KD Lekir Sertai Eksesais Maritim Terbesar Dunia, RIMPAC Di Hawaii
Eksesais RIMPAC merupakan latihan laut terbesar di dunia yang dianjurkan oleh Tentera Laut Amerika Syarikat dan disertai oleh 26 buah negara-negara rakan dan sekutunya.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kapal korvet Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM, KD Lekir akan mewakili negara dalam eksesais “Rim of the Pacific” (RIMPAC) yang bakal berlangsung di Kepulauan Hawaii, Amerika Syarikat pada bulan depan.
Eksesais RIMPAC itu akan diadakan bermula pada 29 Jun hingga 4 Ogos.
“Eksesais ini merupakan eksesais maritim terbesar anjuran Tentera Laut Amerika Syarikat. KD Lekir akan mula belayar dari tambatan Pangkalan TLDM Lumut pada 30 Mei 2022,” menurut Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein.
Eksesais RIMPAC merupakan latihan laut terbesar di dunia yang dianjurkan oleh Tentera Laut Amerika Syarikat dan disertai oleh 26 buah negara-negara rakan dan sekutunya.
Kali terakhirnya eksesais RIMPAC dianjurkan adalah pada tahun 2020 sebelum ancaman COVID-19 menyebabkan latihan itu tidak diadakan pada tahun lepas.
Dijangkakan sebanyak 41 buah kapal perang daripada negara-negara peserta bakal terlibat dengan eksesais RIMPAC itu termasuk empat buah kapal selam, lebih daripada 170 buah pesawat dan 25,000 anggota tentera daripada 27 buah negara kesemuanya.
Eksesais RIMPAC yang mula diadakan bermula tahun 1977 itu bertujuan untuk mengumpulkan tentera-tentera laut di rantau Pasifik yang beroperasi di kawasan perairan itu.
Antara latihan-latihan yang bakal diadakan semasa eksesais RIMPAC itu termasuklah anti-submarine warfare (ASW), operasi amfibia, latihan bantuan kemanusiaan, tembakan peluru berpandu dan lain-lain bagi memupuk interoperabiliti di antara negara-negara peserta.
Sepanjang tahun ini, TLDM telah melaksanakan eksesais laut dengan negara-negara sahabat di perairan Laut China Selatan serta Selat Melaka.
Antara eksesais Bilateral dan Multilateral yang telah dilaksanakan dan disertai oleh TLDM setakat Januari hingga Mei tahun ini ialah Passage Exercise (PASSEX) bersama Tentera Laut Jerman di perairan Selat Melaka; PASSEX bersama Tentera Laut Perancis di perairan Laut China Selatan; PASSEX bersama Tentera Laut Diraja Australia di perairan Laut China Selatan.
Selain itu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut menyertai latihan Cobra Gold 22 bersama Australia, China, Indonesia, Jepun, Korea Selatan dan Singapura di Pattaya, Thailand, Latihan Milan 22 bersama Australia, China, Jepun, Korea Selatan dan Singapura di Visakhapatnam, India.
ATM turut menyertai latihan Bersama SHIELD bersama Australia, New Zealand, Singapura dan United Kingdom di HQIADS, Pangkalan Udara Butterworth dan Laut China Selatan.
Selain terlibat dengan eksesais RIMPAC di Hawaii pada akhir Jun itu, TLDM akan juga terlibat dalam latihan bersama KAKADU 22 dengan Australia,New Zealand, Singapura dan United Kingdom di perairan Darwin,Australia.
TLDM juga akan terlibat dalam latihan SEACAT 22 bersama Amerika Syarikat dan negara-negara ASEAN di Selat Melaka dan Pangkalan Laut Changi, Singapura.
Ia juga akan terlibat dengan latihan MNE Komodo 22 dengan Indonesia Pelabuhan Tanjung Priok dan Pulau Belitung serta SUMAN Protector 22 dengan Singapura di Hq TRADOC Singapura.
Menurut Menteri Pertahanan, eksesais bersama merupakan salah satu langkah show of force atau memperagakan aset pertahanan maritim secara berterusan. — DSA
Comments are closed.