelima, kemampuan untuk mengintegrasikan kesemua elemen dalam “kill chain” secara lancar bukan lagi pilihan tetapi satu keperluan mendesak — dan dalam hal ini, Tentera Udara India masih berdepan cabaran besar yang perlu diatasi sekiranya mahu mengekalkan dominasi udara di rantau Asia Selatan.
Pakistan: Model Integrasi Sistem Tempur Yang Lebih Tersusun dan Fokus Dalam “Kill Chain” Moden
Berbeza dengan India yang mengoperasikan pelbagai jenis pesawat pejuang dari pelbagai negara pengeluar, Pakistan mengambil pendekatan yang lebih terfokus dan strategik dalam membina kekuatan udara — sekaligus membolehkannya membina satu rangkaian “kill chain” yang lebih bersepadu, efisien dan beroperasi secara masa nyata.
Sebahagian besar pesawat pejuang Pakistan berasal dari dua sumber utama yang saling serasi – China dan dalam beberapa kes, Amerika Syarikat – yang memberikan kelebihan dari segi standardisasi sistem avionik, senjata, dan integrasi komunikasi.
Antara tulang belakang kekuatan udara Pakistan ialah pesawat JF-17 “Thunder” yang dibangunkan bersama China dan kini menjadi platform tempur utama negara itu, selain pesawat J-10C “Vigorous Dragon” generasi 4.5, serta F-16 dari Amerika Syarikat.
JF-17 dan J-10C kedua-duanya menggunakan sistem buatan China, termasuk radar AESA, avionik, serta integrasi peluru berpandu udara-ke-udara PL-10 dan PL-15, membolehkan perkongsian data secara langsung antara kedua-dua jenis pesawat serta dengan pesawat amaran awal dan sistem radar darat buatan China.
Kewujudan satu ekosistem senjata dan komunikasi yang dibangunkan oleh satu negara pengeluar — China — membolehkan Pakistan membentuk rangkaian “kill chain” yang lebih pantas dan lancar, dari pengesanan sasaran hingga kepada pemusnahan dengan tindak balas segera.
ZDK-03
Pesawat AEWC ZDK-03 Pakistan
Sebagai contoh, radar darat boleh mengesan sasaran musuh, menghantar data kepada pesawat AWACS
yang seterusnya memindahkan maklumat terus kepada JF-17 atau J-10C untuk tindakan pemintasan atau serangan peluru berpandu jarak jauh seperti PL-15 — semuanya dilakukan dalam masa sebenar tanpa gangguan sistem silang negara.
Kejayaan Pakistan dalam melakukan penyelarasan ini dilihat dalam insiden terbaru yang dikaitkan dengan konflik udara bersama India, di mana laporan menyebut pesawat pejuang Pakistan berjaya melaksanakan serangan kompleks yang melibatkan radar darat, AWACS dan pelancaran peluru berpandu berpandu BVR dalam satu gerakan bersepadu.
Malah menurut laporan media China, Pakistan dikatakan telah melaksanakan satu “textbook kill chain” dengan menggunakan radar darat sebagai pengesan, AWACS sebagai penyebar maklumat dan pesawat tempur sebagai pelancar, dalam serangan yang mencapai sasaran.
Pendekatan Pakistan yang lebih fokus pada keseragaman sistem juga membolehkan mereka melatih juruterbang dan pengendali sistem secara lebih berkesan, tanpa perlu menyesuaikan diri dengan pelbagai jenis antaramuka atau protokol operasi yang berbeza seperti di India.
Selain itu, pemilihan sistem senjata dari satu blok kuasa — dalam kes ini China — turut memudahkan penyelenggaraan, logistik, pemindahan teknologi dan peningkatan kapasiti sistem secara modular, sejajar dengan strategi pertahanan jangka panjang.
HQ-9B
Sistem pertahanan udara HQ-9B buatan China digunakan oleh Pakistan
Dengan perolehan tambahan J-10C, pesawat KJ-500 AEW&C, peluru berpandu PL-15, serta sistem peperangan elektronik bersepadu, Pakistan kini membentuk satu rangkaian peperangan berasaskan data dan integrasi sistem yang mampu mencabar bahkan menandingi keupayaan India dalam beberapa aspek teknikal.
Gabungan ini membolehkan Pakistan membentuk “kill chain” yang bukan sahaja lebih cepat, tetapi juga lebih sukar diganggu oleh peperangan elektronik kerana ia berasaskan satu sistem asal yang direka untuk beroperasi secara saling menyokong.
Dalam era di mana kelajuan dan koordinasi menentukan kejayaan misi, model “kill chain” Pakistan yang tersusun dan fokus ini memberi kelebihan taktikal ketara dalam mana-mana konfrontasi udara di Asia Selatan.
— DEFENCE SECURITY ASIA

Leave A Reply

Your email address will not be published.